Satu persatu asas pelaburan dan perancangan kewangan di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dilontarkan mereka ketika sesi pembentangan di atas pentas biarpun dipersembahkan dalam bentuk lakonan.

Ibu bapa pula yang berada di ruang menonton tidak jemu memberi tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan terhadap mereka.

Lontaran suara pengacara majlis yang memenuhi ruang dewan itu menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Pertandingan Persembahan Seni Kreatif Peringkat Kebangsaan 2018 yang berlangsung pada hari itu menyaksikan 10 buah sekolah rendah mewakili lima negeri bertanding pada peringkat akhir bersempena program Literasi Kewangan ASNB 2018.

Pertandingan anjuran ASNB kali kedua yang mendapat penyertaan daripada 50 buah sekolah peringkat awal itu adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan pengetahuan generasi muda mengenai pelaburan dan perancangan kewangan untuk masa hadapan.

Tuah akhirnya berpihak pada Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, Kuala Terengganu apabila diumumkan menjuarai Pertandingan Seni Kreatif Peringkat Kebangsaan 2018.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka membawa pulang unit amanah bernilai RM7,900, trofi dan sijil penghargaan.

Salah seorang pelakon daripada SK Seri Budiman, Muhammad Bazli Irfan Mohd. Razi, 11, berkata, dia cukup teruja apabila pasukannya dinobatkan sebagai juara.

“Saya berasa bangga kerana ini merupakan pengalaman pertama saya berlakon di peringkat kebangsaan dan tidak sangka mendapat nombor satu.

“Berkat kerjasama rakan-rakan dan tunjuk ajar daripada guru pelatih, kami berjaya melakukannya seperti yang dirancang biarpun ada sedikit perasaan malu,” katanya yang memegang watak utama dalam lakonan bertajuk Hibah Amanah ASNB berkonsepkan mistik itu.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, pertandingan berkenaan menguji keyakinannya untuk bercakap di depan orang ramai.

Ujarnya, bercakap mengenai fakta pelaburan dan kewangan bukan satu perkara mudah bagi dirinya yang merupakan murid sekolah rendah tetapi dia yakin dengan kesungguhan tiada yang mustahil.

“Pada awalnya, saya memang tidak tahu mengenai asas-asas atau fakta pelaburan ini. Apa yang terlintas dalam minda saya adalah seperti menabung. “Bagaimanapun, hasil fakta-fakta yang difahami daripada lakonan, baru saya tahu akan kepentingan kewangan,” tuturnya.

Sementara itu, rakannya, Safiah Khairani Ibrahim, 11, berkata, semangat berpasukan yang tinggi sebenarnya menjadi kunci kejayaan mereka dalam pertandingan tersebut.

 

Cabaran

Cerita anak sulung daripada tiga beradik itu, masing-masing mengetepikan penat dan mengamalkan sikap bertolak ansur serta fokus dalam persembahan.

“Cabaran kami semasa persembahan adalah untuk melakonkan watak hantu supaya ia tidak nampak terlalu mistik dan berjaya tarik penonton.

“Penambahan elemen lawak sambil melontarkan skrip dengan jelas dan tepat adalah satu perkara yang memberi pengalaman berharga kepada saya,” jelasnya yang memegang watak hantu langsuir dalam persembahan tersebut.

Tambah Safiah Khairani, pertandingan peringkat akhir kebangsaan itu menyaksikan semua sekolah melakukan yang terbaik untuk merebut takhta juara.

“Namun, rezeki berpihak kepada kami dan saya berharap sekolah kami mengekalkan juara ini pada tahun hadapan selain menyertai banyak program lagi seumpama ini,” katanya.

Nurin Iman Qistina Mohd. Zanuri, 11, selaku pelakon utama daripada SK Kangkar Pulai, Johor Bahru pula berkata, peluang tersebut memberikannya satu pengalaman berharga.

Walaupun menduduki tempat keempat menerusi persembahan bertajuk Pelaburan Secara Berkala dan Konsisten, Nurin Iman Qistina mengakui, untuk menjiwai watak Aladdin adalah satu cabaran yang besar baginya.

Bercerita lebih lanjut, Nurin Iman Qistina berkata, dia seorang yang pemalu, namun berpeluang mewakili sekolah di peringkat negeri sukar dilepaskan.

“Saya akur dengan tempat keempat dan berpuas hati kerana dapat mencabar diri melakukan sesuatu yang baharu iaitu mengatasi rasa gugup di depan orang ramai.

 

Tertarik

“Sebenarnya saya tidak sangka dapat memegang watak utama ini kerana pada awalnya saya ingin mencuba nasib sahaja menghadiri uji bakat yang dilakukan di sekolah.

“Perasaan terkejut apabila cikgu menawarkan watak utama iaitu Aladdin. Pada masa itu saya tidak fikir panjang terus bersetuju dan berjaya menjiwai watak tersebut selepas berlatih selama dua minggu,” ujarnya yang memang meminati bidang lakonan.

Jelasnya lagi, pertandingan tersebut sedikit sebanyak membuatkan dirinya tertarik untuk membuat pelaburan pada usia muda.

Katanya, dia akan mencadangkan kepada keluarganya untuk bersama-sama membuat pelaburan di ASNB bagi kesenangan pada masa hadapan.

Sementara itu, guru penasihat SK Kangar Pulai, Shamsuriyani Shamsudin berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh anak-anak didiknya dalam persembahan tersebut.

Katanya, walaupun tidak bergelar juara, pencapaian mewakili negeri sudah cukup mengharumkan nama sekolah.

Jelasnya, sebenarnya ia adalah permulaan yang baik meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti kesenian di sekolah.

 

Pendidikan

“Persediaan untuk bertanding di pusingan akhir diadakan sejak dua bulan lalu iaitu selepas muncul juara di peringkat negeri.

“Kami memilih watak Aladdin kerana ia sangat sinonim dengan budak-budak. Memandangkan pertandingan ini diwakili oleh murid sekolah rendah, kami berasakan ia sangat sesuai untuk menjiwainya,” tuturnya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin menjelaskan, setiap tahun ASNB sentiasa menganjurkan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan bertujuan menyampaikan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan pada orang ramai.

“Kita sedar bahawa untuk memupuk generasi muda yang celik kewangan perlu bermula dari peringkat akar umbi supaya ia mudah dididik.

“Oleh itu, kita berusaha menerap asas-asas pelaburan dalam kehidupan seharian mereka menerusi pertandingan seperti ini.

“Selain itu, saya harap dengan cara ini dapat membuka minda masyarakat untuk memilih unit amanah ASNB sebagai produk pelaburan untuk menjamin kesejahteraan masa depan,” katanya.

Sebanyak 10 buah sekolah rendah bersaing sengit pada pertandingan akhir Persembahan Seni Kreatif Peringkat Kebangsaan 2018 anjuran Amanah Saham Nasional Berhad di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.