Pertandingan yang berlangsung di Asrama Tunku Abdul Rahman (Astar) atau lebih dikenali sebagai Kolej Kediaman Pertama dan Balai Ungku Aziz itu menampilkan 39 pasukan yang bertanding dalam dua kategori iaitu kategori Utama dan Muda.

DTA menjadi platform bagi para pendebat dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi negara untuk membahas dan mengutarakan pendapat mengenai isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia dan luar negara.

Pengarah DTA, Hanif Fadzilah Azahari berkata, DTA merupakan acara keramat yang dianjurkan setiap tahun di Kolej Kediaman Pertama.

Debat Memacu Malaysia Baharu merupakan tema yang dipilih pada tahun ini. DTA merupakan platform utama untuk melahirkan bakal cendekiawan, terutamanya bagi mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh universiti di Malaysia.

“Ia juga merupakan satu platform untuk peserta merapatkan ukhuwah sesama pendebat dan alumni pendebat dalam kalangan institusi pengajian tinggi Malaysia, di samping dapat bertukar-tukar pendapat mengenai isu semasa negara, mahupun dunia,” katanya.

Berkualiti

Tuturnya, DTA juga merupakan aktiviti yang sangat dinanti-nantikan oleh mahasiswa di seluruh negara kerana ia merupakan platform debat yang sangat berprestij.

Sementara itu, Ketua Hakim Pertandingan Akhir DTA, Mohd. Hasril Abdul Hamid berkata, para pendebat DTA untuk kali ini adalah lebih berkualiti berbanding edisi sebelumnya.

Mohd. Hasril juga merasakan usul untuk pertandingan akhir itu amat sesuai dengan isu semasa yang berkaitan inisiatif kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Baharu.

“Kebanyakan peserta menunjukkan kematangan sebagai pendebat apabila mampu memberi huraian yang jelas dan bertepatan dengan usul yang dibawakan, baik sebagai pencadang mahupun pembangkang.

“Saya merasakan DTA ini perlu diteruskan pada masa hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai mahasiswa yang mempunyai keupayaan dan kemahiran untuk memberikan pandangan yang bernas dan rasional ketika berhujah, terutamanya dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu,” tuturnya.

Pada pertandingan itu, pasukan pendebat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertindak sebagai pembangkang bagi usul bertajuk Rakyat Lebih Berperanan Dalam Memaknakan Malaysia Baharu muncul sebagai johan bagi Kategori Utama.

Pendebat terbaik

Bagi Kategori Muda pula, johan diungguli pasukan daripada UM setelah menewaskan pasukan pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pasukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Muda (B) pula tampil unggul apabila menjadi juara liga selepas memenangi keenam-enam pusingan awal.

Johan bagi Kategori Utama dan Muda membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, trofi berserta sijil, manakala naib johan memperoleh wang tunai sebanyak RM1,800, trofi berserta sijil.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhairil Ziqrul Sapi daripada UKM diumumkan sebagai pendebat terbaik bagi Kategori Utama dan anugerah pendebat terbaik liga manakala Zulaika Zamaluddin daripada UM telah dinobatkan selaku pendebat terbaik untuk Kategori Muda.

Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Firdaus Hariri, wakil Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, merangkap pemangku pengetua Kolej Kediaman Pertama UM.

DTA yang memasuki edisi ke-22 dengan tema Debat Memacu Malaysia Baharu itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Perkembangan Akademik dan Intelektual, Kolej Kediaman Pertama, UM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Majlis Orator UM (MORUM) dan Alumni Pendebat UM.

Menurut Firdaus, beliau percaya dengan penganjuran program bersifat keilmuan sebegitu, UM dapat membuktikan bahawa tuntutan negara yang mahu melahirkan mahasiswa yang berkarisma dan profesional telah disahut dengan jayanya.

“Kita ingin melihat mahasiswa kita bakal berjaya sebagai ahli masyarakat yang kritis, tapi rasional dalam pemikirannya.

“DTA secara langsung telah mengangkat martabat bahasa Melayu yang seharusnya menjadi asas mengasimilasikan rakyat yang berbilang kaum di negara kita,” ujarnya.