Sambil tangan kanan mengaut tanah dengan menggunakan sudu yang disediakan, kanak-kanak tadi turut mendengar arahan daripada fasilitator.

Sesekali mereka meminta bantuan daripada fasilitator masing-masing bagi memastikan tanaman hidroponik yang dilakukan menjadi.

Fasilitator yang terdiri daripada pelajar Asasi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula begitu tekun menerangkan langkah-langkah penanaman hidroponik kepada kanak-kanak cilik berkenaan.

Seramai 49 orang kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun menyertai Program Agrokids Volume 4.0 Where Science and Nature Applied anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan kerjasama pelajar Asasi UniKL di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut pelajar Asasi Sains dan Teknologi UniKL, Tuan Muhammad Muqri Tuan Kamaruzani, 19, objektif penganjuran program itu bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang implikasi sains dan teknologi dalam kehidupan.

“Menerusi pengetahuan yang kami ada, kami kongsi bersama kanak-kanak ini dengan mendedahkan mereka tentang aktiviti menggunakan sains ringkas.

“Antaranya seperti melakukan tanaman hidroponik, mewarna baju dan membuat sabun,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di bangunan Nafas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Seramai 10 orang pelajar Asasi UniKL terlibat pada penganjuran program tersebut.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Me and Hydroponic yang dilakukan bersama wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Easy Piesy Soap, Rock Painting, Kids Amazing Experiments dan Work-on My T-shirt.

Program dimulakan seawal pukul 7.30 pagi dengan para peserta bersama pelajar UniKL berkumpul untuk memulakan sesi pendaftaran diikuti dengan senam robik.

Hidroponik

Kemudian aktiviti pertama dimulakan dengan pembahagian kumpulan. Setiap fasilitator ditugaskan untuk menjaga lima orang kanak-kanak.

Fasilitator program, Nur Hazimah Khairul, 19, berkata, aktiviti seumpama itu memberinya peluang untuk melatih diri menjadi seorang fasilitator yang baik.

“Program ini melatih saya untuk mengendalikan kanak-kanak serta menerangkan kepada mereka mengenai fungsi dan kegunaan setiap bahan.

“Seronok apabila bukan kanak-kanak ini sahaja yang dapat menambah ilmu pengetahuan malah saya sendiri berpeluang membuat sabun dan tanaman hidroponik yang sebelum ini tidak pernah dilakukan,” ujarnya.

Tambah Nur Hazimah yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang veterinar, semasa melakukan latihan praktikal bersama kanak-kanak, dia turut mendapat ilmu tentang cara-cara melakukan pertanian bandar.

Ujarnya, sebelum ini dia tidak berpeluang untuk mempelajari teknik penanaman hidroponik, namun selepas mendengar taklimat daripada wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, baharu dia mengetahui cara yang betul untuk melakukan penanaman hidroponik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Projek Program Agrokids Volume 4.0, Nor Izzati Kamalrudin, 29, berkata, tema sains dan alam sekitar dipilih bagi memperkenalkan kanak-kanak dan mahasiswa tentang kepentingan tumbuhan dan fungsinya pada kehidupan seharian.

“Melalui program ini, kita dapat menjalinkan hubungan kerjasama bersama kanak-kanak cilik dan mahasiswa bagi meningkatkan kesedaran terhadap implikasi sains dan teknologi kepada bidang pertanian.

“Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kemampuan asas kanak-kanak ini untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi serta dalam masa yang sama mendedahkan kepada pelajar UniKL bagaimana cara menjadi fasilitator yang bertanggungjawab,” tuturnya.

Program Agrokids anjuran Nafas itu merupakan program tahunan yang dilakukan sekali atau dua kali dalam setahun.

Sebelum ini, program Agrokids telah dilakukan di beberapa lokasi antaranya pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018.