Kem itu anjuran bersama Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB), Universiti Malaya, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (Yatim) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ia memberikan tumpuan pada pembangunan akademik dan sahsiah anak-anak yatim.

Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang Kem Elite dan sebahagian daripada program dijalankan manakala sebahagian lagi di kemudahan PPKSE, Kampus Pauh Putra.

Selain aktiviti dalam kumpulan, peserta juga didedahkan dengan pendidikan bertaraf antarabangsa termasuk konsep tenaga boleh baharu dengan mengguna pakai kit pembelajaran termaju tenaga solar dan angin.

Para peserta diberi peluang untuk menjalankan eksperimen ringkas tentang tenaga boleh baharu iaitu tenaga angin dan tenaga solar di Makmal Projek Tahun Akhir di PPKSE, Kampus Pauh Putra.

Pendedahan

Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni , PPKSE, UniMAP, Dr. Muhammad Mokhzaini Azizan berkata, pelajar didedahkan dengan konsep penjanaan tenaga boleh baharu dan bebas karbon selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan generasi celik ekosistem lestari dan hijau.



Peserta turut mendapat pendedahan ilmiah melalui slot ceramah bersama penceramah jemputan, Tunku Muhammad Nizar.

Simulasi eksperimen ringkas itu dipimpin oleh Persatuan Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (Perkase).

“Pendedahan tentang konsep tenaga boleh baharu kepada peserta Kem Elite ini adalah bertujuan untuk meluaskan pemahaman untuk pelajar sekolah tentang konsep kemapanan bekalan tenaga ke arah Malaysia hijau selaras dengan visi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Menerusi aktiviti seperti simulasi eksperimen ini, ia sedikit sebanyak membolehkan pelajar sekolah mempraktikkan ilmu sains yang dipelajari di sekolah dalam menginovasi dan mengurus sumber tenaga secara strategik dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, Muhamad Syazwan Rosli memberitahu, pengetahuan tentang tenaga boleh baharu daripada mahasiswa dan mahasiswi universiti dapat disalurkan secara terus kepada para peserta.

Ia seterusnya dapat merapatkan jurang pendidikan dan maklumat antara pelajar sekolah dan mahasiswa universiti.

“Saya percaya, melalui pendedahan daripada peringkat sekolah menengah, aktiviti seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha hingga melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

“Selain daripada itu, potensi diri para peserta dikupas secara holistik melalui slot ceramah yang disampaikan oleh Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur,” katanya.

Tambahnya lagi, slot ceramah itu adalah sejajar dengan latihan dalam kumpulan yang dijalankan oleh fasilitator. Nilai murni yang ada dalam diri para peserta dikupas dan dikongsi bersama ahli kumpulan.



Sebaha gian peserta dan krew Kem Elite bergambar kenangan di hadapan tugu UniMAP.

Pengisian ceramah dan latihan dalam kumpulan bersama fasilitator bukan sahaja menyerlahkan bakat yang ada tetapi ia turut memupuk semangat kepimpinan sedia ada dalam diri para peserta.

Para peserta berpeluang untuk membentangkan dapatan perbincangan kumpulan dan mereka memberi justifikasi serta maklum balas sesama ahli kumpulan.

Melalui sesi latihan dalam kumpulan itu, ia sedikit sebanyak dapat melatih anak muda berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.

Majlis penutup Kem Elite 3.0 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UniMAP Prof. Madya Dr. Mohd. Fo'ad Sakdan di Kolej Kediaman UniCITI Alam.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu, program berbentuk akademik itu sememangnya amat diperlukan untuk pelajar sekolah menengah di sekitar Perlis.

“Saya amat mengalu-alukan program seperti ini kerana ia mampu meningkatkan prestasi sekolah-sekolah di negeri Perlis,'' katanya.