Salah satu kebudayaan Melayu yang masih diamalkan pada zaman ini ialah seni persembahan teater.

Menurut Pensyarah Jabatan Tari Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya (UM), Dr. Rosdeen Suboh, terdapat lima jenis seni persembahan teater tradisional Melayu iaitu makyung, bangsawan, mek mulung, randai dan jikey.

“Kesemuanya berkongsi elemen yang hampir serupa tidak kira melalui adunan tarian, nyanyian atau lakonan.

“Setiap jenis seni persembahan ini mempunyai fungsi dan nilai yang tertentu di dalam masyarakat Melayu dan tidak terhad untuk tujuan hiburan semata-mata,” katanya pada majlis pementasan Puteri Bunga Bakawali di Panggung Eksperimen, UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di bawah pengarahan Rosdeen, sebuah persembahan teater jikey bertajuk Puteri Bunga Bakawali telah diadakan pada 18 hingga 20 Januari lalu.

Pementasan yang melibatkan lebih 30 individu itu merupakan kesinambungan program tahunan mahasiswa dan pensyarah Pusat Kebudayaan UM sejak 2014 yang telah mementaskan pelbagai jenis teater tradisional dari dalam dan luar negara.

“Setakat ini, kami telah mementaskan teater bangsawan, drama tari makyung Riau yang berasal dari Sumatera, mek mulung yang berasal dari Kedah dan likey yang berasal dari Thailand.

“Program yang dilaksanakan menerusi aktiviti kumpulan Sri Malaya ini diharapkan kekal dan diteruskan pada masa hadapan dan menjadikan Pusat Kebudayaan UM sebagai hab teater tradisional serantau,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut kajian yang dilakukan oleh Rosdeen, jikey dikatakan mempunyai persamaan dengan teater tradisional yang dipersembahkan di selatan Thailand (dikenali sebagai likey) dan Kemboja (dikenali sebagai yike).

“Versi jikey yang diamalkan di Malaysia adalah berkisar mengenai kisah yang dibawa oleh watak saudagar berbangsa Farsi dari India yang menetap di Tanah Melayu.

“Kisah yang dibawa adalah pelbagai dan selalunya berkisar kehidupan istana dan alam kayangan yang penuh dengan elemen pengajaran,” terangnya lagi.

Elemen persembahan

Sementara itu, mahasiswa tahun akhir jurusan drama Pusat Kebudayaan UM, Leelhani Yuneska Abd. Karim berkata, Puteri Bunga Bakawali mengisahkan pengembaraan dan cabaran seorang putera raja yang ingin mendapatkan bunga bakawali di kayangan bagi mengubati penyakit ayahandanya.

“Elemen-elemen percintaan, pertelingkahan adik-beradik dan pertempuran dengan watak-watak magis telah dibawakan oleh kesemua tenaga produksi.

“Saya teruja kerana diberi peluang untuk bersama-sama menjayakan pementasan jikey ini. Sebagai seorang mahasiswa, ini merupakan ruang yang sangat kondusif untuk saya menghayati dan menerokai khazanah kreatif teater tradisional,” katanya.

Tambah Leelhani, dia kini lebih memahami struktur dan elemen sesebuah persembahan teater tradisional dan secara tidak langsung menjadikannya lebih berdisiplin ketika melibatkan diri dalam gerak kerja pengurusan organisasi.

Pementasan yang berdurasi 120 minit berkenaan, turut diselangi nyanyian, tarian dan iringan muzik latar yang dimainkan secara langsung oleh pemuzik yang turut berada di pentas bersama penonton.

Menariknya, pementasan itu turut melibatkan mahasiswa bukan Melayu yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai aspek produksi.

Pelajar sarjana di Akademi Pengajian Melayu UM, Danesh Raj Nagarajan yang memegang watak inang kepada puteri kayangan berkata, dia seronok apabila diberi peluang untuk menjayakan watak tersebut yang sangat mencabar.

“Bukan setakat berlakon, watak ini memerlukan saya menari dan menyanyi. Unsur komedi juga diletakkan pada bahu saya untuk menghidupkan lagi pementasan ini.

“Saya mengharapkan pementasan jikey ini bakal menjadi pencetus kepada usaha pemeliharaan teater tradisional di Malaysia. Dengan sokongan semua pihak, terutamanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), saya percaya pementasan teater tradisional sebegini akan mampu dinilai dengan lebih baik oleh masyarakat,” ujarnya.