Pada hari berkenaan, seluruh keluarga akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu sanak saudara yang sekian lama tidak berjumpa.

Begitu pun, tidak kurang yang tidak dapat pulang beraya atas tuntutan bekerja atau belajar di luar negara.

Ini termasuklah dua atlet sepak takraw kebangsaan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir dan rakan sepasukannya, Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar.

Menurut Muhammad Hairul Hazizi atau lebih mesra disapa Hazizi, 25, sudah dua tahun berturut-turut dia tidak dapat menyertai isteri, Nuraina Amirah Mohd. Zaini, 25, pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak atas faktor komited dengan kerjayanya sebagai pemain takraw kebangsaan.

“Perasaan serba salah itu memang ada lebih-lebih lagi apabila saya belum pernah berjumpa dengan keluarga besar sebelah isteri yang berasal dari sana (Sarawak) tetapi apakan daya cuti raya saya tidak panjang.

“Hari raya ketiga, saya sudah kembali bekerja dengan melakukan pelbagai latihan yang telah ditetapkan jurulatih dan skuad sebagai persediaan untuk ke Sukan Sea di Filipina pada November nanti,” katanya ketika ditemui GenK di Studio Astro Arena, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sugul

Tambah Hazizi yang menyandang posisi tekong dalam pasukan takraw, pada hari raya pertama dan kedua, dia pulang ke kampung keluarganya di Batu Pahat, Johor bersama isteri sebelum suri hatinya itu pulang ke Sarawak pada raya ketiga.

“Isteri pulang ke Sarawak untuk menyambut Aidilfitri bersama datuk dan neneknya manakala saya pula ke Kuala Lumpur untuk meneruskan latihan sepak takraw.

“Walaupun tidak dapat turut serta, saya akan mengambil cuti untuk bertemu keluarga besar isteri selepas segala kejohanan tamat,” jelas anak kedua daripada enam beradik itu.

Bercerita lanjut mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Hazizi dengan nada sugul menjelaskan, Syawal kali ini tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya kerana datuknya, Salamon Samion meninggal dunia pada Mac lalu.

“Suasana meriah pada pagi Syawal tidak seperti tahun sebelum ini apabila tiada lagi suara riuh datuk yang mengejutkan cucu-cucunya supaya segera bangun untuk sembahyang raya.

“Saya amat rapat dengan arwah datuk, pemergiannya begitu terkesan pada saya,” ujarnya yang berkhidmat sebagai tentera di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Seremban, Negeri Sembilan.

Seorang lagi rakan sepasukannya, Mohd. Khairol Zaman yang mesra disapa Zaman, 25, turut menempa nasib sama apabila hanya berpeluang beraya bersama isteri, Hamirah Abd. Hamid, 28, dan anak perempuan berusia lima bulan pada Aidilfitri pertama dan kedua sahaja.

“Kami diberikan cuti bermula dari 2 hingga 6 Jun sebelum perlu beraksi kembali di gelanggang untuk menjalani latihan takraw.

“Kejohanan paling terdekat ketika ini ialah Liga Sepak Takraw (STL) 2019 yang akan bermula pada 6 September hingga 3 November manakala bagi peringkat nasional adalah Sukan Sea di Filipina pada hujung November nanti,” ujarnya yang bermain di posisi apit kanan.

Tutur Zaman yang menyambut raya di kampungnya, Seremban, Negeri Sembilan, lazimnya atlet-atlet takraw akan berlatih setiap hari bermula dari awal pagi hingga lewat petang.

“Hanya pada hujung minggu kami diberikan rehat. Itupun, ada antara kami yang melakukan latihan sendiri seperti berjoging.

“Inilah pengorbanan yang kami dan keluarga perlu ambil apabila menjadi atlet negara,” katanya yang menyertai sukan takraw pada tahun 2013.