Lebih kurang sebulan sebelum ikatan pertunangan itu disimpul rapi dalam akad sebagai suami dan isteri, ia dileraikan dengan penuh adat.

Begitulah pengakhiran kasih di antara dua selebriti muda yang menjadi bualan paling hangat pada masa kini, Elfira Loy dan Sufian Suhaimi.

Ditemui sewaktu hadir ke festival Gegar Ria di Kuantan, Pahang, baru-baru ini, Elfira yang pertama kali bertemu media selepas pertunangannya dengan penyanyi berusia 27 tahun itu terlerai pada 18 Februari lalu, kelihatan tenang dan matang menyembunyikan rasa kecewanya.

Pelakon dan hos genit itu menyifatkan tragedi cinta tidak kesampaian antaranya dengan Sufian sebagai satu proses kehidupan dan sebagai seorang Muslim mereka perlu reda dengan ketentuan Ilahi.

Bertunang pada 6 Oktober tahun lalu, kepincangan tentang hubungan mereka terjadi dua bulan kemudian sebelum akhirnya tidak dapat diselamatkan lagi.

Walhal, jika mengikut perancangan, mereka akan bernikah di antara dua tarikh iaitu 23 atau 24 Mac depan.

Elfira, 24, berbicara tentang ketaatannya terhadap keluarga, terutama ibunya, Filzah Yusoff yang dia percaya perlu dihormati demi mendapatkan restu sebelum dia memulakan hidup baharu bersama Sufian.

KOSMO! : Elfira, apa yang anda boleh katakan mengenai isu putus tunang bersama Sufian?

ELFIRA : Saya terima ketentuan ini dan reda dengan segala yang telah terjadi. Ikatan pertunangan ini juga proses untuk saya dan Sufian berkenalan dan pada ketika ini, jodoh tidak berpihak kepada kami.

Selepas putus tunang, bagaimanakah hubungan ada bersama Sufian?

Kami masih berhubung malah saya juga kerap bertanya keadaannya selepas kejadian yang berlaku. Ya, hubungan kami okey cuma jodoh tidak berpihak kepada kami.

Saya dan Sufian tidak pernah bergaduh atau menyimpan dendam, cuma kami perlu terima hakikat bahawa Allah sudah tentukan jodoh kami hanya setakat ini.

Kenangan mengenali Sufian dan sempat bergelar tunangannya ialah sesuatu yang cukup indah dan saya tidak akan pernah melupakannya.

Siapa kata saya tidak sedih (menangis) tetapi perlu percaya ketentuan takdir Allah ialah sebaik-baik perancangan.

Selain menerima kata-kata semangat, anda juga dikritik teruk oleh segelintir peminat. Ramai yang menyindir sewaktu bertunang, majlis kalian begitu mewah sehingga memakai dua persalinan.

Anda juga dikecam kerana sebelum ini kerap memuat naik gambar bersama yang agak mesra, tetapi apabila pertunangan bermasalah dan putus, anda memilih untuk berdiam. Bagaimana anda mendepadi situasi seumpama ini?

Saya tidak boleh menghalang apa yang netizen hendak cakap kerana mereka tidak tahu apa yang terjadi kecuali ahli keluarga. Saya harap tiada sebarang spekulasi digembar-gemburkan. Cukup orang melihat saya tenang dan itu tandanya saya reda.

Bagaimana pula jika banyak orang yang berasa antara punca kalian putus tunang adalah kerana ibu anda?

Saya tidak salahkan ibu kerana yakin dia lebih tahu apa yang terbaik kerana saya adalah amanahnya.

Sebagai anak, jika ada sekelumit mahupun sebesar zarah rasa tidak sedap hati dalam ibu bapa tentang kami, saya tidak mahu teruskan hubungan ini kerana restu mereka paling penting.

Saya kira ada benarnya kata ibu, kami belum matang. Jika hal sebelum kahwin kami sudah tidak mampu selesaikan, apatah lagi apabila berumah tangga kelak.

Bagaimanakah dengan keadaan dan emosi anda kini?

Saya mungkin kelihatan kuat kerana sebelum cerita ini menjadi heboh (putus tunang), saya sedang menunaikan ibadah umrah jadi Tuhan sudah kuatkan hati saya untuk terima kenyataan. Saya anggap ini ujian daripada-Nya dan perlu reda walaupun ia sukar.

Anda tahu mengenai hasrat Sufian menghasilkan sebuah lagu berdasarkan pengalaman kalian berdua?

Saya ada berhubung dengannya dan bertanya tentang perkara ini. Bagaimanapun ujar Sufian, lagu berkenaan telah lama dibuat sebelum kami bertunang. Jadi, apa yang dia maksudkan adalah perasaan yang dirasai ketika ini akan dijiwai dalam lagu berkenaan. Bukan ia berdasarkan kisah putus tunang kami semata-mata.