Memandangkan ketika itu musim cuti persekolahan, lelaki yang berasal dari Melaka tersebut menurut sahaja kehendak bapanya.

Namun, pembabitannya dalam Persatuan Menembak Melaka yang pada mulanya sekadar suka-suka menjadi serius selepas dia berasa seronok dan teruja dengan sukan berkenaan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Johnathan tentang latar belakang dan kerjayanya sebagai penembak negara.


 

5. Apakah nasihat saudara kepada masyarakat, terutamanya golongan belia yang ingin melibatkan diri dalam sukan menembak?

Menembak merupakan sukan yang luar biasa. Kalau berminat, langkah pertama adalah mengenal pasti dan menyertai persatuan menembak yang terdekat dengan anda.

Atlet menembak di negara kita juga sangat terhad, jadi saya berharap lebih ramai anak muda membabitkan diri menerusi sukan ini untuk mengukir nama negara pada peringkat dunia.

4. Apakah cabaran atau halangan yang saudara perlu tempuhi?

Bergelar seorang atlet dan pada masa yang sama bergelar pelajar bukan sesuatu yang mudah.

Bagi memastikan waktu latihan yang mencukupi, saya perlu mengatur semula waktu kelas serta menangguhkan pengajian.

Saya berharap pengorbanan ini berbaloi demi masa depan saya kelak.

3. Apakah kepuasan yang saudara peroleh menerusi sukan berkenaan?

Pada perlawanan akhir, saya sering gementar, namun saya dapat mengharungi cabaran tersebut dengan melakukan tembakan yang sempurna. Itulah kepuasan yang terbaik.

Ditambah pula apabila berjaya memenangi pingat untuk negara, kepuasan itu memang tidak dapat digambarkan.

2. Mengapa saudara meminati sukan tersebut?

Saya sendiri tidak sangka akan meminati sukan menembak. Sebenarnya saya meminati filem aksi di televisyen, saya sangka amat mudah mengendalikan sepucuk pistol, namun saya silap sama sekali.

Apabila sudah memasuki lapangan ini, lama-kelamaan saya suka pada sukan menembak. Saya sering mencabar diri untuk mempamerkan aksi terbaik pada setiap pertandingan.

Cinta saya terhadap sukan ini semakin kuat apabila sering dihantar beraksi pada pertandingan besar untuk memantapkan lagi kebolehan.

1. Boleh ceritakan mengenai latar belakang saudara?

Saya merupakan anak kelahiran Melaka dan berumur 26 tahun. Saya adalah anak ketiga daripada empat orang adik-beradik.

Saya mula menembak ketika berusia 13 tahun. Pada usia itu saya memasuki Persatuan Menembak Melaka. Dua tahun kemudian, saya mewakili Melaka pada Sukan Malaysia (Sukma) Kedah.

Boleh dikatakan, perjalanan karier saya bermula pada 2009 apabila ditawarkan memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil,sekali gus menjadi pelapis pasukan junior kebangsaan.

Saya kini menyambung pengajian dalam jurusan kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.