Pendedahan berkenaan perlu dilakukan sejak di peringkat sekolah lagi agar dapat memupuk, menggalakkan dan meningkatkan minat pelajar terhadap dunia sains.

Atas inisiatif itu, Jaringan Saintis Muda dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menganjurkan pertandingan Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2018 peringkat Kuala Lumpur di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Penganjuran NSC 2018 turut menerima kerjasama Kementerian Pendidikan serta sebuah syarikat petroleum dan gas antarabangsa.

Menurut Pensyarah Jabatan Farmasi, Fakulti Perubatan UM, Dr. Phan Chia Wei, sejak tahun 1999, NSC telah dianjurkan dengan tujuan untuk menggalakkan, memupuk dan meningkatkan minat para pelajar sekolah menengah dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Katanya, pembudayaan bidang sains adalah amat mustahak bagi menjamin kelangsungan masa depan negara.

Pembentangan

“Usaha saintis dan teknokrat tempatan bakal memastikan negara kekal relevan dalam arus pemodenan global yang bertunjangkan teknologi maklumat. Pemupukan minat para pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) memerlukan sokongan berterusan dari pelbagai pihak.

“Diharapkan objektif NSC 2018 ini mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat jangka panjang kelak,” katanya yang juga merupakan Pengerusi NSC 2018.

Pada pertandingan itu, sebanyak enam buah pasukan telah terpilih untuk menyertai NSC peringkat Kuala Lumpur iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, SMK Seri Bintang Selatan, Sekolah Menengah (SM) Sains Selangor, SMK (L) Methodist, SMK Sungai Besi dan SM Sains Seri Puteri.

Antara acara yang telah dianjurkan ialah pertandingan kuiz berbentuk individu, berkumpulan dan terbuka. Selain itu, para peserta turut diminta untuk membentangkan sebuah topik berkaitan sains dan inovasi secara berkumpulan.

Setiap kumpulan telah memilih tajuk pilihan mereka daripada senarai yang diberi oleh penganjur, merangkumi pelbagai isu penting berkaitan kemajuan teknologi dan inovasi dalam bidang perubatan, astronomi, kejuruteraan dan pengkomputeran.

“Kumpulan yang membuat pembentangan paling kreatif, meliputi pemahaman mengenai topik yang dipilih dan kebolehan berkongsi idea inovatif mereka akan dipilih sebagai pemenang.

“Untuk NSC 2018 peringkat Kuala Lumpur ini, SMK (L) Methodist telah muncul sebagai juara keseluruhan. Mereka akan mewakili Kuala Lumpur ke NSC peringkat seterusnya yang bakal diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya lagi.

Pada penganjuran itu, seramai 200 orang pelajar sekolah menengah dari seluruh Lembah Klang turut hadir ke UM bagi memeriahkan NSC 2018.

Akuaponik

Malah, penganjuran NSC 2018 mempunyai kelainan apabila terdapat 10 reruai khas daripada pelbagai penyelidik UM yang berupaya menggalakkan minat pelajar sekolah terhadap bidang sains dan inovasi.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri telah berkongsi teknologi sistem akuaponik mini yang dilengkapi sensor serta boleh diprogramkan mengikut fungsi yang dikehendaki.

“Sistem akuaponik mini ini boleh digunakan sebagai asas kepada pelajar untuk mendalami bidang programming (pengaturcaraan), melalui kombinasi minat mereka dalam bidang matematik dan sains.

“Sistem ini juga boleh ditambah baik untuk menjadi sistem akuaponik sebenar bagi penanaman salad dan pemeliharaan ikan tilapia yang secara tidak langsung boleh mendidik para pelajar sekolah mengenai isu urbanisasi dan kelestarian alam,” ujarnya.

Reruai yang memaparkan inovasi pengatur caraan kit robotik dan ujian DNA oleh pakar dan penyelidik yang berkaitan telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung.

“Para pelajar sekolah amat teruja melihat pelbagai jenis pergerakan kit robotik yang kami bawa.

“Saya mengharapkan usaha ini menjadikan mereka lebih bersungguh-sungguh menelaah subjek Sains dan Matematik yang bakal menyediakan mereka untuk menjadi penyelidik dan pengaturcara pada masa akan datang,” terangnya.