Kejohanan hoki edisi ke-28 itu disertai oleh enam pasukan dan sedang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh bermula pada Sabtu lalu hingga 30 Mac ini.

Sebelum ini, anak kelahiran Johor itu pernah beraksi pada kejohanan edisi ke-26 dan 27.

“Ini kali ketiga saya berpeluang untuk bermain dan jika diberikan kepercayaan oleh jurulatih, saya akan beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama.

“Pada tahun 2017 dan 2018, saya hanya berada di bangku simpanan kerana pada masa itu S. Kumar ialah penjaga gol pertama,” katanya ketika ditemui GenK di Wisma Bawal Ali 1, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Hairi, pasukan yang bertanding pada kejohanan tersebut ialah Malaysia (tuan rumah), Kanada, India, Korea Selatan, Jepun dan Poland.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu berpendapat, pada kejohanan kali ini, Malaysia mampu meraih gelaran juara kerana hanya dua negara yang mengatasi ranking Malaysia iaitu India berada pada kedudukan kelima dan Kanada (10).

“Peluang lebih besar apabila juara bertahan Australia tidak menyertai kejohanan kali ini kerana terlibat dalam Liga Profesional Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang sedang berlangsung dari Januari hingga Jun depan.

“Jadi, pasukan Malaysian Tigers mempunyai peluang yang cerah untuk merangkul juara buat pertama kalinya sejak kejohanan itu dipertandingkan,” ujarnya.

Hairi memberitahu, walaupun pasukan gergasi seperti Australia dan New Zealand tidak menyertai kejohanan kali ini, tetapi juara Sukan Asia, Jepun perlu diberi perhatian.

Sebagai rekod, sejak kejohanan tersebut dianjurkan bermula pada tahun 1983, Malaysia belum pernah muncul juara. Bagaimanapun, pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul naib juara sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Selain itu, Hairi berkata, peluang yang diberikan selaku pengganti S. Kumar merupakan tanggungjawab yang besar buat dirinya.

“Semua orang tahu Kumar mempunyai tahapnya yang tersendiri dan mempunyai kemahiran menjaga gawang dengan baik.

Tingkat prestasi

“Jika dipilih menggantikan posisinya, saya perlu menunjukkan prestasi yang setaraf dengannya atau lebih,” ujar bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru itu.

Namun, Hairi berkata, beliau enggan dilabel sebagai pemain pelengkap dan mahukan khidmatnya ditagih Malaysian Tigers.

Hairi bersaing dengan seorang lagi penjaga gol negara, Hafizuddin Othman untuk merebut posisi utama dalam kejohanan di Ipoh itu.

Meskipun kerap diletakkan sebagai penjaga gol simpanan sebelum ini, Hairi bertekad untuk mengubah persepsi itu bagi memastikan peluangnya dalam edisi kali ini tidak berlalu dengan sia-sia.

Dia sedar Kumar pasti akan kembali memperkuatkan skuad negara dalam Kejohanan Siri Final Dunia bulan depan dan persaingan sengit itu akan diteruskannya bagi menambat hati pengendali kebangsaan, Roelant Oltmans.

“Saya perlu fokus kepada tugasan saya, termasuk dalam sesi latihan dengan terus gigih berusaha.

“Bagi saya, Kumar masih di prestasi terbaik dan sebagai penjaga gol simpanan, saya perlu meningkatkan prestasi saya,” katanya.

Dalam pada itu, penyerang skuad hoki negara, Mohd. Firhan Ashaari, 26, berkata, dia akan menggunakan kemahiran yang ada sebaik mungkin untuk merobek gawang pihak lawan.

“Pada kejohanan kali ini, Malaysia sangat bertuah kerana laluan untuk ke pentas akhir tidak begitu sukar seperti sebelumnya.

“Pendapat saya, pasukan yang akan memberi sedikit tekanan kepada skuad kebangsaan ialah India dan Jepun,” katanya yang pernah bersama pasukan hoki negara ketika merangkul gelaran naib juara pada tahun 2014.

Walau bagaimanapun, Firhan berkata, itu tidak bermakna pasukan Malaysia boleh mengambil mudah dengan pasukan-pasukan lain.

“Jika kami berdepan pasukan bukan pilihan, kami menyedari mereka juga boleh bermain hoki dan mempunyai standard yang tersendiri di peringkat tertinggi.

“Kami tidak boleh mengambil mudah memandangkan kami tidak tahu perancangan pasukan lain.

“Kami perlu mengambil serius setiap perlawanan,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Menurut anak jati Terengganu itu, Malaysia tidak pernah mengecapi gelaran juara pada kejohanan tersebut kerana selalu berdepan dengan kelab-kelab gergasi dunia seperti Australia dan Pakistan.

“Walaupun kita tewas, semua ahli pasukan memberi tentangan hebat kepada pihak lawan,” tuturnya.