Walaupun mempunyai pengalaman menghasilkan banyak lukisan berasaskan cat dan warna air yang dilukis di atas kanvas dan kertas, namun dia tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dalam menyiapkan karyanya itu.

“Bagi saya, setiap lukisan yang dihasilkan merupakan sebuah karya yang bakal mencerminkan identiti diri saya sendiri.

“Sebab itulah, saya perlu teliti dalam menyiapkan lukisan tidak kira sama ada ia bersaiz kecil atau besar.

“Saya tidak akan terburu-buru untuk menyiapkannya kerana saya lebih mementingkan kesempurnaan agar ia mencapai maksud yang ingin disampaikan,” katanya ketika ditemui di Galeri Chandan yang terletak di pusat beli-belah Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, dia mempelajari kaedah melukis dengan betul selepas mengikuti pengajian Diploma Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Lendu, Melaka kira-kira lapan tahun lalu.

Dia berkata, minatnya terhadap lukisan semakin menebal selepas berpeluang bertemu dengan ramai artis seni tanah air ketika bekerja di galeri tersebut sebagai pembantu kurator selepas tamat pengajian.

Menghurai mengenai tema bagi setiap lukisan yang dihasilkan, Zaim Zharif memberitahu, kesemua karya yang dihasilkannya bertemakan Islam meliputi pelbagai sudut.

Jelasnya, dia memperoleh idea untuk memilih tema tersebut ketika menyiapkan tugasan tahun akhir yang diberikan oleh pensyarahnya semasa menuntut di UiTM.

“Ketika itu, semester akhir hanya tinggal tiga minggu untuk tamat dan saya masih tidak mempunyai idea untuk menyiapkan dua lukisan yang perlu dihantar sebagai tugasan tahun akhir.

“Keadaan itu menyebabkan saya begitu tertekan. Ketika sedang mencari cara untuk meredakan tekanan, saya tergerak hati untuk pergi ke Masjid Tuanku Mizan, UiTM untuk mendirikan solat maghrib.

“Kebetulan selepas solat, seorang ustaz menyampaikan kuliah bertajuk Keindahan Islam. Perasaan saya begitu tersentuh selepas mendengarnya kerana sebelum itu, saya menganggap diri begitu jauh dengan amalan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim,” katanya.

Jelas Zaim Zharif, kesan daripada ceramah agama itu, dia mendapat idea untuk menjadikan tema keindahan Islam sebagai karya dalam menyiapkan tugasan akhirnya.

Malah katanya, sejak itu, dia menjadikan tema Islam dalam kesemua karya lukisannya sehingga hari ini.

Dia menambah, bagi memastikan karya yang dihasilkan tidak terpesong daripada sejarah dan ilmu berkaitan Islam itu sendiri, dia telah menghabiskan banyak masanya dengan mendalami dan memahami ilmu agama dengan beberapa orang ustaz selain merujuk kepada bahan bacaan mengenainya.

“Saya akan berusaha untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai sesuatu perkara yang ingin ditonjolkan mengenai Islam sebelum menzahirkan idea itu menerusi lukisan.

Pameran solo

“Kebiasaannya, setiap lukisan yang saya hasilkan datang daripada perasaan sendiri selepas terkesan dengan sesuatu perkara atau ilmu yang dipelajari atau didengari daripada ceramah ataupun pembacaan,” katanya.

Mengambil contoh pameran solo pertama dirinya yang berlangsung pada bulan Mei 2015 di Galeri Seni Khat di Pulau Pinang, dia berkata, hampir kesemua 30 karya yang dipamerkan adalah berkisar tentang solat.

Ini kerana akuinya, antara perkara pertama yang terkesan dalam dirinya selepas kembali mendekatkan diri dengan Allah adalah solat.

Malah katanya, solat juga merupakan antara perkara penting dan utama yang akan dihisab oleh Allah di padang mahsyar.

“Sebahagian besar karya dalam pameran solo tersebut merupakan lukisan dengan tema solat dan ia merupakan satu cara dakwah bagi menggambarkan sifat kehambaan seorang Muslim kepada Pencipta.

“Dalam pameran itu juga, terdapat beberapa karya yang dihasilkan dengan tema Iqra’ yang diambil daripada peristiwa Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama melalui malaikat Jibril,” katanya dengan memberitahu, dia menggunakan figura tanpa menampakkan muka sebagai subjek utama bagi mengelak sebarang kontroversi.

Lukisan baharu

Tambahnya, dia juga pernah mengetengahkan lukisan dengan tema 99 Nama Allah ketika menyertai pameran berkumpulan yang berlangsung di Galeri Chandan pada tahun 2015.

Jelas beliau lagi, semangatnya untuk terus menghasilkan lukisan bertemakan keislaman semakin menebal selepas salah satu karyanya dibeli oleh seorang tokoh politik terkenal tanah air.

Kini, dia dalam proses menghasilkan lukisan baharu dengan tema Doa, Hadis, Jibril dan Iqra’ yang dirancang untuk dipamerkan secara berasingan menerusi pameran solonya yang akan datang.

Namun kata Zaim Zharif, disebabkan dia turut bekerja di galeri tersebut, dia mempunyai kekangan masa untuk menyiapkan lukisan bagi melengkapkan ketiga-tiga tema tersebut.

“Saya tidak tahu berapa jumlah lukisan yang akan disiapkan bagi setiap tema.

“Malah, saya juga tidak tahu bila ia dapat disiapkan kerana sama ada cepat atau lambat, ia bergantung kepada cetusan naluri yang terdapat di dalam diri saya sendiri,” katanya dengan memberitahu, dia sudah menghasilkan hampir 100 buah karya dengan tema keislaman dengan sebahagian besarnya telah dijual.

Ketika ditanya tentang perancangan masa depannya dalam industri seni tanah air, beliau berkata, dia merancang untuk menjadi antara pelukis terkenal yang dapat berdakwah dan menyampaikan ilmu mengenai agama Islam menerusi karyanya kepada seluruh anggota masyarakat.

Malah katanya, dia juga bercita-cita untuk memiliki galeri peribadi yang akan mempamerkan keseluruhan hasil karyanya bagi tontonan umur agar ia menjadi pencetus khususnya kepada umat Islam di negara ini untuk terus berpegang kepada ajaran Islam.

Dalam pada itu, bapa Zaim Zharif, Megat Nawawi Megat Abdul Rahman, 54, berkata, anak ketiganya itu sememangnya telah menunjukkan minat terhadap lukisan sejak kanak-kanak.

Ketika itu katanya, anaknya itu banyak melukis kartun yang ditiru daripada majalah dan komik.

“Malah, ketika di sekolah menengah, dia juga banyak mengikuti rakan-rakannya membuat lukisan grafiti pada dinding termasuklah di rumah kami sendiri.

“Cuma, apabila diterima masuk ke UiTM, barulah dia mempelajarinya secara lebih formal dan terus bergiat sebagai pelukis secara lebih serius,” katanya.

Jelas beliau, sebagai bapa, dia tidak pernah menghalang Zaim Zharif untuk terus bergiat dalam industri seni, sebaliknya akan terus memberi galakan supaya anaknya itu mencapai impian menjadi seorang pelukis seni yang ternama suatu hari nanti.