Atlet berusia 20 tahun itu yang mengalami kecacatan otot tulang belakang tahap dua mewakili Malaysia dalam kejohanan Paralimpik Remaja Asia pada tahun 2013 dengan memperoleh pingat emas.

Ahmad Nazmi menutup tirai 2018 dengan meraih tempat keempat pada kejohanan Paralimpik Remaja Asia yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu berkata, dia mula serius dalam dunia catur sejak berumur 13 tahun dengan mengikuti kelas latihan.

“Saya pada asalnya bermain di komputer hanya sekadar suka-suka, namun timbul rasa minat dan seronok sehingga saya memasuki pertandingan.

“Catur adalah permainan yang sesuai untuk diri saya kerana ia hanya memerlukan ketangkasan otak tanpa menggunakan fizikal tangan dan kaki terlalu banyak,” katanya ketika ditemui GenK pada edisi ke-23 Grand Asian Chess Challenge (GACC) 2019 di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ahmad Nazmi, biarpun sudah beberapa kali bersaing dan berhadapan dengan ramai pemain dari dalam serta luar negara, perasaan gementar itu tetap ada.

Dalam pada itu pemuda berasal dari Klang, Selangor itu berkata, bermain catur dapat mengasah otak dan memaksa diri pemain untuk berfikir dengan lebih cepat untuk menyelesaikan masalah.

Catur merupakan permainan papan yang dimainkan oleh dua orang pada papan catur yang bersaiz sekitar 52 sentimeter panjang dan lebar.

Permainan itu dipercayai berasal dari India pada zaman pemerintahan Gupta sejak kurun keenam. Dalam perlawanan catur, pemain perlu sentiasa peka dan memastikan ‘askar’ bergerak di posisi yang tepat serta selamat.

Terdapat 16 buah catur yang terdiri daripada lapan bidak (pawn), dua kuda (knight), dua gajah (bishop), dua tir (rook), satu ratu (queen) dan satu raja (king). Buah-buah catur itu diatur dalam dua barisan.

Pemegang buah catur putih akan memulakan langkah, diikuti pemilik buah catur hitam secara bergilir-gilir sehingga menemui pemenang.

Kongsi pengetahuan

Sementara itu, menurut Pengarah Projek GACC 2019, Teng J-Sheng, 21, objektif utama pertandingan itu adalah untuk menggalakkan aktiviti catur dalam kalangan peserta dari pelbagai universiti dalam dan luar negara.

‘Selain bermain catur, platform ini juga sebagai wadah untuk pencinta catur berkumpul dan berkongsi pengetahuan mereka.

“Di samping itu, GACC diadakan untuk meningkatkan ranking dan kemahiran para peserta yang mengambil bahagian.

“Ia membolehkan peserta meningkatkan ranking catur mereka untuk mencapai gelaran hormat di dunia catur seperti Grand Master (GM), International Master (IM) serta FIDE Master (FM),” katanya.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Antara Universiti Dalam dan Luar Negara, Berkumpulan, Terbuka, Peringkat Umur Berkumpulan dan blitz .

Seramai 1,264 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan GACC 2019 yang berlangsung selama lima hari itu.

Antara negara yang terlibat selain Malaysia ialah Indonesia, Thailand, India, Belanda dan Filipina.

Menurut J-Sheng, ia merupakan satu pengalaman berharga buat dirinya dan rakan-rakan pengurusan lain kerana berpeluang mengadakan satu kejohanan peringkat antarabangsa itu.

“Semua ahli yang terlibat bertungkus lumus untuk menjayakan kejohanan ini. Mereka juga terpaksa korbankan masa belajar untuk sementara.

“Tetapi saya yakin, usaha yang ditunjukkan tidak sia-sia dan kini kejohanan GACC 2019 berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan lebih meriah daripada sebelumnya,” tuturnya.

Penganjuran pertandingan catur itu telah dilaksanakan sejak 23 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1996 dengan kerjasama Persekutuan Catur Malaysia (MCF).

Bercerita tentang cabaran sebagai pemain catur pula, J-Sheng menyifatkan proses pembelajaran dalam permainan itu merupakan cabaran yang paling berat.

Percaturan

Mereka bukan sahaja perlu mengenali nama tetapi menghafal pergerakan buah catur. Ini kerana setiap buah catur mempunyai langkah tersendiri.

“Seperti kuda perlu bergerak dalam bentuk L, manakala tir bergerak secara melintang atau membujur sejauh mana yang dikehendaki tetapi bukan secara pepenjuru.

“Jika salah percaturan, maka raja akan ditawan musuh. Oleh itu, seseorang pemain tidak boleh mengambil langkah terburu-buru kerana buruk padahnya,” ujarnya.

Hadiah yang ditawarkan ialah wang tunai bernilai RM2,000 bagi pemenang utama, dan trofi bagi kategori individu.

Pemenang bagi kategori berpasukan pula akan menerima RM4,000, trofi Royal Selangor dan empat keping pingat.

Pada masa yang sama, seorang lagi pemain, Syed Danish Danial Syed Abd. Rahman,14, berkata, dia sangat gembira kerana berpeluang menyertai kejohanan GACC itu.

“Di sini saya dapat mengenali ramai kawan yang sama hobi dan mengambil peluang untuk mengasah kemahiran yang ada.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pemain catur profesional suatu hari nanti dan berpeluang mewakili negara,” katanya.

KUALA LUMPUR 31 Januari 2019 - TEMURAMAH peserta kategori Kurang Upaya dalam Pertandingan Chess Peringkat Kebangsaan, Ahmad Nazmi, 20, bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini hari ini.
Gambar : AMIN FARIJ HASAN
Pemberita : AIDIL (Rencana Kosmo)

KUALA LUMPUR 31 Januari 2019 - SEKUMPULA peserta kanak-kanak dalam Pertandingan Chess Peringkat Kebangsaan, bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini hari ini.
Gambar : AMIN FARIJ HASAN
Pemberita : AIDIL (Rencana Kosmo)

KUALA LUMPUR 31 Januari 2019 - SUASANA dalam Pertandingan Chess Peringkat Kebangsaan, bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini hari ini.
Gambar : AMIN FARIJ HASAN
Pemberita : AIDIL (Rencana Kosmo)

KUALA LUMPUR 31 Januari 2019 - SUASANA dalam Pertandingan Chess Peringkat Kebangsaan, bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini hari ini.
Gambar : AMIN FARIJ HASAN
Pemberita : AIDIL (Rencana Kosmo)