Sejak berumur 10 tahun, Amir Firdaus sudah mula membaca dan mengumpul komik Doraemon itu di dalam bilik tidurnya.

“Saya sama seperti kanak-kanak lain yang suka pada kartun semasa kecil. Begitupun, saya menggunakan minat itu untuk mengejar cita-cita apabila dewasa.

“Sebenarnya, ayah saya yang banyak membeli komik itu. Baginya mendidik anak harus daripada bahan bacaan yang kanak-kanak minati,” kata anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu.

Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya (UM) juga percaya Malaysia dan seluruh dunia kini berkembang dengan pesat dari segi teknologi dan kejuruteraan.

Katanya, dunia kini berada tahap peralihan kepada Industri Revolusi 4.0, maka tenaga pakar dan kebolehan jurutera sangat diperlukan pada masa kini dan akan datang.

Ternyata komik yang dijadikan sumber inspirasinya itu membuahkan hasil apabila dia memperoleh keputusan 10 A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2014.

Malah baru-baru ini dinobatkan penerima Anugerah Ikon Akademik UM 2018 (Anugerah Khas) dan Anugerah Perdana Siswa Hal Ehwal Pelajar & Alumni UM 2018 (Anugerah Perdana).

Kedua-dua anugerah tersebut merupakan pencapaian yang tertinggi di UM dan hanya pelajar menepati syarat yang ditetapkan akan memperolehnya.

Lebih membanggakan, Amir Firdaus juga merupakan penuntut di UM yang telah tiga kali menerima Anugerah Dekan.

Menurut pelajar yang berasal dari Meru, Klang itu, untuk berjaya dalam pelajaran, dia mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

“Misalnya, semua pelajar tahu, jurusan kejuruteraan memang susah. Kena mahir dalam Matematik dan Fizik tetapi itu hanya teori. Sebaliknya, bidang ini akan jadi lebih mudah kalau diaplikasikan dalam kehidupan.

“Dalam erti kata mudah, sebagai contoh bila nak membina bangunan, selain kena tahu reka bentuknya, penggunaan bahan-bahannya, pengalaman orang yang membinanya akan membezakan dirinya dengan individu lain,” ujar Pelajar Terbaik Pusat Asasi Sains UM (Sains Fizikal) 2016 itu.

Berkongsi tip semasa minggu peperiksaan, Amir Firdaus berkata, dia selalu membuat analisis mata pelajaran bersama rakan-rakannya setiap kali waktu peperiksaan.

“Saya akan membuat kumpulan WhatsApp dengan mereka dan berbincang serta cuba analisa soalan yang bakal keluar berpandukan apa yang diajar oleh pensyarah dalam kuliah. Bukan baca semua.

“Bagi saya, pelajar yang bijak menilai soalan apa yang bakal keluar lebih baik daripada pelajar yang membaca semua buku waktu minggu peperiksaan,” jelasnya yang menjadikan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid sebagai idolanya dalam pendidikan.

Fokus

Selain itu, Amir Firdaus menjelaskan, tumpuan sepenuhnya ketika waktu kuliah antara pukul 8 pagi hingga 5 petang sudah memadai.

Kata Amir Firdaus, dia selalu memanfaatkan setiap masanya ketika waktu rehat antara kelas. Malah, dia akan siapkan tugasan diberi pensyarah dalam masa tersebut.

Sebagaimana fokusnya dalam akademik, komitmennya dalam kurikulum khususnya kesukarelawan juga tinggi.

Sehinggakan, dia berjaya menyertai beberapa program sukarelawan luar negara iaitu Operasi Belia Prihatin (Orbit), Thailand dan Misi Sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa - Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) Vietnam 2018.

Menurut Amir Firdaus, minatnya dalam sukarelawan bermula sejak di bangku sekolah ketika menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah dan menyambung platformnya di Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum).

“Menjejak kaki ke universiti, saya melihat bidang sukarelawan ini luas bukan hanya sekadar membantu secara percuma atau sekadar dapat penat.

“Walhal aktiviti sukarelawan banyak mengajar kita perkara baharu dan memberi pengalaman yang kita tidak pernah alami di kelas mahupun kehidupan seharian.

“Lagipun, melalui aktiviti ini, dapat mengasah skil kepimpinan dalam cara berkomunikasi, mengurus ahli jawatankuasa dan paling utama dapat membantu orang merupakan kepuasan dalam diri saya,” terang Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Kreatif Sekrum itu.

Ikhlas

Bagi Amir Firdaus, kelebihan menyertai aktiviti kesukarelawan bukan sahaja akan kenal ramai orang dan pelbagai ragam manusia tetapi pada masa sama melatih diri berfikiran terbuka, ikhlas dan bertanggungjawab untuk membantu komuniti setempat.

Begitu pun, akui Amir Firdaus lagi, tidak dinafikan, dalam setiap yang dilalui ada pelbagai pengalaman dan cabaran harus didepani apatah lagi sebagai pemimpin.

Katanya, masa itu emas pelajar yang mahu mengejar cita-citanya harus bijak membahagikan masa akademik dan kokurikulum.

“Tidak kisahlah bagaimana nak berjaya tetapi kita kena tolong diri sendiri.

“Dalam erti kata lain, mesti kasihan kepada diri sendiri, tahu apa keupayaan diri kita dan kalau jatuh, bangun cepat-cepat.

“Saya selalu menjadikan kejayaan orang lain sebagai pemangkin semangat,” kata Amir Firdaus yang bercita-cita mendapat Anugerah Diraja UM sewaktu hari konvokesyennya nanti.

Pada masa yang sama, Amir Firdaus juga pernah mewakili Malaysia dalam Internasional Chemistry Olympiad 2016 di Georgia. Dia satu-satunya wakil pelajar Melayu.

Tidak hanya ke Georgia tetapi Amir Firdaus juga pernah mewakili negara ke Asian Science Camp, India pada 2016 yang mana kesemua penerima anugerah Nobel membentangkan kajian mereka tentang Sains.

Sementara itu, Nor Farah Ayu Mustapa, 22, yang merupakan Timbalan Setiausaha Sekrum mengakui, Amir Firdaus merupakan seorang yang pelajar yang disegani di UM.

“Bakat kepimpinannya luar biasa. Dia banyak membantu menaikkan Sekrum ke peringkat antarabangsa.

“Perkara yang patut dicontohi adalah dia seorang yang tidak suka menangguhkan kerja dan selalu memberikan yang terbaik dalam apa jua pekerjaan yang dihasilkan,” ujar pelajar Fakulti Akademik Pengajian Melayu itu.

Pelajar yang bijak menilai soalan apa yang bakal keluar lebih baik daripada pelajar yang membaca semua buku sewaktu minggu peperiksaan berlangsung.