Empat daripada tiga anak Azman, 50, menunjukkan minat yang sama sejak usia muda lagi dan menariknya ketiga-tiganya adalah perempuan.

Mereka ialah Aika, Aifa dan Aira. Masing-masing berusia 22, 18 dan 15 tahun dan paling menempa nama serta disebut-sebut ketika ini adalah Aifa.

Memiliki perwatakan tenang namun agresif apabila beraksi di gelanggang mampu membuatkan sesiapa sahaja terkesima dengan kehebatan aksi serta pukulan Aifa.

Aifa baru sahaja dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas pada Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)- Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) -Milo 2018 (KPM-MSSM-Milo) pada awal April baru-baru ini.

Anugerah Emas adalah anugerah tertinggi dipertandingkan pada majlis berkenaan dengan Aifa telah dipilih sebagai penerima berdasarkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan sukan sepanjang tahun lalu.

Anak jati Alor Setar, Kedah itu juga adalah atlet skuasy kedua terpilih bagi anugerah Anugerah Emas KPM-MSSM-Milo 2018 selepas idolanya yang juga bekas jaguh dunia, Datuk Nicol Ann David.

“Saya tidak menyangka akan memenangi anugerah ini dan ia pastinya membakar semangat saya untuk menghadapi Kejuaraan Asia pada bulan depan.

“Sebenarnya ia adalah pencapaian bermakna buat saya kerana berjaya mengikuti jejak langkah Nicol yang pernah memenanginya dulu,” tuturnya yang merupakan pemain ranking ke-68 dunia.

Pencetus minat

Menurut Aifa lagi, kejayaannya itu didorong oleh minat serta sokongan daripada adik-beradik dan keluarga.

“Sejak kecil lagi ibu sudah mendorong kami adik-beradik untuk memilih sukan ini. Katanya, sukan ini kurang kecederaan serius dan bermain di dalam dewan.

“Oleh itu apabila di sekolah terdapat program satu murid satu sukan, kakaknya terus memilih skuasy. Aikalah pencetus minat kami adik-beradik,” katanya ketika dihubungi GenK baru-baru ini.

Tambah Aifa, sejak kakaknya serius dalam bidang itu, dia yang pada masa itu masih kanak-kanak sering mengikuti dan menemani Aika menjalani latihan di Kompleks Hijau Kuning, Alor Setar, Kedah.

“Waktu selepas habis sekolah adalah waktu yang ditunggu-tunggu. Semasa menemaninya, jurulatih akan membenarkan saya bermain-main dengan raket skuasy.

“Sejak itu, mula timbul minat dan kecintaan saya dalam bidang ini,” ujarnya sambil memaklumkan kadangkala mereka adik-beradik akan bertanding dalam pertandingan sama.

Bercerita mengenai perjalanan karier Aifa, kejayaannya menyambar pingat gangsa di Sukan Asia Jakarta-Palembang pada Ogos lalu adalah kemuncak kepada pencapaian hebat Aifa pada 2018. Sebelum itu dia muncul pemenang Terbuka Remaja British bagi acara wanita bawah 17 tahun selain pingat emas acara perseorangan wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) Ipoh, Perak.

Aifa bersama Aika, Aira serta seorang lagi pemain, Nazihah Hanis Abd. Razak yang mewakili Kedah turut berjaya merangkul emas bagi acara berpasukan skuasy wanita di Sukma.

Namun, kejayaan-kejayaan itu belum cukup membuatkan Aifa berpuas hati.

“Saya mahu pergi lebih jauh dalam bidang skuasy sama seperti Nicol. Saya juga meletakkan sasaran sebagai pemain nombor satu dunia. Kejayaan pada hari ini adalah permulaan pada masa hadapan.

“Saya memerlukan dorongan dan sokongan daripada anda semua,” ujarnya yang banyak mengorbankan zaman kanak-kanak kerana ingin berjaya dalam sukan skuasy.