Sesekali Fatimah Aliaa Osman, 27, mencelupkan berus berkenaan ke dalam bekas warna bagi mendapatkan tona yang diingini.

Tidak mengambil masa yang lama, sebuah lukisan dipenuhi dengan corak bunga warna-warna pastel itu selesai dalam 30 minit. Dia yang mesra disapa Aliaa begitu mahir dalam pembuatan lukisan menggunakan warna air.

Anak kelahiran Kedah itu baharu sahaja menceburi bidang lukisan iaitu pada Februari tahun lalu.

“Semuanya berlaku secara tidak dirancang. Mulanya saya hanya mencari pekerjaan sampingan selepas berhenti kerja sebagai Eksekutif Kualiti Makanan di Kedah.

Curi tumpuan

“Saya berhenti kerja kerana mengikut suami ke Kuala Lumpur dan pada masa sama menjaga bapa serta bapa mentua yang sakit ketika itu,” katanya sambil memberitahu bapa mentuanya sudah meninggal dunia.

Pemenang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan di Universiti Putra Malaysia itu berkongsi pengalaman bagaimana dia menceburkan diri dalam bidang seni meskipun latar pendidikan yang berbeza.

“Saya merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah. Ketika itu saya tiada pilihan untuk memilih kerana sering dimomokkan dengan pemikiran, pelajar aliran sains perlu belajar bidang sains juga,” terangnya.

Sejak berhijrah ke Kuala Lumpur, anak tunggal perempuan daripada empat adik-beradik itu mula mencari hobi yang boleh mengisi masa lapangnya. Dia mula melukis dan mewarna menggunakan warna air dan tanpa disangka-sangka, lukisannya itu mencuri tumpuan pengguna Instagram.

“Ramai yang mula bertanya adakah saya mengambil tempahan atau boleh mengajar. Sebenarnya ramai yang meminati bidang ini, namun untuk mempelajarinya mungkin agak terhad kerana kosnya agak mahal.

“Saya berpengalaman mengikuti kelas lukisan yang mengenakan bayaran sangat mahal dan sejak itu, saya nekad mahu membantu orang ramai mempelajari cara dan teknik melukis yang betul,” tuturnya yang telah menganjurkan banyak bengkel lukisan menggunakan jenama, SincerelyByAliaa.

Lebih manis, Aliaa merupakan salah seorang penggiat seni muda yang bernaung di bawah program Young Art Entreprenuers (YAE!) yang dikendalikan oleh Balai Seni Negara Malaysia.

Bengkel

YAE! menyediakan pakej untuk pelukis muda memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri keusahawanan. Peluang itu sekali gus dapat mengorak langkah Aliaa untuk membina kerjayanya.

“Menerusi program berkenaan, YAE! menyediakan platform kepada saya untuk mengadakan bengkel melukis bersama orang awam dengan bayaran RM50 seorang.

“Bengkel itu terbuka kepada sesiapa sahaja baik orang dewasa mahupun kanak-kanak,” terangnya.

Selain menerima tempahan lukisan dan mengadakan bengkel, Aliaa turut menerima tempahan corak tudung untuk dikomersialkan.

Malah, dia turut melukis beg dan dompet yang menjadi sumber pendapatannya.