Biarpun fenomena ini bukanlah satu masalah, namun terdapat beberapa implikasi yang mungkin menimbulkan beberapa cabaran baharu dan berpanjangan kepada masyarakat jika tidak ditangani dengan teliti.

Antaranya ialah masalah pengangkutan, penempatan penduduk dan sumber makanan yang efisien dan mencukupi disebabkan pertambahan jumlah penduduk dalam masa singkat di sesebuah kawasan bandar.

Bagi menangani masalah bekalan makanan contohnya, sistem akuaponik mungkin antara penyelesaian yang unik dan telah diguna pakai di banyak negara maju. Ini kerana ia menggabungkan bidang penanaman dan penternakan dalam sebuah kawasan yang terhad.

Malah, sistem tersebut juga mampu dilaksanakan secara lestari kerana ia merupakan kaedah penanaman tanpa menggunakan tanah dan hanya memerlukan pengaliran air dari tangki ternakan ikan ke bahagian akar tanaman yang disemai.

Menyedari keupayaan sistem tersebut dalam membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat, sekumpulan mahasiswa dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah menganjurkan program berbentuk bengkel selama dua hari untuk memperkenalkan sistem akuaponik yang digabungkan dengan teknologi Internet of Things (IoT).

Lima buah sekolah

Program tersebut telah dilaksanakan di lima buah sekolah iaitu Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bangi, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak; SMK Putrajaya Presint 8(1), Putrajaya dan St. John Institution, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Program, Mohd. Nazreen Hidayat Azmir, 20, program tersebut dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai teknologi sedia ada seperti percetakan tiga dimensi dan IoT yang membenarkan mereka untuk berinovasi dalam mencari sebarang bentuk penyelesaian.

Katanya, pendedahan terhadap IoT dapat memupuk daya imaginasi mereka supaya lebih kreatif terutamanya apabila digandingkan dengan pengetahuan untuk mengatur cara pengawal mikro di dalam sesebuah sistem elektronik.

“Program yang dikenali sebagai Projek Azalea ini bukan sahaja mendedahkan pelajar sekolah yang dikunjungi mengenai teknologi litar elektronik berpenderia, tetapi turut memasukkan elemen penggunaan sistem percetakan tiga dimensi (3D).

“Malah, para pelajar juga diberi peluang untuk mencetak sendiri sebuah sistem akuaponik mini bersaiz kira-kira 0.03 meter persegi dengan ketinggian 0.2 meter menggunakan pencetak 3D tersebut.

“Sistem akuaponik yang dibina ini turut menggunakan sistem pengawal mikro berasaskan Arduino yang amat fleksibel kerana ia membenarkan pelajar untuk menyusun atur kawalan mengikut kesesuaian keadaan,” katanya yang juga merupakan pelajar tahun kedua Fakulti Kejuruteraan.

Menurut Mohd. Nazreen, sistem akuaponik itu terdiri daripada bahagian utama iaitu sebuah akuarium kecil yang menempatkan beberapa ekor ikan hiasan dan disambungkan dengan sebuah bekas kecil untuk tanaman jenis rumput.

Katanya, sebuah litar elektronik yang mengandungi pengawal mikro pula akan dihubungkan dengan penderia suhu.

“Kelembapan yang mengukur isyarat berkaitan daripada sistem akuaponik mini yang dihasilkan dengan nilai-nilai parameter akan ditunjukkan pada paparan cecair kristal (LCD) yang dilekatkan di dinding akuarium,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengetua KK12 yang juga penasihat program, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, Projek Azalea itu turut mendapat kerjasama teknikal daripada MyCRO, sebuah syarikat berasaskan elektronik dan percetakan 3D yang beribu pejabat di Cyberjaya.

Malah, penganjurannya turut menerima dana penyelidikan daripada Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares).

“Para peserta program berpeluang untuk terus memelihara ikan yang diletakkan di bahagian akuarium dan memastikan tumbesaran tanaman yang diletakkan di bahagian atas sistem kerana setiap sekolah yang dilawati telah diberi tiga set akuaponik mini.

Pendedahan

“Sistem IoT yang dibangunkan bagi projek ini juga boleh ditambah baik pada masa akan datang untuk membolehkan maklumat mengenai paras air dan suhu dihantar ke aplikasi telefon pintar menggunakan komunikasi internet,” katanya.

Jelas beliau lagi, pihaknya juga telah merancang untuk memperluaskan skop program tersebut dalam masa terdekat dengan menambah bilangan peserta dan jumlah sekolah yang terlibat.

Secara langsung katanya, ia dapat memberi pendedahan yang lebih luas kepada pelajar sekolah mengenai teknologi baharu selain dapat menambahkan minat mereka terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kaedah pembelajaran di luar bilik darjah.

Menurut Pengarah UMCares, Prof. Dr. Norzulaani Khalid pula, program tersebut telah memenuhi spesifikasi bantuan dana penyelidikan UMCares yang ingin memasyarakatkan usaha penyelidikan di UM agar manfaatnya dapat dinikmati bersama.

Lebih menarik katanya, program itu telah memanfaatkan penggunaan teknologi terkini yang boleh ditambah baik untuk kegunaan masa hadapan berdasarkan kreativiti penyelidik.