Masing-masing leka membincangkan tugasan yang diberikan pensyarah pada awal kuliah. Teliti dan berhati-hati dalam merancang kerana ia menentukan lulus atau gagal bagi mereka yang mengambil subjek tersebut.

Tugasan itu memerlukan setiap pelajar mengumpul barangan keperluan asas dan barang-barang terpakai untuk didermakan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Rening, Remoi, Abu dan Rekoh, Cameron Highlands, Pahang selama 14 minggu sepanjang pengajian.

Pada akhir sesi pengajian, para pelajar perlu mengumpulkan kesemua barangan yang diminta di Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), UPM untuk dinilai.

Proses pengagihan barangan itu dilaksanakan oleh pensyarah dan badan bukan kerajaan (NGO) secara berperingkat.

Kemahiran sosial

Meskipun detik awal penerimaan tugasan itu telah berlalu, memori yang tercipta sepanjang melaksanakan tugasan tersebut terus kekal dalam ingatan mereka.

Rata-rata penuntut mengakui bahawa mereka mendapat pelbagai manfaat menerusi tugasan yang dilihat sebagai satu pendekatan baharu dalam teknik pengajaran di menara gading.

Penuntut jurusan Pembangunan Manusia dan Pengurusan, Farah Azman, 22, berkata, tugasan itu berjaya meningkatkan kemahiran sosialnya.

“Keyakinan saya untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling agak rendah disebabkan oleh sifat pemalu yang menguasai diri.

“Saya sebenarnya agak takut untuk menyelesaikan tugasan ini kerana ia memerlukan saya berdepan dengan orang ramai untuk meminta barang-barang keperluan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, Farah berkata, dia terpaksa mengatasi perasaan takut itu dengan memberanikan diri memujuk orang ramai untuk menderma.

“Saya menggunakan semua saluran komunikasi yang ada termasuk rakan-rakan, sanak saudara dan jiran tetangga untuk meminta mereka menderma.

“Ia merupakan sebahagian daripada kerja amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan,” kata anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.

Menurut Farah, teknik pemujukan memainkan peranan penting bagi mendapatkan persetujuan orang ramai untuk menderma.

“Saya belajar cara untuk memujuk iaitu dengan mendedahkan objektif murni tugasan ini dan sebab mereka perlu menderma.

“Hasilnya, saya berjaya mendapatkan tepung, gula, beras, minyak masak, bihun dan pelbagai barangan terpakai yang lain termasuk selimut, bantal, kasut serta beg untuk diserahkan di pusat pengumpulan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pengurusan dan Ekonomi, Bukryman Sabri berkata, tugasan yang diberikan bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar tetapi golongan sasaran itu sendiri.

“Tugasan ini mendedahkan pelajar dengan nilai-nilai murni selain mengasah pelbagai kemahiran mereka seperti komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

Malah, sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban penduduk Orang Asli walaupun bukan dalam skala yang besar,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Sahabat Masjid UPM.

Menurut Bukryman yang aktif terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan, masyarakat digalakkan untuk turun padang dan menyelami sendiri kesusahan yang dialami Orang Asli.

“Sesetengah masyarakat mungkin melihat botol air dan baldi adalah perkara kecil, namun bagi Orang Asli sumbangan tersebut begitu besar.

“Mereka amat memerlukan barangan terpakai bagi memudahkan urusan seharian seperti memasak dan membasuh pakaian,” katanya lagi.

Bukryman berkata, beliau mendapat maklum balas yang positif daripada penduduk Orang Asli yang menerima sumbangan tersebut.

“Mereka terutamanya kanak-kanak begitu teruja dan gembira atas sumbangan yang diberikan. Walaupun sekali, jika dilakukan secara berterusan, ia sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban mereka,” ujarnya.

Nilai murni

Seorang lagi penuntut jurusan Pembangunan Manusia dan Pengurusan, Nur Elina Mohd. Kamarozaman, 21, berkata, tugasan yang diberikan itu melatihnya dia untuk lebih empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

“Saya tidak pernah mendekati golongan yang tidak bernasib baik dan kurang jelas akan permasalahan yang mereka tanggung.

“Tugasan ini memerlukan saya untuk turun padang melihat sendiri isu yang membelenggu golongan yang kurang bernasib baik dan mencari jalan membantu mereka,” kata anak kedua daripada tujuh adik-beradik itu.

Menurut Nur Elina, tugasan itu banyak mengajar dirinya untuk lebih bersyukur dengan segala nikmat yang diperoleh dan belajar berkongsi dengan orang sekeliling.