Dia bukanlah jejaka biasa kerana di sebalik setiap celotehnya, terselit semangat juang yang tinggi bagi membuktikan setiap individu mampu mencapai kejayaan diimpikan asalkan mempunyai semangat dan keazaman.

Mana tidaknya, dalam usia 24 tahun dia adalah antara anak muda yang berjaya membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk memiliki kediaman sendiri.

Daripada seorang jejaka sehinggalah kini bergelar suami dan bapa, anak kelahiran Slim River, Perak ini semakin komited dengan hala tujunya untuk bergelar pakar hartanah dan kewangan yang berjaya.

Pemilik nama Harith Faisal Mohd. Imam Ma’arof, 27, mengakui tidak boleh mudah berpuas hati dengan apa yang dikecapi kini kerana perjalanannya dalam dunia hartanah dan kewangan masih terlalu jauh.

Keazaman

“Saya mula menjinakkan diri dalam dunia hartanah dan kewangan setelah berjaya membeli sebuah apartmen pasaran sekunder (subsale) pada tahun 2014 di Semenyih, Selangor.

“Sebenarnya, saya memilih untuk membeli rumah tersebut setelah mengambil kira kemampuan untuk menyediakan modal sebanyak 15 peratus dan membayarnya secara bulanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Harith Faisal, seseorang yang ingin membeli sebuah rumah perlu menyimpan wang terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah lain timbul.

“Saya sendiri menyimpan kira-kira 30 peratus daripada gaji bulanan ketika mula berkhidmat di sebuah bank di ibu negara pada 2014. Ketika itu gaji saya RM2,500 sebulan.

“Setelah simpanan mencukupi, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan rumah jenis pasaran sekunder (subsale) dengan harga di bawah RM100,000,” cerita Perunding Kewangan sepenuh masa itu.

Bagi Harith Faisal, dia mendapatkan pengalaman yang cukup berharga menerusi pembelian rumah pertamanya.

“Banyak yang saya pelajari menerusi pembelian rumah pertama itu termasuk berurusan dengan pemilik asal rumah, peguam, bank dan sebagainya. Kita nampak prosedur sebenar sebelum mendapatkan sebuah rumah,” kata anak keempat daripada lapan orang adik-beradik itu.

Ketika diajukan persoalan jumlah rumah yang dimilikinya sehingga kini, dia hanya tersenyum dan tidak berbicara panjang.

Harith Faisal berkata, berbekalkan semangat dan mahu mengubah stigma anak muda akan kepayahan untuk mendapatkan rumah sendiri dia mula aktif berkongsi ilmu hartanah serta kewangan di laman Facebook peribadinya.

“Ketika itu, saya mula berkongsi pengalaman pembelian rumah pertama di laman Facebook. Saya lihat ramai anak muda yang berminat dan mereka memberi respons positif.

“Saya lihat mereka mempunyai keinginan untuk mendapatkan ilmu, cuma tiada orang yang boleh menunjukkan jalan,” katanya lagi.

Pengetahuan

Justeru, Harith Faisal berkata, dia mengambil inisiatif berkongsi ilmu mengenai kewangan dan hartanah berdasarkan pengalaman sendiri setelah melihat jumlah pengikut di laman Facebooknya mencecah 146,000 dalam tempoh dua tahun daripada hanya 200 sahaja.

“Saya banyak berkongsi dengan mereka segala yang berkaitan dengan hartanah. Setiap hari saya akan pastikan ada satu artikel dikongsi bersama pengikut supaya mereka sentiasa memperoleh ilmu itu. Ia berkisarkan pelbagai isu yang berkaitan anak muda dan hartanah,” ujarnya.

Melihat sambutan yang diterima setiap kali Harith Faisal berkongsi ilmu di laman Facebooknya, dia sering dijemput untuk menyampaikan ceramah dan seminar berkenaan hartanah serta kewangan pada hujung minggu.

Cerita Harith Faisal, dia banyak menerima jemputan daripada institusi pengajian tinggi, badan-badan kerajaan dan pemaju hartanah.

“Perkembangan ini adalah sesuatu yang amat baik sekali menunjukkan sudah ada kesedaran dalam kalangan orang muda untuk menimba ilmu hartanah dan kewangan,” ujarnya.

Bagi menghargai pengikutnya dan golongan muda, Harith Faisal telah menghasilkan dua buah buku pada tahun 2017 yang berjudul Hipster Hartanah dan Bajet Power.

“Saya memberikan tip dan panduan yang mudah difahami oleh anak-anak muda dalam proses membeli rumah dan hartanah sama ada untuk duduk sendiri ataupun sebagai pendapatan sampingan.

“Boleh dikatakan panduan ini mampu mengajar anak-anak muda kaedah menjana pendapatan melalui pelaburan hartanah,” jelasnya lagi.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, terutamanya kecaman sesetengah pihak, Harith Faisal berkata, ia bukan pematah semangat untuknya daripada terus menerokai bidang hartanah dan kewangan, sekali gus menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk berjaya mendapatkan kediaman sendiri.