Ketika itu, Noor Arzaliza yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi UUM mendapat tahu kafe kopi yang terkenal dalam gaya hidup urban tersebut menawarkan seleksi produk kopi berkualiti, lokasi cawangan strategik, etika kerja profesional termasuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang pelbagai.

Ia sekali gus meletakkan Starbucks sebagai salah sebuah syarikat berkredibiliti tinggi yang mempunyai masa depan yang cerah.

Beberapa hari lalu ketika Noor Arzaliza melayari laman media sosial, pandangannya terhenti pada muat naik rasmi Starbucks mengenai sebuah karnival kerjaya anjuran syarikat berkenaan.

“Ketika itu, saya melayari laman media sosial untuk mencari kerja selepas tamat latihan industri dan saya ternampak muat naik mengenai Karnival Kerjaya Starbucks.

“Sekiranya saya diterima bekerja di Starbucks, saya berasa amat berbesar hati kerana dapat aplikasikan perkara yang dipelajari ke dalam realiti dunia pekerjaan,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! pada Karnival Kerjaya Starbucks di Wisma UOA, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah gadis kelahiran Kota Tinggi, Johor itu, dia cukup teruja apabila diterima bekerja dan membina karier bersama majikan profesional tersebut.

Karnival Kerjaya Starbucks itu merupakan program kerjaya sulung yang dianjurkan oleh syarikat tersebut setelah lebih 20 tahun ditubuhkan di Malaysia.

Ia dianjurkan di kafe Starbucks yang terletak di Wisma UOA, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Sumber Manusia Starbucks Malaysia dan Brunei, June Beh, karnival itu merupakan sebuah acara istimewa apabila para pencari kerja akan mendapat tahu status penerimaan kerja serta-merta setelah ditemu duga.

Selain itu, ia juga berbeza berbanding karnival kerjaya lain yang dianjurkan di seluruh negara.

Katanya, karnival kerjaya yang banyak dianjurkan ketika ini menghimpunkan pelbagai syarikat di bawah satu bumbung.

“Mereka datang sambil membawa banyak resume untuk diberikan kepada syarikat yang mengambil bahagian dan pencari kerja hanya ditemu duga pada hari lain.

Diterima kerja

“Begitupun, belum tentu mereka diterima bekerja kerana persaingan terlalu tinggi daripada para pencari bekerja.

“Bezanya Karnival Kerjaya Starbucks ini lebih berfokus dan peserta dapat melihat serta merasai sendiri pengalaman bekerja di kafe kopi kerana ia diadakan di cawangan Starbucks,” jelasnya.

Menurut June, pihaknya menerima lebih 500 peserta sepanjang karnival selama dua hari itu dan daripada jumlah tersebut, hampir 100 peserta diterima bekerja bersama Starbucks.

Menariknya, golongan tersebut dapat memohon kerja menerusi temu bual itu tanpa perlu membawa sebarang resume.

June memberitahu, Starbucks hanya mahu individu yang ikhlas dan bersungguh-sungguh ketika bekerja.

Kriteria tersebut boleh dilihat ketika sesi temu bual yang diadakan pada hari sama.

Sesi temu bual itu dikendalikan oleh lebih 30 pengurus cawangan Starbucks dari pelbagai lokasi, antaranya Shah Alam, Petaling Jaya, Subang di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Peserta yang berjaya dalam temu bual itu akan ditawarkan jawatan bekerja bersama Starbucks di pelbagai lokasi seluruh negara.

“Mereka akan menjalani program latihan berstruktur selama enam bulan meliputi aspek penyediaan kopi, melayan pelanggan, pembersihan serta aspek pengurusan.

“Selain itu, kami juga menerima golongan yang mahu menjalani latihan industri di kafe kopi kami,” kongsinya.

Peserta yang berdaftar pada karnival itu menerima peluang menyertai cabutan bertuah, baucar serta menjalani pelbagai aktiviti menarik.

Aktiviti menarik

Antara aktiviti menarik yang ditawarkan ialah sesi pengenalan biji kopi, melukis doodle dan cabaran mengutip biji kopi menggunakan penyepit.

Tambah June, sekiranya modul pencarian pekerja yang dilaksanakan menerusi karnival itu berjaya, ia akan diaplikasikan di cawangan Starbucks yang lain di seluruh negara.

Katanya, matlamat program tersebut ialah menawarkan seberapa banyak peluang pekerjaan kepada golongan yang mencari pekerjaan.

Sebanyak tiga kategori pekerjaan yang ditawarkan oleh Starbucks iaitu barista, pengurusan latihan dan latihan industri.

Peserta yang berjaya dalam sesi temu duga itu turut bermula dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Pengurus Daerah Starbucks, Norazrul Izam berkata, karnival kerjaya itu perlu dimanfaatkan oleh golongan graduan yang baru tamat pengajian.

Biarpun kerja itu bermula sebagai seorang pembuat kopi, pelan pembangunan kerjaya di Starbucks adalah sangat luas dan Norazrul berpendapat ia cukup efisien.

Norazrul turut bermula sebagai barista pada tahun 2008 ketika berumur 19 tahun, namun dalam masa dua tahun dia telah memegang jawatan sebagai penyelia cawangan.

“Ia merupakan satu platform kerjaya yang sangat luas dan pekerja mampu naik pangkat dalam masa singkat.

“Dengan pembukaan Starbucks baharu di seluruh negara, pastinya kami mahu mengambil lebih ramai pekerja yang berkebolehan serta boleh bekerja dalam persekitaran baik.

“Selain itu, Starbucks juga menyediakan pelbagai modul latihan yang cukup teratur, bukan sahaja dari segi amalan kerja, malah bahasa pengantara seperti bahasa Inggeris bagi pekerja baharu,” jelasnya yang menjadi penemu bual pada kerjaya itu.

Tambah Norazrul, kebanyakan belia menyatakan kebimbangan dan risau bekerja di Starbucks disebabkan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang terhad.

Bagaimanapun jelasnya, kebolehan itu boleh diasah, malah Starbucks turut menggalakkan para pekerja untuk mahir berkomunikasi dengan setiap pelanggannya tanpa mengira bangsa.

“Saya lihat perkara ini bukanlah suatu isu kerana sekiranya kita rela untuk belajar perkara baharu setiap hari, lambat-laun pasti akan mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Saya dulu pun tidak mahir untuk bercakap dalam bahasa tersebut namun setelah setiap hari belajar dan mengamalkannya, akhirnya saya bercakap dengan fasih,” kongsinya lagi.