Taman dibangunkan dan diselenggarakan untuk memenuhi keperluan kawasan lapang yang mempunyai kepentingan terhadap alam semula jadi dan manusia.

Umumnya, pendekatan pembangunan taman dan landskap yang dilaksanakan adalah untuk memberikan impak terhadap peningkatan kualiti persekitaran sesuatu kawasan dan memenuhi keperluan penduduk setempat demi mencapai kualiti kehidupan yang tinggi.

Menyedari kepentingan kemahiran penyelenggaraan taman mengikut prosedur yang betul, seramai 43 orang penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Taman dan Rekreasi, Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia telah menjalani latihan amali bagi memenuhi keperluan kursus Operasi dan Penyelenggaraan Taman (FHR3610).

Mereka bekerjasama dengan Kelab Landskap dan Keceriaan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang, Selangor untuk bersama-sama melakukan aktiviti seperti merumput, menggembur tanah, mencantas dahan dan ranting, mengecat serta membersihkan kawasan taman.

Seorang penuntut, Nur Hidayah Alias, 21, mengakui dia dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai pengurusan sesebuah taman, sekali gus menjadikannya individu yang lebih bertanggungjawab.

“Kursus ini telah menyedarkan saya bahawa pentingnya kita sebagai pengguna mahupun pengurus sesebuah taman untuk menjalankan penyelenggaraan secara berkala bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Penyelenggaraan sesebuah taman dan rekreasi memainkan peranan yang sangat penting bagi menjadikan taman dan rekreasi itu sebagai satu kawasan yang mesra pengguna,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah nilai

Justeru, anak jati Alor Setar, Kedah itu berkata, dia mahu berkongsi ilmu yang dipelajari bersama para pelajar SMK Meru, Klang, Selangor, sekali gus meningkatkan kesedaran mereka akan pentingnya penyelenggaraan taman.

Menurut Nur Hidayah, dia dan rakan-rakannya telah melakukan beberapa persediaan sebelum menjalankan amali berkenaan termasuklah membeli beberapa set alat kebun, menyediakan beberapa klip video dan bahan perbentangan bagi memudahkan gerak kerja dilakukan.

Cerita anak sulung daripada tiga beradik itu, menerusi penyediaan klip video berkenaan mereka belajar kaedah mengendalikan sesebuah syarikat berkaitan taman dan rekreasi.

“Semasa menyiapkan klip video ini, kami telah kepilkan beberapa teknik yang mudah bagi memastikan keadaan taman dan rekreasi tersebut berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

“Kami juga telah menunjukkan beberapa cara untuk membersihkan kawasan taman dan rekreasi menggunakan teknik yang betul serta menunjukkan perbezaan kawasan yang telah diselenggara dengan baik dan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penuntut, Muhammad Affika Julrain, 23, memberitahu, amali berkenaan telah memberi tambah nilai dalam dirinya sebagai graduan Sains Taman dan Rekreasi yang lebih berkeyakinan.

Cerita anak kelahiran Sandakan, Sabah itu, latihan amali berkenaan telah meningkatkan kemahiran komunikasinya, sekali gus memudahkannya untuk berhadapan dengan ramai orang.

“Saya bukan sahaja perlu berkomunikasi dengan pensyarah tetapi juga melibatkan rakan-rakan, guru-guru dan para pelajar di sekolah yang terlibat. Ia meningkatkan tahap keyakinan diri untuk memberi pandangan dan arahan dalam menjayakan latihan amali dengan sempurna,” katanya.

Berdepan cabaran

Anak sulung daripada lapan beradik itu mengakui berdepan dengan beberapa cabaran dalam menjalankan amanah yang diberikan selain menjayakan latihan amali seperti yang ditetapkan pensyarahnya.

Ujar Muhammad Affika, dia agak sukar untuk memberikan arahan kerana tidak biasa menjadi seorang pemimpin.

“Bagaimanapun, rakan-rakan amat memahami keadaan saya yang agak sukar memberi arahan. Justeru, keputusan saya hasil perbincangan bersama memudahkan aktiviti dijalankan,” ceritanya.

Selain itu, Muhammad Affika memberitahu, keadaan cuaca yang panas terik juga memberi cabaran kepada mereka menamatkan latihan amali dalam tempoh yang ditetapkan.

Namun Muhammad Affika berkata, segala cabaran yang mendatang ditempuhi dengan sabar dan berkat kerjasama kesemua penuntut, latihan berkenaan berlangsung dengan jayanya.

Nurul Syafiqah Suhairi, 21, menyifatkan latihan amali berkenaan telah meningkatkan kepekaannya terhadap keadaan sekeliling.

“Ia membuka mata saya untuk peka terhadap persekitaran, terutamanya kawasan taman yang terbiar dan mencari jalan untuk memastikannya dapat diselenggarakan mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Malah, aktiviti ini membentuk fikiran saya untuk sentiasa berpandangan jauh dengan mencari potensi menambah baik sesebuah taman mengikut kreativiti tersendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak kedua daripada enam beradik itu mengakui cabaran yang dilalui sepanjang menjayakan latihan amali tersebut telah mematangkannya.

Menurut anak kelahiran Serdang, Selangor itu, mencari idea-idea yang bernas untuk mengurus dan menyelenggarakan sesebuah taman dengan efisien amat sukar tanpa penyelidikan yang berterusan.

“Sebagai contoh, landskap taman perlu dirancang dengan teliti dan mengambil kira aspek keselamatan dan nilai estetik.

“Bagaimanapun, untuk memastikan keseimbangan antara aspek keselamatan dan nilai estetik itu memerlukan kreativiti yang hanya boleh diperoleh menerusi penyelidikan,” ujarnya

Dr. Nor Akmar Abdul Aziz selaku penyelaras dan pensyarah kursus berkata, beliau mahu memberikan pengalaman sebenar kepada para pelajar menerusi latihan amali bagi memahami kursus berkenaan dengan lebih mendalam.

“Latihan amali sebegini akan mendedahkan mereka dengan aspek pengurusan sesebuah taman sekiranya bekerja sebagai pengurus taman kelak.

“Penuntut diminta untuk memberikan taklimat mengenai kepentingan Taman dan Rekreasi kepada para pelajar SMK Meru, sekali gus membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dimiliki,” jelasnya.