Mengikut beberapa riwayat, peristiwa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rejab tahun kesebelas kerasulan Baginda. Ia berlaku setahun sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke kota Madinah.

Bagaimanapun, para ulama tidak bersependapat mengenai tarikh sebenar berlakunya Israk Mikraj ini, namun pastinya ia berlaku sebelum hijrah Nabi ke Madinah.

Terdapat pelbagai pendapat tentang tarikh ini, ada yang menyatakan ia berlaku pada 17 Rabiulawal, bulan Zulkaedah, Syawal, Ramadan, Rejab, 17 Ramadan dan 27 Rejab.

Menurut Ibn Ishaq, ia berlaku selepas 10 tahun Baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat, ia berlaku setahun sebelum Baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiulawal.

As-Suddi pula menegaskan, ia berlaku pada bulan Rabiulawal, 16 bulan sebelum Baginda berhijrah. Al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdisi berpendapat, ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan Baginda ke Madinah.

Walaupun terdapat khilaf dari sudut tarikh berlakunya Israk Mikraj, namun yang penting ialah iktibar yang perlu diambil daripada peristiwa itu.

Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra' ayat yang pertama maksudnya: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Keberanian

Rasulullah SAW berfikir bagaimana mahu memberitahu manusia tentang peristiwa tersebut kerana ia sesuatu yang di luar kemampuan manusia.

Perjalanan ke Baitulmuqaddis sahaja mengambil masa hampir sebulan, inikan pula ia berlaku dalam satu malam.

Kekentalan dan keberanian atas asas kebenaran, Rasulullah SAW menceritakan tentang perjalanan Baginda ke Masjid al-Aqsa itu. Malangnya, ramai yang tidak percaya, malahan mereka yang lemah imannya mendustakan Baginda.

Keberanian Rasulullah SAW itu memberikan iktibar kepada umat Islam masa kini supaya perlu bersabar dan terus menunjukkan akhlak yang baik, walaupun ditentang oleh mereka yang tidak beriman dan tidak memahami Islam.

Sudah menjadi lumrah, mereka yang tidak memahami Islam akan mempunyai pandangan serong dan silap faham terhadap Islam. Contohi Rasulullah SAW, walaupun diperli, dikeji dan didustai kerana menyampaikan berita Israk Mikraj, Baginda tetap bersabar dan menunjukkan akhlak terpuji.

Maka, sebagai orang Islam di negara majmuk seperti Malaysia ini, adakalanya kita menghadapi silap faham daripada bukan Islam. Kita perlu tunjukkan akhlak baik, bersabar dan terangkan kepada mereka tentang ajaran Islam sebenar yang menggalakkan keharmonian dan kemakmuran.

Kita juga perlu tunjukkan bahawa kewujudan kita di negara ini, di tempat kerja, sekolah dan rumah membawa kesejahteraan bagi orang di sekeliling kita. Sesungguhnya, orang Islam yang baik adalah juga rakyat, pekerja, majikan, pelajar dan ahli keluarga yang baik.