Lihat sahaja lagu nyanyiannya berjudul Air Mata Hati yang dimuat naik di YouTube, mendapat perhatian kira-kira 98,582 orang peminat keroncong.

Setiap bait sebutannya begitu jelas serta lenggok nyanyian agak tersusun membuatkan pendengarnya dibuai khayalan.

Tidak keterlaluan jika Jamilah digelar Puteri Ke­roncong atau waris keroncong bakal menjadi penyanyi terkenal negara suatu hari nanti.

Ia tidak mudah kerana hanya mereka yang mempunyai ton suara lemak merdu dengan gaya terlatih sahaja dapat melantunkan lagu keroncong dengan baik.

Meskipun kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik), namun Jamilah kini tampil dengan single terbaharu berjudul Memori Cinta Suci bagi mengubati rindu peminatnya.

“Seronok sepanjang menyiapkan proses album ini kerana saya benar-benar menghayati lirik lagu yang puitis dan romantik. Apatah lagi, ia didendangkan bersama alunan irama yang mengasyikkan,” katanya kepada Kosmo!.

Malah, anak ketujuh daripada sembilan orang adik-beradik itu memberitahu, dia masih aktif menerima undangan nyanyian di seluruh negara.

“Sehingga kini, saya masih menerima undangan untuk membuat persembahan nyanyian lagu keroncong pada majlis-majlis korporat dan perkahwinan ketika berkelapangan.

“Saya cuba membahagikan masa sebaik mungkin dan tidak melepaskan peluang yang ditawarkan sekiranya berkelapangan,” katanya yang mula pada menyanyi sejak umur lapan tahun.

Baiki kualiti nyanyian

Anak kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu memberitahu, dia cuba untuk mengaplikasikan segala yang dipelajari ketika membuat persembahan.

“Seorang penyanyi yang baik perlu sentiasa memperbaiki kualiti nyanyian dan ia hanya boleh dilakukan dengan latihan secara berterusan.

“Oleh itu, teori dan praktikal yang dipelajari di UPSI akan diterjemahkan dalam persembahan nyanyian. Ia ibarat eksperimen untuk melihat hasil daripada percubaan yang dilakukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jamilah menganggap setiap persembahannya sebagai pengalaman berharga yang amat diperlukan untuk bergelar seorang pensyarah muzik suatu hari nanti.

Bagi Jamilah, ilmu pengetahuan amat penting dalam memastikan seorang penyanyi itu kekal relevan dalam industri dan menyumbang kepada negara.

Jamilah sebelum ini pernah melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebelum mendapat tawaran dari Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, selepas menamatkan pengajian selama satu semester di sana dia telah membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia apabila tidak mendapat tajaan untuk meneruskan pengajian.

Enggan mensia-siakan bakat yang ada, Jamilah nekad untuk terus menuntut ilmu dan memilih UPSI sebagai medan perjuangannya.

Sejak itu, dia berazam mahu menjadi seorang penyanyi keroncong yang terlatih dan berkongsi ilmu yang dimiliki dengan anak didiknya kelak.

Jamilah mengakui mewarisi bakat seni daripada moyang sebelah ibunya yang aktif dalam Main Puteri iaitu perubatan tradisional yang telah diamalkan masyarakat Melayu Kelantan-Pattani untuk mengubati penyakit berkaitan semangat dan kejiwaan atau lebih dikenali sebagai pelepas angin.

Menyingkap titik permulaan Jamilah dalam bidang seni tradisional terutamanya keroncong, peminat penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin itu menyatakan semuanya bermula sejak 13 tahun lalu.

Salah seorang gurunya telah memilih Jamilah mewakili sekolah ke Pertandingan Keroncong Remaja peringkat negeri Selangor disebabkan dia selalu melakukan persembahan nyanyian di Sekolah Kebangsaan Bukit Teratai, Ampang, Kuala Lumpur.

Malangnya, Jamilah tidak dibenarkan bertanding kerana tidak melepasi umur yang ditetapkan namun dia masih diberikan peluang untuk menyanyi sebagai penyanyi jemputan.

Bertitik tolak daripada episod itulah, Jamilah berjaya menambat hati Abdullah Jufri iaitu salah seorang juri profesional pada pertandingan keroncong tersebut dan bermulalah langkahnya sebagai seorang penyanyi.

Bakat luar biasa yang dimilikinya menarik nama-nama besar yang cukup tersohor dalam muzik tradisional itu seperti Mahzan Manan, Raftah Bachik dan Mariam Ahmad untuk terus mengasah bakatnya.

Nasihat guru

Lebih membanggakan, Jamilah turut berguru dengan komposer keroncong terkenal dari Indonesia, Wawang Wijaya selama lima tahun sebelum gurunya itu meninggal dunia pada tahun 2009.

“Nasihatnya masih berbekas di hati saya sehingga kini. Dia mahu saya menyanyi dengan ikhlas dan tidak mempedulikan sindiran orang sekeliling.

“Dia mengajar saya menyanyikan irama keroncong dengan betul dengan memberi penekanan kepada aspek lenggok dan patah kata. Saya tidak akan sesekali melupakannya,” ujar Jamilah. Aura luar biasanya tidak dapat disangkal apabila merangkul pelbagai kejuaraan seperti Johan Bintang Kecil Selangor 2007, Johan Karaoke Terbuka Tahun Melawat Malaysia 2007, Johan Kuala Lumpur Performing Art Center (KLPAC) Idol 2009, Johan Pertandingan Nyanyian Solo Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat 2011 dan Johan MFace/Mingguan Malaysia 2Minutes 2Fame Pulau Pinang 2012.

Meskipun bakat nyanyiannya menyerlah namun dia tidak sesekali mengabaikan pelajarannya dan membuktikan bahawa kesibukan bukan halangan untuk berjaya.

Jamilah berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah Jamilah yang menduduki peperiksaan Australian Guild Music & Speech Examination Board pada tahun 2011 turut mendapat keputusan yang cemerlang iaitu Pangkat 7.

Jamilah yang berkebolehan menyanyikan lagu dalam bahasa Hindi, Mandarin dan Jepun mengakui tidak kisah dirinya tidak dikenali ramai kerana dia mempunyai pengikut sendiri.

“Setiap penyanyi mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Saya bersyukur kerana masih ramai yang meminati muzik keroncong.

“Bapa saya rajin memuat naik nyanyian saya di Youtube dan alhamdulillah bukan sahaja mendapat tontonan dalam negara bahkan luar negara. Saya akan terus berjuang untuk memartabatkan lagu keroncong,” ujarnya.