Ini kerana wanita berusia 32 tahun itu sedang mengacau isi durian di dalam kuali berwarna perak untuk dibuat kek batik.

Sambil sebelah tangannya memegang kuali dengan sarung tangan tebal, manakala sebelah lagi memegang sudip besi, Nurliza berkata, isi durian itu perlu dikacau dengan berhati-hati supaya ia tidak bergumpal.

Malah, api dapur pula perlu dipasang sederhana bagi memastikan isi durian yang dicampur dengan telur dan sedikit tepung itu tidak hangus.

Menariknya, kek batik berperisa durian yang dihasilkan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak dikukus atau dibakar.

“Sebaliknya, bahan yang sudah diadun akan dimasak di dalam kuali sehingga sebati sebelum dimasukkan biskut dan dituang ke dalam acuan untuk dise­jukkan selama beberapa jam di dalam peti sejuk sebelum boleh dimakan,” katanya yang mendapat idea itu kerana ingin mencari kelainan dalam menghasilkan kek batik.

Kek batik asli biasanya dibuat menggunakan milo, susu, telur, mentega, serbuk koko dan biskut Marie.

Bahan-bahan itu akan dimasukkan ke dalam kuali untuk dimasak dan digaul sebati sebelum dimampatkan ke dalam acuan bagi tujuan disejukkan.

Namun, untuk mencari kelainan dalam menghasilkan kek batik, ramai pengusaha mula mengolah resipi asli kepada cara yang lebih menarik.

Carian internet

Jelas Nurliza yang berasal dari Sarawak, dia mendapat idea untuk membuat kek batik durian selepas melakukan beberapa carian di internet.

Oleh kerana kek batik durian masih belum mempunyai pasaran yang luas terutamanya di Semenanjung, dia ingin mencubanya terlebih dahulu sebelum dijual.

Selepas tiga hingga empat kali mengolah sendiri kek batik berperisa durian itu, dia memberikan kepada jiran di kawasan perumahan dan tidak disangka kek berkenaan mendapat sambutan ramai.

“Ramai jiran yang berminat untuk menempah kek batik durian ini kerana ia jarang ditemui di samping pembuatannya yang agak rumit berbanding kek batik asli.

“Selepas mendapat tahu ia mempunyai permintaan, saya terus memasukkan menu ini dalam perniagaan menjual makanan yang diusahakan,” katanya yang menjalankan bisnes yang dikenali sebagai Dapo Liza sejak Julai 2017.

Turut bersetuju dengan kenyataan itu adalah salah seorang pelanggannya, Fatimah Sahari, 47.

Jelas Fatimah, walaupun dia berasal dari Miri di Sarawak, kek batik berperisa durian yang dihasilkan Nurliza adalah yang pertama kali pernah dirasainya.

“Rasanya enak dan durian sesuai dijadikan salah satu perisa kek batik. Mungkin kerana Nurliza menggunakan isi durian yang berkualiti, jadi rasanya begitu asli.

“Saya ada memuat naik gambar kek batik durian di Facebook dan ramai kawan-kawan yang teringin mencubanya,” jelasnya yang menggemari kelainan makanan yang dihasilkan anak buahnya itu.

Nurliza mengusahakan Dapo Liza selepas dia berhenti daripada kerjaya kewartawanan kerana ketiadaan pengasuh untuk menjaga dua anaknya.

Oleh kerana ingin mengisi masa terluang selain meminati bidang masakan, dia mengambil tempahan menjual pelbagai kek, kuih-muih serta pek makan tengah hari seperti pasta bebola daging dan nasi ayam.

Tempahan akan diambil sekiranya mendapat permintaan 10 pek ke atas.

Bagi Nurliza, dia tiada masalah untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah asalkan mendapat persetujuan daripada suaminya, Ahmad Fikri Mat Yusoff.

Permintaan tinggi

Selain kek batik durian, anak sulung daripada lima adik-beradik itu terlebih dahulu menghasilkan kek batik lapis Brunei.

“Jika di Sarawak, kek lapis dikenali sebagai kek lapis Sarawak, di Brunei ia dikenali sebagai kek batik lapis Brunei. Kelainan yang terdapat pada kek berkenaan adalah dari segi pembuatan dan perisanya.

“Di Brunei terkenal dengan kek batik lapis berperisa klasik coklat, horlicks, empire iaitu gabungan klasik coklat dan horlicks serta vico.

“Bagi kek lapis Sarawak pula, berpuluh perisa boleh didapati, namun yang menjadi pilihan ramai ialah masam manis, hati pari, evergreen (pandan), tembikai dan lumut,” tuturnya.

Bercakap mengenai pembuatan kedua-dua kek tersebut, kek batik lapis Brunei hanya perlu disejukkan di dalam peti ais, namun bagi kek lapis Sarawak ia perlu dikukus atau dibakar sebelum boleh dimakan.

Cara pembuatan kek yang rumit menyebabkan harga kek batik lapis Brunei mahal sedikit daripada kek biasa.

Harga yang ditawarkan Nurliza adalah RM13 hingga RM18 bagi pek mini, manakala bagi satu loyang pula dijual pada harga RM48 hingga RM70.

Selain kek batik durian, kek batik horlicks antara yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Bukan semua orang sanggup membeli kek tersebut, namun bagi yang pernah merasai keenakannya, mereka pasti akan membeli walaupun sedikit.

Nurliza menambah, kek batik yang dibuatnya kurang manis dan sesuai dengan mereka yang tidak menyukai makanan manis bagi menjaga kesihatan.

Selain itu, ia tahan selama enam bulan jika disimpan di dalam peti sejuk beku.

Kek batik juga boleh dimakan pada bila-bila masa. Ia tidak semestinya bergantung pada musim perayaan semata-mata.

Di Sarawak dan Brunei, penduduknya lebih suka makan kek batik dan kek lapis apabila berkunjung ke rumah saudara-mara atau sahabat handai berbanding biskut yang hanya disukai oleh kanak-kanak.

Dalam pada itu, walaupun tidak sampai setahun mengusahakan perniagaan Dapo Liza, wanita itu memandang jauh untuk memperluaskan lagi perniagaannya.

Nurliza bercadang mendapatkan modal daripada badan keusahawanan untuk membeli mesin dan peralatan membuat kek.

“Bagi menambah ilmu pengetahuan pula, saya mengikuti kelas membuat kek batik dalam talian. Walaupun pembuatan kek batik nampak mudah, ia tetap memerlukan ilmu.

“Pada masa akan datang pula, saya bercadang untuk mengikuti kelas membuat kek buah-buahan, kek kukus dan banyak lagi,” katanya yang turut mahir dalam menghasilkan kuih nona manis, apam pisang dan apam susu.