di atas padang kelihatan kelibatnya begitu lincah merencana serangan dan ligat mencari jalan untuk mencuri bola daripada kaki pihak lawan.

Lantas saat bola memasuki gawang gol pihak lawan, dia meluru laju ke arah rakan sepasukannya dan bersorak gembira.

Muhammad Nafizuddin Muhamad Fauzi, 16, ternyata menimba banyak pengalaman baharu dalam dunia bola sepak.

Walaupun tidak sehebat pemain bola sepak profesional namun dia memasang impian besar untuk pergi jauh di lapangan itu suatu hari nanti.

“Saya ingin menjadi seorang pemain bola sepak profesional suatu hari nanti dan mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Padang Awam Taman Ehsan, Kepong, baru-baru ini.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Indah, Johor Bahru, Johor itu, minatnya dalam bidang bola sepak mulai timbul setelah diberi pendedahan oleh bapanya sejak kecil.

“Sejak saya berumur lima tahun, bapa sering membawa saya menyaksikan pertandingan bola sepak. Saya mula minat untuk bermain dan aktif dalam bidang ini ketika berumur 11 tahun.

“Ketika itu, saya menyertai Liga 1Malaysia Connecting Communities (1MCC) bagi Kategori Bawah 12 tahun dan ia adalah pengalaman pertama menyertai pertandingan bola sepak,” katanya.

Pemain Titiwangsa FC itu turut beraksi di pentas akhir Karnival Bola Sepak ke-9 Kelab Nuri FC yang berlangsung 26 November lalu.

Nuri FC merupakan sebuah kelab bola sepak yang berdaftar pada tahun 2003 dan menjadi platform anak-anak muda mengembangkan bakat dalam sukan itu.

Karnival tersebut menyaksikan sebanyak 16 pasukan bertanding di bawah Kategori 16 tahun dan pertandingan akhir telah mempertemukan Titiwangsa FC dengan KB Subang.

Titiwangsa FC berjaya menewaskan KB Subang dengan jaringan 2-0 seterusnya diumumkan sebagai juara bagi kategori tersebut.

Minat

Dalam pada itu, Presiden Kelab Nuri FC, Mohd. Isa Ibrahim berkata, Karnival bola sepak ke-9 Kelab Nuri FC menjadi platform mendedahkan anak-anak muda kepada pertandingan bola sepak profesional.

“Saya begitu gembira kerana karnival ini mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada seluruh negara walaupun hanya diiklankan menerusi media sosial semata-mata.

“Karnival ini memberi ruang kepada mereka untuk menonjolkan bakat yang dimiliki sekali gus memberi pengalaman berharga dalam mencapai cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Mohd. Isa, dia amat berpuas hati melihat potensi yang ditonjolkan setiap pasukan yang bertanding.

“Saya melihat mereka mempunyai potensi yang luar biasa dalam bidang bola sepak. Masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri dan boleh diasah untuk menjadi lebih baik.

“Bakat-bakat ini jika diketengahkan secara profesional akan menyumbang kepada pembangunan bola sepak suatu hari nanti,” ujarnya.

Mohd. Isa berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya meneruskan karnival bola sepak tersebut pada masa akan datang walaupun menghadapi cabaran tertentu.

“Walaupun kita berdepan dengan pelbagai kekangan namun ia tidak sesekali menghalang untuk terus menganjurkannya pada masa akan datang demi anak-anak yang mempunyai bakat dalam bola sepak,” jelasnya.

Kami juga mempunyai rancangan jangka panjang terhadap pemain muda ini menerusi program pembangunan yang telah disusun.

Mereka akan didedahkan dengan pengalaman menerusi latihan yang berterusan, perlawanan persahabatan selain menyertai pertandingan bola sepak dari masa ke masa.

Sementara itu, bagi pemain Nuri FC, Mohd. Amirul Naim Mohd. Isa, 16, walaupun pernah mengalami kecederaan ketika beraksi dalam pertandingan bola sepak namun ia sesekali tidak mematahkan semangatnya untuk menceburi bidang tersebut.

Usaha gigih

“Pengalaman yang tidak sesekali saya lupakan adalah apabila lutut saya pernah terkehel sehingga menyebabkan tidak dapat bermain dalam tempoh tiga bulan.

“Saya perlu menjalani fisioterapi dan dinasihatkan untuk berehat seketika bagi memulihkan kembali kecederaan yang dialami,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, Jinjang, Kuala Lumpur itu.

Bagaimanapun menurut Mohd. Amirul, minatnya yang terlalu mendalam membuatkannya tidak senang duduk sebaliknya masih turun padang memberikan sokongan kepada rakan-rakan yang beraksi.

“Sepanjang tiga bulan tersebut, saya hanya menonton perlawanan bola sepak di televisyen bagi melepaskan rindu. Sesekali saya turun padang dengan bantuan rakan untuk memberi sokongan kepada pasukan,” jelas anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Setiap orang mempunyai dua kaki dan yang membezakannya adalah usaha masing-masing. Jadi, tidak perlu membandingkan diri kita dengan orang lain kerana kejayaan itu bermula dengan usaha gigih kita sendiri,” ujarnya.

Menurut Mohd. Amirul, meskipun dia aktif dalam bola sepak namun pelajaran tidak sesekali dilupakannya.

“Ibu selalu menasihati untuk saya tidak mengabaikan pelajaran. Saya sebenarnya lebih banyak menumpukan kepada pelajaran kerana sesi persekolahan adalah pada waktu pagi.

“Saya berusaha untuk menyeimbangkan antara akademik dan sukan kerana tanpa akademik saya tidak boleh melanjutkan pengajian ke menara gading,” katanya lagi.