SEAWAL pukul 7 pagi, Mohd. Tarmizi Zulfika Ismail, 26, sudah bersiap sedia untuk melakukan latihan rutin bersama rakan-rakannya di trek laluan denai yang terletak di Taman Cabaran Putrajaya (TCP).

Mengenakan pakaian sukan lengkap dengan kasut khas untuk larian lasak, dia dan rakan-rakannya mula berlari menuju ke laluan tersebut yang mempunyai jarak sepusingan kira-kira 4.5 kilometer (km) selepas selesai melakukan aktiviti pemanas badan.

“Jika tidak menyertai mana-mana perlumbaan larian denai pada hujung minggu, kami akan datang ke TCP ini untuk berlatih.

“Biasanya, saya akan berlatih bersama rakan-rakan daripada pasukan Buff Malaysia selain pelari daripada kumpulan Salute Runners Putrajaya.

“Walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi kami mempunyai kecenderungan yang sama iaitu meminati larian lasak seperti perlumbaan merentas denai,” katanya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Selangor.

Menurutnya, selain memperuntukkan kira-kira empat jam pada waktu pagi setiap hujung minggu, dia juga berlatih pada waktu petang selepas tamat bekerja bagi mengekalkan tahap kecergasannya, terutama jika ada perlumbaan pada minggu berkenaan.

Ketika di bangku sekolah, Mohd. Tarmizi mewakili sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Melaka di Bukit Piatu, Melaka dalam acara larian pecut dan jarak jauh.

“Semasa menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pula, saya pernah menyertai Siri Duathlon Universiti Malakoff bagi tahun 2012 dan 2013 serta mendapat tempat kedua keseluruhan.

“Bagi perlumbaan merentas denai pula, saya mula aktif pada tahun 2015 selepas menyertai Perlumbaan Cabaran Kenaboi, Negeri Sembilan dan turut menduduki tempat kedua.

Ditaja

“Selepas beberapa kali menyertai perlumbaan merentas denai, saya kemudiannya dipilih untuk menyertai Buff Malaysia, sebuah pasukan yang ditaja oleh pengeluar pakaian aktiviti lasak jenama Buff dari Sepanyol bermula pada tahun 2016,” katanya.

Jelasnya lagi, pencapaian tertinggi yang pernah dikecapinya ialah menduduki tempat pertama dalam Bukit Payung Explorace di Batu Pahat, Johor pada Februari lalu selepas gandingannya bersama jurulatih, Sharul Ambri Mohd. Noor berjaya mengalahkan dua pasangan pelumba dari Kenya.

Di negara ini, perlumbaan larian merentas denai semakin mendapat tempat sejak beberapa tahun lalu dengan hampir setiap minggu, pasti akan berlangsungnya perlumbaan di mana-mana lokasi di seluruh negara.

Malah, jumlah penyertaan khususnya dalam kalangan belia yang mencecah ribuan orang turut membuktikan semakin ramai anggota masyarakat negara ini mula mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengisi masa lapang khususnya cuti hujung minggu dengan menyertai acara berunsurkan kecergasan.

Perkara itu turut diakui seorang lagi pelari Buff Malaysia, Nurul Juliana Shakira Abdul Halim, 29, turut mempunyai minat yang sangat tinggi terhadap perlumbaan merentas denai.

Kecergasan tinggi

Dia yang bekerja sebagai seorang cef di sebuah hotel di Kuala Lumpur hampir setiap cuti hujung minggu berlatih di TCP bersama rakan sepasukannya sebagai persediaan menyertai perlumbaan.

“Dalam perlumbaan larian merentas denai ini, saya boleh dianggap masih baharu berbanding rakan-rakan yang lain kerana hanya menyertainya secara serius bermula tahun lalu.

“Walaupun begitu, saya memang sudah aktif dalam acara sukan sejak di sekolah dan pernah mewakili Kelantan dalam Sukan Malaysia acara balapan selain mewakili negara ke Kejohanan Sekolah-sekolah Asean yang berlangsung di Singapura dan Thailand,” katanya.

Mengakui bahawa kedua-dua bentuk sukan tersebut agak berbeza, jelas Nurul Juliana, larian merentas denai memerlukan seseorang pelari itu memiliki kecergasan mental dan fizikal yang sangat tinggi selain mempunyai ketajaman penglihatan yang baik sewaktu melakukan aktiviti.

Katanya, ia bagi mengelakkan seseorang itu tercedera ketika berlari sama ada akibat kekejangan otot ataupun terjatuh kerana tersepak halangan seperti tunggul, batu atau akar kayu.

Taktikal

“Tidak seperti berlari di atas trek yang rata dan bebas daripada sebarang halangan, larian merentas denai sememangnya sangat mencabar.

“Ini kerana, laluan denai mempunyai pelbagai bentuk muka bumi yang bersifat semula jadi seperti laluan bertanah, bukit, lopak, akar pokok, ketulan batu dan sebagainya,” katanya yang pernah memenangi tempat kedua kategori wanita masing-masing bagi perlumbaan Petzl Night Trail (2017), Larian MQA (2017) dan Larian Merentas Denai Antarabangsa Lurah Bilut di Pahang pada Februari lalu.

Tambah Nurul Juliana, ketika ini, dia sedang membuat persiapan untuk menyertai perlumbaan larian merentas denai bagi kategori 25km selain sebagai percubaan untuk menguji keupayaan dirinya bagi memasuki acara perlumbaan ultra yang melibatkan jarak sekitar 100km pada masa hadapan.

Sementara itu, Sharul Ambri, 42, yang merupakan seorang pelari senior dan juga jurulatih bagi kumpulan tersebut berkata, dia menubuhkan kumpulan Salute Runners Putrajaya adalah bagi mengumpulkan peminat acara larian merentas denai sebagai satu komuniti.

“Sebagai pengasas Salute Runners Putrajaya dan pelari senior bagi pasukan Buff Malaysia, saya mengumpulkan kesemua pelari daripada dua komuniti ini untuk berlatih bersama-sama.

“Kami akan berlatih sekurang-kurangnya lima kali seminggu dengan latihan pada Sabtu atau Ahad akan mengambil masa sehingga empat jam melibatkan jarak larian sekurang-kurangnya 30km,” katanya.

Dia yang telah terlibat dalam acara larian lasak sejak berusia 13 tahun turut membuat persiapan untuk menyertai perlumbaan ultra merentas denai 100km yang akan berlangsung di Gopeng, Perak pada penghujung Mac ini selain perlumbaan Asia Trail Master (ATM) 2018 di Indonesia pada Julai nanti.