Kesukaran itu disebabkan kelemahan mereka menguasai ketiga-tiga mata pelajaran tersebut sehingga ada yang tidak lagi berminat dan seolah-olah menyerah kalah tanpa mempelajarinya secara bersungguh-sungguh ketika belajar di sekolah menengah.

Kebimbangan yang sama turut dirasai Abdul Hanan, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMAMAIWP) ketika kakinya melangkah ke tingkatan empat.

Mengetahui dirinya lemah dalam mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi, pada April lalu, Abdul menyertai Program Kolokium Sains Tulen Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan di sekolahnya.

“Saya berusaha gigih setiap kali peperiksaan kerana lemah dalam subjek Fizik, Kimia dan Biologi.

“Sejujurnya, saya kurang minat dengan tiga subjek Sains berkenaan kerana agak susah untuk menguasainya. Tetapi, selepas mengikuti program ini, saya mula memahami apa yang guru mahu sampaikan dan kaedah yang diajar itu juga begitu menarik selain tidak membosankan,” ujarnya ketika ditemui K2 di SMAMAWAIP baru-baru ini.

Seramai 123 penyertaan daripada guru-guru Sains Tulen dari seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam Program Kolokium Sains Tulen Peringkat Kebangsaan yang julung-julung kali diadakan selama dua hari pada 26 dan 27 April lalu.

Kongsi cara terbaik

Menurut Pengetua SMAMAIWP, Nor Azam Abdullah, program tersebut diadakan sebagai platform untuk guru-guru menimba ilmu kemahiran dan berkongsi amalan terbaik Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) bagi subjek Fizik, Kimia dan Biologi.

“Melalui program ini, pelajar dapat menguasai topik yang sukar difahami melalui slot pengajaran mikro yang terdapat dalam PdPc.

“Guru juga akan mendapat maklum balas secara terus daripada pelajar-pelajar melalui slot yang diajarnya itu,” katanya.

Program tersebut juga turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan, Yayasan Guru Tun Hussein Onn selaku penaja, Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG).

Nor Azam menambah, menerusi program itu juga, pelajar dapat menambah pengetahuan dan berkongsi ilmu dengan guru-guru secara lebih yakin dalam mendepani peperiksaan SPM nanti.

Dalam pada itu, Penyelaras Program, Rafidah Kamsan berkata, Kolokium Sains Tulen tersebut adalah idea daripada pengetua sekolah untuk meneruskan program sebelum ini.

“Pada tahun lepas, kami telah mengadakan beberapa program seperti ini tetapi terarah kepada subjek Matematik selain Simposium Bahasa Inggeris.

“Saya terkejut kerana mendapat sambutan amat menggalakkan pada program ini kerana pada asalnya sasaran peserta hanya 55 orang sahaja,” katanya.

Rafidah memberitahu, Kolokium Sains Tulen itu merupakan program pertama dianjurkan di Kuala Lumpur yang melibatkan guru sekolah agama dan sekolah harian biasa.

“Jika sebelum ini terdapat banyak program seperti Matematik, Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu tetapi bukan tiga gabungan subjek Sains ini. Saya berharap dengan usaha ini, ia dapat membantu pelajar-pelajar terutamanya SMAMAIWP mencapai keputusan cemerlang dalam SPM nanti,” tuturnya.

Katanya, program berkenaan juga memberi impak kepada guru-guru yang hadir apabila guru jemputan yang hadir merupakan guru-guru veteran yang cemerlang dalam bidang masing-masing.