Mereka yang kelihatan comot dan tidak terurus sering dipandang serong oleh masyarakat kerana dikaitkan dengan pelbagai andaian seperti masalah mental serta jenayah.

Menurut portal khidmat sukarelawan ngohub.asia, golongan lebih memerlukan bantuan sebenarnya adalah mereka yang digolongkan sebagai miskin kota.

Golongan itu menetap di bandar besar, persis pepatah Melayu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Mengambil inisiatif untuk memberi bantuan kepada golongan itu, sekumpulan 60 orang sukarelawan dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM) menganjurkan program pengagihan makanan dan barangan kebersihan diri di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Program itu turut menerima kerjasama daripada sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan KASEH4U Malaysia (Kaseh4U).

“Lebih 400 orang tetamu (gelandangan) hadir untuk menerima pek makanan dan barangan kebersihan yang ditaja oleh syarikat serta individu prihatin.

“Uniknya, pembahagian barangan kepada mereka telah dijalankan mengikut konsep pasar malam iaitu dengan membenarkan mereka memilih barangan yang ingin dibawa pulang,” kata pelajar tahun ketiga Fakulti Kejuruteraan UM, Hanis Haziqah Mohd. Zaid, 21, yang mengetuai kumpulan sukarelawan berkenaan.

Ringan beban

Tambahnya, program itu juga menyelitkan beberapa aktiviti lain seperti menggunting rambut secara percuma dan mewarna bersama kanak-kanak. Malah, program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot UM.

“Secara langsung, kita mungkin tidak mampu menyelesaikan kesemua masalah yang membelenggu golongan miskin kota yang jumlahnya semakin bertambah saban tahun.

“Namun, saya ingin membiasakan mahasiswa masa kini untuk bersama-sama menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

“Sekurang-kurangnya lebih daripada 400 orang daripada mereka tidak perlu risau mengenai juadah makan malam pada hari ini. Mereka hanya perlu fokus untuk menghadapi cabaran pada keesokan hari dengan lebih positif,” katanya.

Menurut pengasas Kaseh4U, Niza Haniz Mustaffa, Hanis Haziqah dan rakan-rakannya dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah sebenarnya bekerjasama secara mingguan dengan Kaseh4U bagi mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan.

“Kami sentiasa mengalu-alukan penganjuran program khusus seperti ini yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi kehidupan seharian.

“Kami memang sengaja menggelar mereka sebagai tetamu kerana ingin memberikan sedikit penghormatan di dalam hidup mereka.

“Saya amat berharap mereka sedar bahawa masih terdapat ahli masyarakat yang peduli akan nasib mereka dan ingin membantu mereka bangun semula bagi menyertai arus kehidupan bermasyarakat di ibu kota ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, UM sebagai institusi pengajian tertua di Malaysia dan lokasinya yang terletak di ibu kota merupakan calon terbaik sebagai salah sebuah pihak berkepentingan yang seharusnya memainkan peranan dalam perkara itu.

“Mahasiswa UM sejak dahulu lagi sememangnya sinonim dengan pelbagai inisiatif yang menjuarai isu-isu kemasyarakatan, termasuklah hal berkaitan kebajikan dan sosioekonomi,” katanya yang turut menyertai program tersebut.