Bagaimanapun, kontroversi jadi menggelegak apabila Haqiem atau nama penuhnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 20, dituduh netizen sebagai penipu dan didakwa menggunakan isu kemurungan sebagai gimik untuk melariskan single terbaharunya yang berjudul Selamat Tinggal Sayang.

Menjawab segala persoalan, kecaman dan kontroversi ‘drama’ kemurungannya, Haqiem telah mengadakan sidang akhbar khas pada minggu lalu

Puas beremosi, penyanyi lagu Tergantung Sepi itu bagaimanapun gagal meyakinkan netizen dan pihak media mengenai kebenaran masalah kemurungan yang dihadapinya.

Selepas menerima kecaman tanpa henti, Haqiem akhirnya akur untuk mengaturkan pertemuan pertama dengan doktor psikologi, Yong Song Sheng di International Psychology Centre di Taman Desa, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu. Dari situ, barulah secara klinikal disahkan mengalami kemurungan tahap tiga atau kemurungan sederhana.

KOSMO!: Jadi, adakah benar Haqiem mengalami kemurungan?
HAQIEM RUSLI: Saya telah mengadakan pertemuan dengan doktor psikologi, Yong Song Sheng di International Psychology Centre di Taman Desa, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan disahkan mengalami kemurungan tahap tiga daripada empat iaitu kemurungan sederhana.

Mengapa baru sekarang bertemu dengan doktor sedangkan anda mengumumkan kepada semua tentang simptom kemurungan yang dihadapi sejak awal tahun?

Sebelum ini saya asyik berdegil dan menyangka ia tidak serius. Sebenarnya saya agak terkejut kerana menyangka hanya mengalami kemurungan ringan, rupa-rupanya kemurungan sederhana.

Apa kata doktor mengenai kemurungan yang anda alami?

Saya masih boleh bekerja seperti biasa kerana buat sementara waktu ini, doktor tidak melihat keperluan untuk saya berehat. Namun, saya perlu bertemu dengan doktor seminggu sekali untuk rawatan, mengubah corak pemakanan dan mengambil suplemen tertentu.

Bagaimana perasaan anda apabila dituduh menipu mengenai masalah kemurungan yang dihidapi?

Sedih kerana orang ramai tidak percayakan saya. Mereka tiada di tempat saya dan tidak tahu apa yang saya rasakan. Sejujurnya, saya tertekan kerana kerap diejek dan dipermainkan, khususnya di laman sosial. Khalayak sering memperlekehkan wajah dan imej saya. Perkara tersebut membuatkan saya benar-benar sedih.

Apabila anda dituduh menipu dan menggunakan alasan depresi sebagai pelaris bagi menjual lagu, apakah respons ibu anda?

Sejujurnya, ibu saya, Nazrah Nordin merupakan individu yang paling rapat dengan saya. Biarpun dia tidak pernah masuk campur dalam hal karier, namun ibu banyak memberi semangat. Dia selalu berpesan supaya saya sentiasa jaga solat dan ingat Tuhan. Perkara itu yang saya pegang sehingga sekarang.

Isu ini menjadi lebih hangat apabila rakan artis, Ernie Zakri yang juga merupakan artis rakaman FMC menegur anda secara terbuka di laman sosial. Teguran tersebut bukan sahaja tular, tetapi turut mendapat sokongan daripada peminat. Adakah anda terkesan dengan teguran tersebut?

Saya faham, mereka marah. Saya sendiri tidak jangka ia akan menjadi sebesar dan serius sebegini. Justeru, pada kesempatan ini, saya mahu memohon maaf secara terbuka kepada Ernie.

Melihat pada gaya anda di laman sosial, anda seperti kurang terbuka dengan teguran. Adakah anda merupakan seorang penyanyi yang tidak boleh diusik?

Tidak sama sekali. Saya terbuka dengan kritikan. Cuma, jika mahu menegur, saya berharap ia tidak dilakukan di laman sosial. Sebaliknya, hubungi saya dan kita boleh berbincang secara profesional.

Tidakkah anda risau jika rasa percaya khalayak luntur terhadap anda?

Saya sedar mengenai perkara tersebut. Tetapi, saya percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. Ini merupakan teguran Allah kepada saya supaya tidak mempermainkan hal-hal sensitif secara sewenang-wenangnya. Semoga peminat, pihak media dan rakan-rakan artis dapat memaafkan dan memberikan peluang kedua kepada saya.