Pelajar Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan hafazan peringkat antarabangsa di Dubai iaitu Syeikha Fatima Bint Mubarak International Holy Quran Competition yang berlangsung pada 4 November hingga 16 November lalu.

“Pertandingan ini terbuka kepada peserta wanita sahaja dan penyertaan dari 63 buah negara termasuk Malaysia.

“Dalam pertandingan itu, Bahrin dinobatkan sebagai juara dan antara negara yang turut serta ialah Brunei, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Kuwait, Algeria, Sudan dan tuan rumah, Emiriyah Arab Bersatu,” jelas hafizah yang telah hafaz al-Quran ketika di tingkatan lima itu.

Putri Nur Nadia akui, biarpun tidak berjaya menempatkan diri sebagai 10 peserta terbaik di Dubai tetapi dirinya cukup bangga dengan pencapaian itu.

Katanya, penyertaan tersebut merupakan kali ketiga buat dirinya bertandingan di peringkat antarabangsa selepas ke Brunei dan Jordan.

Rezeki memihak kepadanya, apabila dinobatkan sebagai johan pada pertandingan di Brunei pada tahun 2015.

Putri Nur Nadia juga pernah menjadi johan sebanyak lima kali di peringkat Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan (2) dan johan di peringkat kebangsaan (1).

“Matlamat utama saya menyertai kesemua pertandingan itu adalah bukan untuk berlumba-lumba mendapatkan tempat pertama atau hadiah tetapi bagi memantapkan lagi hafazan ini.

Cabar diri

“Saya bukanlah dalam kalangan pelajar yang berlatarbelakangkan agama. Di universiti saya mempelajari bidang sains. Jadi untuk tidak ketinggalan dan seiring dengan pelajar agama saya cabar diri untuk menyertai pertandingan tersebut,” jelas anak sulung daripada lapan orang adik-beradik itu.

Bercerita tentang pembabitannya dalam bidang hafazan, Putri Nur Nadia berkata, ia bermula daripada keluarganya yang sangat menekankan kepentingan menghafaz al-Quran.

“Sejak daripada tingkatan satu hingga lima, saya memang dihantar ke sekolah agama iaitu Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar di Banting, Selangor.

“Daripada situ bermulanya saya menghafal secara serius sambil belajar akademik dalam bidang sains,” luahnya yang merupakan pelajar kemasukan kedua di sekolah itu.

Dijangkiti kuman

Menceritakan pengalamannya dalam menghafal al-Quran, Putri Nur Nadia memberitahu, dia pernah diuji dengan cabaran besar apabila dijangkiti kuman dalam kepala semasa di tingkatan empat.

“Pada masa itu tahun 2012, saya dimasukkan ke unit rawatan rapi dan tidak boleh menghafal serta kembali pulih pada bulan Januari 2014.

“Selepas kembali sihat, saya meneruskan semula hafalan dan Alhamdullilah sempat hafaz sebelum tamat persekolahan,” ujarnya yang menceburi pertandingan hafazan bermula tahun 2011.

Berkongsi tentang cara penghafalan, Putri Nur Nadia menjelaskan, menghafal dan mengulang al-Quran dijadikan rutin hariannya.

“Bagi memastikan hafazan ini terjaga, kebiasaannya saya akan fokus mengulang bacaan kira-kira tiga juzuk setiap hari.

“Kebanyakan, saya mengulangnya pada awal pagi. Jika banyak masa dihabiskan di kampus saya akan ambil masa satu jam selepas solat maghrib, ujar anak kelahiran Bangi, Selangor itu.

Katanya lagi, suasana kehidupan di kampus USIM juga banyak membantu dirinya untuk menghafal kerana teman-temannya sentiasa menyokong dalam memantapkan lagi hafazan dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah jika diberi peluang saya akan masuk lagi pertandingan hingga ke peringkat antarabangsa sebelum menamatkan pengajian di universiti,” jelasnya yang juga meminati bidang perniagaan.