Tidak kurang juga yang akan bersiap untuk mengubah gaya hidup, terutamanya mereka yang aktif mungkin mula mengubah rutin menjadi lebih sedentari iaitu lebih banyak duduk.

Sudah menjadi bagaikan lumrah apabila berpuasa kita lebih banyak berehat, pergerakan lebih perlahan dan perwatakan semakin lemah.

Ini amat menghairankan memandangkan Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa orang beriman yang kuat adalah lebih baik daripada orang beriman yang lemah [Sahih Muslim].

Terdapat kumpulan besar generasi semasa yang gemar beriadah. Larian-larian yang dianjurkan sejak kebelakangan ini menarik penyertaan beribu anak muda.

Hari bebas kereta di bandar-bandar melihatkan penyertaan beribu peminat berbasikal tetapi malangnya ia berubah ketika bulan Ramadan dan selalunya terbawa ke bulan Syawal sekali.

Antara kesilapan yang kerap dilakukan apabila Ramadan menjelma ialah:

  • Berhenti bersenam. Sebenarnya kekuatan atau kecergasan tidak merosot mendadak jika berhenti sepenuhnya untuk satu bulan tetapi masalahnya ialah bila tidak aktif dan mengamalkan pemakanan tidak terkawal, ia amat sukar untuk mula aktif kembali setelah sebulan dua berehat.
  • Pemakanan tidak sihat. Ramai Muslim yang akan mendapat peningkatan dalam peratus lemak badan disebabkan makanan pada bulan puasa selalunya mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi. Disiplin diri perlu berada pada tahap tertinggi ketika berbuka puasa.
  • Tidak mengambil sumber tenaga yang cukup khususnya ketika sahur amat memudaratkan kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan tidak bertenaga tetapi juga boleh mengubah kadar metabolisme badan sehingga menyebabkan anda menyimpan lebih banyak lemak.

Apabila badan kurang bertenaga maka keinginan untuk bersenam juga berkurangan. Cuba makan makanan berkhasiat berkalori tinggi bila berpeluang, terutamanya pada hari bersenam.

  • Tidak minum air yang cukup. Ini nampak seperti sesuatu yang remeh, tetapi hakikatnya pada bulan biasa pun kebanyakan kita tidak mengambil air yang cukup, apatah lagi di bulan puasa.

Kita digalakkan untuk minum dua ke tiga liter sehari. Minum lebih banyak jika ingin bersenam. Kekurangan satu hingga dua peratus air sahaja sudah cukup untuk memberi kesan negatif kepada konsentrasi, emosi dan motivasi. Kekurangan air juga akan menyebabkan otot tidak berfungsi secara optimum.

  • Tidak mendapat tidur yang cukup. Salah satu keperluan yang kerap diabaikan ialah tidur. Kita selalu andaikan bahawa tidur tidak penting tetapi sebenarnya ia adalah sama penting dengan keperluan pemakanan sihat dan senaman.

Kitar sikardian iaitu perubahan fungsi biologi tertentu yang berulang dalam tempoh 24 jam akan berubah secara mendadak pada bulan puasa. Kita perlu bangun sejam lebih awal daripada biasa untuk bersahur tetapi yang peliknya ada di antara kita yang tidak tidur lebih awal.

Apabila kita tidak cukup tidur, kesihatan mental dan emosi akan terganggu, seterusnya ia akan mengurangkan motivasi untuk bersenam. Cuba tidur lebih awal daripada biasa dan cuba curi masa tidur singkat pada bila-bila masa yang sesuai.

Perancangan awal

Bagaimanakah anda boleh mengelak daripada membuat kesilapan biasa di atas? Mudah dengan menjalankan perancangan dan aklimitasi atau penyesuaian awal. Sebenarnya, dari aspek agama fasa persediaan untuk bulan puasa ini telah termaktub dalam banyak hadis.

Kita sangat digalakkan untuk berpuasa di bulan Syaaban, selain sebagai persediaan rohani untuk bulan Ramadan ia juga merupakan aklimitasi fizikal.

Badan kita akan dapat mengadaptasi secara berperingkat dari segi waktu makan, jumlah makanan dan air, waktu tidur dan kitar sikardian serta perubahan aktiviti.

Di samping itu, perancangan senaman harian juga boleh diubah secara berperingkat kerana dengan adanya transisi dari bulan Syaaban ke bulan Ramadan yang baik, ia dapat mengelakkan daripada sistem fisiologi badan terpaksa berubah secara tiba-tiba.

Perubahan mendadak merupakan salah satu punca kegagalan sesuatu pelan senaman dan kecergasan.

Minggu depan saya akan menulis berkenaan latihan kekuatan pada bulan puasa. Selamat menunaikan ibadah puasa!