Ada yang memakai kuffiyah iaitu penutup kepala tradisional yang diperbuat daripada kain, gamis iaitu jubah labuh berlengan panjang dan mempunyai seluar di dalamnya. Kedua-dua pakaian itu lazimnya digunakan kaum lelaki yang tinggal di negara Arab Saudi.

Sementara itu, bagi wanita pula ada yang memakai niqab atau penutup muka, khimar iaitu tudung labuh yang panjang dan abaya serta jubah.

Suasana di pekarangan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Kuala Lumpur begitu meriah dengan kehadiran pelajar tempatan dan antarabangsa.

Menurut Nik Ahmad Hafizuddin Mahdy, 19, yang mewakili Kolej Profesional Mara Ayer Molek, Melaka, setiap pakaian itu menonjolkan identiti negara yang mereka wakili.

Tuturnya, ia adalah sebahagian daripada inisiatif pelajar-pelajar dalam program Institusi Pendidikan Tinggi Mara (IPMA) Global Village 2018.

“Pada tahun ini, IPMA Global Village membawakan tema kebudayaan seni Islam dari negara-negara Asia Barat seperti Mesir, Oman, Turki, Maghribi, Qatar, Jordan, Palestin dan banyak lagi.

Kebudayaan

“Setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terlibat perlu menonjolkan kebudayaan negara yang diwakili dengan memaparkan elemen-elemen kebudayaan seperti pakaian, makanan, tarian, alat muzik dan permainan mengikuti kreativiti masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup IPMA Global Village 2018 di KUPTM Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya yang berasal dari Kelantan, dia bersama pasukannya terdiri daripada 11 orang peserta perlu menonjolkan kebudayaan seni Islam dari Jordan.

“Selain membuat kajian di internet dan perpustakaan, kami juga ke Kedutaan Jordan untuk mendapatkan risalah-risalah dan informasi berkaitan negara itu.

“Malah, kami turut mendapatkan maklumat daripada salah seorang tenaga pengajar kami yang mempunyai suami berasal dari Asia Barat,” ujarnya sambil menunjukkan reruai (gerai pameran) mereka dihiasi dengan pelapik tempat duduk dan bantal bagi menyerupai ruang tamu rumah-rumah di Jordan.

Malah, bagi menambah keceriaan, Nik Ahmad Hafizuddin bersama pasukannya turut meletakkan rekaan tiang rumah yang diperbuat daripada gabus dan menggantung tulisan khat di reruai mereka bagi membangkitkan suasana sebenar tempat tinggal di Jordan.

Selain menghiasi reruai, terdapat tiga lagi aktiviti yang dipertandingkan iaitu nyanyian nasyid, pengucapan awam dan tulisan khat.

Tuan rumah

Bagi Kolej Profesional Mara Ayer Molek, Melaka, kumpulan itu telah memenangi tempat kedua untuk kategori nyanyian nasyid, manakala tempat ketiga bagi pertandingan tulisan khat.

Bagi nyanyian nasyid, mereka membawakan lagu berjudul Aura Kemasyhuran dan untuk kategori pengucapan awam, mereka membentangkan isu mengenai masalah pengembangan Islam di Jordan.

Bercerita lanjut, penuntut Diploma Perakaunan itu memberitahu, mereka mengambil masa kurang sebulan untuk membuat persiapan bagi keempat-empat kategori.

IPMA Global Village 2018 berlangsung selama tiga hari dari 15 hingga 17 Julai lalu.

Program itu disertai oleh 19 IPMA dari seluruh negara. Ia melibatkan 247 peserta dengan setiap IPMA diwakili oleh 11 orang pelajar dan dua orang guru pengiring.

Program IPMA Global Village berkenaan adalah cetusan idea daripada Bahagian Pendidikan Tinggi Mara. Ia bertujuan memperkenalkan budaya negara-negara luar dengan melibatkan semua IPMA.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Intan Jashmira Jabarudin dari KUPTM Kuala Lumpur pula berkata, pasukannya bukan sahaja menjadi tuan rumah bagi penganjuran program berkenaan, malah membawa satu tanggungjawab besar apabila diberikan tugas untuk membawa nama Malaysia.

Justeru, katanya, mereka memilih konsep Melayu untuk ditonjolkan kepada pelajar-pelajar dan pengunjung.

“Di reruai ini, kami menyediakan alat muzik seperti gong, gendang serta gamelan, permainan congkak dan para peserta memakai pakaian tradisional iaitu baju Melayu dan baju kurung untuk ditonjolkan kepada pengunjung.

“Kami amat gembira dan berbesar hati kerana dapat memberikan maklumat kepada orang ramai tentang keunikan Malaysia,” jelasnya.

Pemikiran global

Ditanya apakah signifikan utama yang diperoleh daripada IPMA Global Village, Intan memberitahu, penganjuran program seumpama itu dapat menerapkan pemikiran global dalam kalangan pelajar-pelajar KPTM dan KUPTM.

Katanya, semua pelajar dapat mengenali budaya Islam dan masyarakatnya dengan lebih dekat selain memupuk rasa ingin menjejakkan kaki ke negara-negara Islam terbabit.

Setuju dengan perkara itu, rakan sepasukannya, Muhammad Fazli Mad Pauzi pula memberitahu, penganjuran program seperti itu memberi pengalaman hebat kepada pelajar-pelajar kerana dapat mengenali budaya negara Asia Barat dengan lebih dekat.

“Antaranya mengenali makanan tempatan, rutin harian dan bahasa pertuturan mereka,” terangnya.