Ini termasuklah dalam membawa perubahan baru dalam Pendidikan Abad ke-21 (PAK-21).

PAK-21 merupakan pendidikan yang menitikberatkan pelajar aktif dalam pembelajaran.

Dalam PAK-21, guru atau pendidik hanya bertindak sebagai fasilitator dan pengurus bilik darjah supaya sesuai dengan persekitaran seperti di alam pekerjaan.

Atas pemahaman itu dan kemahuan untuk menjadi sebahagian daripada ejen perubahan yang diperlukan, sekumpulan sukarelawan Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah telah menganjurkan Program Remaja Masa Depan (Remade) pada 21 Februari lalu.

Ia merupakan program tahunan yang bertujuan memberi platform kepada mahasiswa untuk mendekati murid-murid sekolah rendah.

Pelajar tahun kedua jurusan kejuruteraan mekanik UM, Nabil Ashraf Zaki, 21, berkata, program tersebut dianjurkan bagi membantu mengilap bakat kepimpinan pelajar sekolah rendah.

“Ia termasuklah teknik pengurusan diri yang betul untuk menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang remaja dan dewasa kelak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Nabil yang juga merupakan penyelaras program berkenaan menambah, walaupun objektif utama program adalah membantu pengukuhan aspek komunikasi, kepimpinan dan pengurusan diri murid-murid, namun dia percaya aktiviti yang dirancang juga membantu sukarelawan terlibat dalam memberi motivasi kepada murid bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelak.

Para sukarelawan begitu komited melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti berkumpulan yang telah dirancang untuk 136 orang murid Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2), Kuala Lumpur.

Timba pengalaman

Sememangnya kesemua aktiviti itu direka khusus supaya murid-murid menjadi kreatif dan dapat menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan.

“Aktiviti membina menara menggunakan belon dan spageti contohnya, memerlukan murid-murid berkomunikasi sesama ahli kumpulan dan seterusnya menjana penyelesaian yang diperlukan.

“Ini secara tidak langsung membina sifat kepimpinan dan mengilap minda yang kreatif,” ujarnya.

Bagi memenuhi keperluan pendidikan pada masa kini, di samping membawa perubahan baru dalam dunia pendidikan, sukarelawan universiti diyakini mampu menjadi jambatan kepada pendidikan di sekolah-sekolah.

“Saya bersyukur dengan kehadiran mahasiswa UM ke sini, kerana buat pertama kalinya, murid-murid di sini berinteraksi dengan abang dan kakak yang sangat komited ingin melihat mereka berjaya pada satu masa nanti.

“Saya harap mereka telah menimba pengalaman yang berharga sepanjang program berlangsung dan akan melaksanakannya lagi pada masa hadapan,” kata Guru Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi, SK Taman Tun Dr. Ismail (2), Rohayati Ahmad.

Menariknya, Remade kali ini turut melibatkan penyertaan daripada kalangan murid yang mengikuti kelas pendidikan khas.

“Walau apa pun tahap pembelajaran mereka, murid-murid ini tetap akan melalui fasa sebagai remaja tidak lama lagi. Saya bersyukur kerana pihak sekolah membenarkan kami berinteraksi dengan murid-murid ini.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai keseronokan apabila melakukan aktiviti berkumpulan yang diharapkan dapat membina keyakinan mereka, terutamanya dari aspek interaksi sosial,” kata pelajar tahun kedua jurusan ukur bahan UM yang turut menjadi sukarelawan Remade, Norsafiqkah Nordin, 23.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah UM, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, program kemasyarakatan sebegitu amat digalakkan untuk dilaksanakan oleh mahasiswa.

“Ia bakal membantu penerapan nilai teras kepimpinan dalam diri mahasiswa yang terlibat apatah lagi sasaran peserta pula terdiri daripada kalangan murid sekolah yang sememangnya merupakan antara pemegang taruh terpenting untuk sesebuah universiti.

“Saya yakin program serampang dua mata sebegini mampu menjana nilai tambah mahasiswa yang dilihat ramai sebagai ejen perubahan masyarakat akan datang,” tuturnya.