Ada yang berbaju kuning, hitam dan oren. Ada pula yang datang dengan membawa basikal. Masing-masing riuh-rendah membicarakan aktiviti yang bakal mereka sertai.

Riak wajah mereka menunjukkan keterujaan. Barangkali, tidak sabar untuk mengatur langkah berlari pantas atau mengayuh basikal selaju yang mungkin.

Begitulah pemandangan yang dapat dilihat di padang Kompleks Belia dan Sukan Kampung Pandan sempena Kuala Lumpur Run & Ride Titiwangsa yang berlangsung baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Titan Empire Event Management sempena Hari Wilayah Persekutuan dengan penyertaan sekitar 3,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Rata-rata anak muda menjadikan program ini sebagai platform untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, sekali gus membuktikan bahawa mereka bukan golongan pasif seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Persediaan

Seorang peserta, Nur Nafisya Yuhenri, 14, dari Wangsa Maju berkata, dia menyertai kategori Larian sebagai persediaan menghadapi pelbagai pertandingan larian yang bakal disertainya tahun ini termasuk sukan sekolah.

“Saya merupakan atlet di sekolah dan menyertai pelbagai pertandingan larian sama ada pada peringkat sekolah, daerah mahupun negeri.”

“Justeru, saya perlu mengekalkan stamina dalam menghadapi pelbagai pertandingan tersebut,” kata pelajar Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas itu ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Nur Nafisya, dia mengikuti Kuala Lumpur Run & Ride Titiwangsa sebagai persediaan tambahan walaupun mendapat latihan yang intensif di sekolah.

“Di sekolah, saya mengikuti latihan larian secara intensif bersama rakan-rakan iaitu tiga hari seminggu. Kami dilatih untuk meningkatkan stamina supaya dapat bersaing ketika bertanding.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh bergantung pada latihan tersebut sahaja, sebaliknya perlu berusaha sendiri untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan tahap kecergasan diri,” ujarnya yang muncul juara kategori tersebut.

Selain mempersiapkan diri untuk meningkatkan stamina, dia berharap dapat memperbaiki kelemahan teknik larian dari semasa ke semasa.

“Ia menjadi satu kepuasan apabila kita dapat membawa pulang sesuatu. Hanya dengan latihan yang berterusan, kejayaan itu dapat dicapai,” katanya yang bercita-cita bergelar atlet negara suatu hari nanti.

Sementara itu, Nur Ismahanie Ismail, 14, berkata, Kuala Lumpur Run & Ride Titiwangsa menjadi platform untuknya menunjukkan bakat larian yang dimiliki.

“Larian tidak mudah seperti yang disangka sesetengah pihak. Ia memerlukan teknik yang betul bagi mengelakkan diri mengalami kecederaan.

“Saya mempelajari asas-asas larian di sekolah dan mengaplikasikannya menerusi program ini. Ia melatih diri untuk mengenali potensi diri yang sebenar,” ujar anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu.

Menurut Nur Ismahanie, salah satu teknik yang dipelajarinya adalah tidak menundukkan diri ketika berlari bagi mengelakkan kegagalan penyerapan oksigen.

Nur Ismahanie berkata, penglibatannya dalam larian adalah sebagai persediaan untuknya mencapai cita-cita bergelar pelari pecut negara suatu hari nanti.

“Menerusi aktiviti larian sebegini, saya dapat melatih diri untuk menjadi atlet yang berjaya,” ujar anak jati Kuala Lumpur itu.

Kecergasan

Bagi Nur Amani Qistina Zuraimi, 16, dari Setiawangsa berkata, dia menyertai program berkenaan sebagai usaha untuk meningkatkan stamina seterusnya menjalani gaya hidup yang sihat.

“Kebiasaannya saya akan beriadah pada hujung minggu bersama rakan-rakan sekitar sejam semata-mata untuk memastikan tubuh badan sentiasa cergas,” katanya.

Menurut Nur Amani, dia memerlukan kecergasan tubuh badan bagi membantunya menjalani kehidupan seharian sebagai seorang pelajar.

“Saya akan menjalani pelbagai aktiviti selepas tamat sesi persekolahan termasuk menghadiri kelas tambahan, kelas agama dan aktiviti kokurikulum.

“Sekiranya tiada stamina, maka saya akan menjalani kehidupan seharian dengan lesu dan tidak bersemangat,” kata anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu.