Diana atau lebih dikenali sebagai LeDania merupakan pengkarya seni jalanan yang terkenal dari Colombia.

Dia telah menyumbang karyanya yang terkini di dinding bangunan utama Fakulti Bahasa dan Linguistik (FBL), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kerjasama antara UM dan Kedutaan Colombia di Malaysia itu merupakan usaha yang julung-julung kali diadakan.

Menurut LeDania, karya yang dihasilkan itu mewakili tiga elemen utama.

“Pokok ini melambangkan ilmu pengetahuan, bentuk dan penggunaan warna yang terang pula melambangkan kepelbagaian cabang bahasa.

“Elemen akar pula melambangkan asas kepada kekuatan dalaman yang perlu dimiliki oleh mahasiswa dalam menimba ilmu pengetahuan,” katanya pada Majlis Perasmian Lukisan Mural di FBL, UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Duta Besar Colombia di Malaysia, Mauricio Gonzalez Lopez itu turut dihadiri pegawai diplomat dari kedutaan Venezuela, Cuba, Uruguay, Sepanyol, Argentina, Peru dan Brazil.

Tambahnya, dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan karyanya di sebahagian daripada bangunan utama FBL yang terletak berdekatan dengan jalan utama yang mengelilingi kampus.

Karya bersaiz lebih 140 meter persegi itu merupakan mural terbesar di kampus UM.

Pendedahan budaya

“Saya menggunakan teknik semburan sepenuhnya dan turut menggunakan kren bagi menyiapkan karya pada bahagian yang tinggi,” ujarnya yang terkenal dengan lukisan bermotif ceria, positif dan pilihan warna yang terang.

LeDania menerima pendidikan seni visual di Universiti Javeriana iaitu antara universiti tertua di Colombia dan Amerika Selatan.

Hasil karyanya banyak didapati di ibu negara Bogota, Colombia termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.

Sementara itu, Penyelaras Program bahasa Sepanyol di UM, Dr. Rozita Che Omar berkata, idea asal program itu adalah dari kedutaan Colombia di Malaysia yang inginkan kelainan dalam penganjuran sesebuah program pertukaran budaya.

Katanya, kebiasaannya bentuk kerjasama yang diadakan adalah berbentuk formal seperti dialog mengenai budaya dan persembahan kebudayaan antara Malaysia dengan negara-negara yang menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi.

“Namun pada kali ini, kami mencadangkan sesuatu yang berbeza dan menerima sokongan cukup kuat dari kedutaan Colombia untuk mengundang seorang pelukis mural jalanan ke Malaysia.

“Secara tidak langsung, pendedahan kepada budaya dan bahasa Sepanyol dari negara Colombia dapat diterap kepada warga kampus khususnya dan penduduk di negara ini amnya,” ujarnya juga Presiden Pertubuhan Guru-Guru dan Pelajar Bahasa Sepanyol di Malaysia (APELEM).

Menurut Rozita lagi, bagi menghasilkan lukisan yang sesuai dengan bangunan tersebut, LeDania telah memilih tema alam semula jadi dengan menggunakan rona yang sangat bersesuaian dengan warna dinding bangunan yang pada asalnya berwarna merah jambu.

LeDania dipilih mewakili Colombia kerana keupayaannya menterjemah bentuk kebudayaan dan kesenian Colombia dalam bentuk yang mudah diakses oleh orang ramai.

Karya LeDania bukan sahaja terhad kepada mural di bangunan, namun dia juga merupakan seorang jurugambar, pereka grafik, jurumekap dan pereka fesyen.

Projek mural LeDania di FBL, UM ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Hubungan Luar, Colombia dan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Colombia bagi memperkenalkan seni, muzik, teater, kesusasteraan, filem serta makanan Colombia ke seluruh dunia.

“Semoga usaha kecil ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sudah terjalin sebelum ini, melalui penajaan program pertukaran pelajar UM ke universiti di Colombia,” kata Rozita.