Untuk pengetahuan Che Kuntum, jiran saya merupakan ibu tunggal yang berusia dalam lingkungan 50-an. Dia tinggal bersama anak bongsu perempuannya yang masih belum berkahwin.

Apa yang merunsingkan saya, dia sering bergaduh dengan anaknya sehingga mengganggu ketenteraman saya. Pergaduhan itu adakalanya berlanjutan sehingga berjam-jam.

Anak saya yang masih bayi sering terkejut kerana tidak dapat tidur lena disebabkan suara mereka yang memekik dan menengking di antara satu sama lain dengan kuat.

Saya mahu menegur perbuatan mereka tetapi suami tidak mengizinkan kerana hormat dengan kedua-duanya yang sudah dewasa. Apa yang patut saya lakukan Che Kuntum?

NABILAH,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

WAALAIKUMUSSALAM Nabilah. Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah. Sudah menjadi lumrah hidup berjiran, ada beberapa perkara yang mereka lakukan perlu ditelan walaupun pahit.

Pada pendapat Che Kuntum, Nabilah boleh menegur mereka tetapi dengan cara yang berhemah kerana jika anda mengambil keputusan mendiamkan diri, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang timbul.

Apa yang boleh Che Kuntum cadangkan, Nabilah boleh memberitahu mereka yang anak anda sering menangis kerana tidak dapat tidur lena.

Nabilah juga boleh berbincang dengan suami untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak. Setiap masalah pasti ada penyelesaian. Semoga Nabilah terus kuat dan bersabar dengan cabaran hidup berjiran.