Ada yang menyelia api bagi memastikan ikan yang digoreng itu tidak mentah atau terlebih masak dan ada pula menghiris serta memotong bahan-bahan untuk menumis.

Kesibukan dan suasana seperti itu sebenarnya menimbulkan keseronokan buat pelajar Fatin Nabila Che Zuki, 21.

Dia yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah daripada Kolej Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur sudah hampir setahun berada di Selawa.

Berasal dan menetap di Kulim, Kedah, Fatin Nabila mengakui kehadirannya di institusi tersebut sejak Januari lalu didorong oleh ibunya.

“Pada mulanya, saya ingat hanya belajar menjahit tetapi rupa-rupanya kami didedahkan dengan pelbagai kemahiran lain.

“Apa yang menarik, saya kini boleh memasak hidangan kegemaran ibu di kampung bahkan boleh menjahit baju kurung sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya lagi, bagusnya di sini kerana dapat mempelajari pelbagai kemahiran seperti kelas memasak lauk-pauk, kuih-muih moden dan tradisional serta jahitan.

Ceritanya, empat lagi kelas lain di bangunan dua tingkat itu turut bergerak serentak iaitu sulaman tangan dan mesin, solekan dan dandanan rambut, kemahiran komputer dan pendidikan agama.

Demikianlah keunikan Selawa, institusi kemahiran wanita yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan dakwah dan antara yang tertua di negara ini, Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP).

Menerusi sistem pembelajaran yang ditawarkan, setiap pelajar yang menyertai sekolah kemahiran tersebut, akan mengikuti kesemua kelas tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan.

Bagi yang ingin meneruskan pengajian peringkat lanjutan, ia mengambil jangka masa 24 bulan.

Kemahiran tinggi

Menurut Pengerusi Selawa, Datuk Abdul Ghani Ngah, institusi terbabit menawarkan latihan asas yang lengkap bagi seorang wanita bagi membolehkan mereka berdikari, malah mampu membuka perniagaan sendiri apabila tamat latihan kelak.

Katanya, Selawa menyediakan kursus peringkat asas dan lanjutan sejak 1962 dan sehingga kini telah melahirkan lebih 10,000 bekas pelajar.

“Setiap pelatih dalam kumpulan masing-masing akan mengikuti semua modul di Selawa secara bergilir-gilir.

“Mungkin pada hari ini, seseorang pelatih itu akan mempelajari cara membuat kek, rakannya pula didedahkan teknik sulaman, manakala seorang lagi mengikuti kelas asas komputer,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PSIP berkata, secara dasarnya pihaknya mahu melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam urusan rumah tangga dan mempunyai nilai kerohanian yang tinggi.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar, Zamilah Uzairi, 51, memberitahu, setiap pelatih yang berjaya menamatkan pengajian asas selama setahun, boleh berbangga dengan apa yang dipelajari.

Mereka bukan sahaja boleh membuka bisnes jatihan, sulaman atau masakan, lepasan Selawa hakikatnya adalah individu yang pandai serba-serbi dalam hal ehwal kewanitaan.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan, lepasan Selawa sebenarnya bersedia 100 peratus untuk menjadi seorang wanita apatah lagi bergelar suri rumah.

“Bahkan sebelum ini pun, ramai memberitahu Selawa merupakan antara tempat yang terbaik bagi kaum lelaki khususnya di Ipoh, Perak mencuba nasib mencari jodoh,” selorohnya.

Menurut Zamilah yang juga guru agama, sejak hampir lima dekad lalu, Selawa menerima pelatih dari seluruh pelosok negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, guru jahitan, Norshahida Mohd. Zaini, 39, pula berkata, pada satu-satu masa Selawa mampu menampung sehingga 100 orang pelatih dan setiap yang mendaftar bagi mengikuti kursus, digalakkan menetap di asrama yang disediakan.

“Selain asrama yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk bilik bacaan dan ruang menonton televisyen pada waktu senggang, pelajar juga disediakan sarapan pagi sehinggalah makan malam,” katanya.

Yuran

Bagi aktiviti kokurikulum pelajar, Selawa secara konsisten menganjurkan ceramah agama, menubuhkan kumpulan nasyid, kompang, silat, selain mengadakan kursus motivasi keusahawanan, lawatan sambil belajar selain pertandingan masakan dan gubahan.

Katanya, setiap pelajar yang menamatkan pengajian akan dianugerahkan sijil yang dikeluarkan PSIP. Jelasnya lagi, Selawa seharusnya dijadikan pilihan kepada semua wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun.

“Ini kerana yuran yang dikenakan sangat berkemampuan iaitu pendaftaran RM450 dan yuran bulanan RM150,” terangnya.