SEBAIK tiba di pekarangan sebuah bengkel perusahaan membuat mi yang terletak di Tawau, Sabah, mata terarah pada deretan mi yang dijemur di atas para.

Tidak seperti kebiasaannya, mi segera yang dijemur di bawah satu lapisan jaring itu mengandungi pelbagai warna dan bentuk.

“Kami menggunakan jaring untuk menutup keseluruhan mi yang sedang dijemur bagi mengelak ia tercemar terutama apabila burung hinggap di atas bekas jemuran,” kata Tan Kim Yen ringkas.

Kim Yen, 32, merupakan pemilik perusahaan membuat mi segera yang terletak di Kawasan Perindustrian Megah Jaya, sebuah kawasan industri kecil dan sederhana yang terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Tawau.

Beliau yang merupakan anak jati Tawau berkata, perusahaan membuat mi itu semakin berkembang tahun demi tahun dan mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar mi segera.

Bercerita tentang perniagaannya itu, Kim Yen memberitahu, segalanya bermula kira-kira empat tahun lalu apabila anak sulungnya, Elisha Nge yang ketika itu berusia tiga tahun tidak suka makanan mengandungi sayur.

Sebagai seorang ibu katanya, perlakuan anaknya itu membimbangkannya terutama mengenai tahap kesihatan disebabkan keengganannya memakan sayur-sayuran.

“Disebabkan anak saya suka makan mi, timbul idea untuk menghasilkan sendiri mi berperisa yang diperbuat daripada sayur-sayuran.

“Pada awalnya, saya menggunakan beberapa jenis sayur seperti lobak merah dan bayam selain buah-buahan sebagai bahan campuran utama,” katanya.

Jelas Kin Yen, disebabkan mi segera ciptaannya itu mula menjadi makanan kegemaran anaknya, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk memberikannya kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat untuk memberi peluang mereka mencubanya.

Selepas mendapat reaksi yang positif termasuk permintaan rakan-rakan untuk membelinya, Kim Yen mengambil keputusan berniaga secara kecil-kecilan menggunakan nama syarikat HY Enterprise.

Namun disebabkan kekurangan dana, beliau menjadikan rumah sewanya sebagai bengkel menghasilkan mi dengan menggunakan kaedah manual bersama suaminya, Kenny Nge, 43.

“Ketika itu, saya hanya menjualnya kepada rakan-rakan selain memasarkannya di kedai-kedai runcit dan pasar raya kecil yang terletak di sekitar Tawau.

“Walaupun pasaran ketika itu masih kecil, namun permintaan terhadapnya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Malah selepas setahun berniaga, saya menyewa sebuah rumah lain untuk dijadikan tempat pengeluaran mi segera bagi menampung permintaan yang semakin banyak,” katanya.

Jelas beliau lagi, antara tujuan memasarkan mi ciptaannya itu adalah bagi membantu ibu bapa mengatasi masalah anak-anak yang tidak gemar kepada sayur-sayuran.

Bermula tahun 2016, Kim Yen mengambil keputusan untuk melangkah setapak ke hadapan dengan berpindah ke sebuah bengkel perusahaan yang lebih besar dan selesa di Kawasan Perindustrian Megah Jaya.

Jelas Kim Yen, selain ingin menggandakan pengeluaran, beliau turut mempunyai perancangan lebih besar untuk memasarkan mi segera keluarannya ke satu tahap yang lebih jauh.

Sijil halal

“Apabila beroperasi di bengkel baharu ini, saya ingin memastikan mi segera berperisa sayur ini memperoleh status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain memperoleh sijil Skim Pensijilan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

“Bagi memastikan mi segera yang dihasilkan di kilang ini benar-benar halal pula, saya hanya menggunakan bahan mentah yang berstatus halal termasuklah tepung dan bahan-bahan lain sebagai penambah perisa.

“Malah, kesemua pekerja di bengkel ini juga adalah 100 peratus beragama Islam. Jadi, soal kebersihan juga sudah terjamin,” katanya dengan memberitahu, mi segera yang dipasarkan dengan nama Fun Noodle itu mampu bertahan sehingga setahun jika disimpan dengan cara yang betul.

Sehingga kini, mi segera keluaran syarikatnya bukan sahaja dipasarkan di sekitar bandar itu tetapi turut berjaya menembusi pasaran di beberapa daerah lain di Sabah selain turut dijual secara online menerusi Lazada, 11street dan Shopee.

Ketika ditanya di mana mendapat kepakaran untuk menghasilkan mi segera tersebut, jelas wanita itu, beliau mendapat tunjuk ajar daripada suaminya yang sememangnya mahir dalam pembuatan mi.

Sementara itu, Kenny yang berasal dari Miri, Sarawak berkata, keluarganya memang merupakan pengusaha mi kolok dan mi basah di negeri itu. Beliau pula merupakan generasi ketiga yang mengusahakan pembuatan mi tersebut.

Perancangan

“Saya menggunakan kemahiran dan pengalaman selama bekerja di perusahaan milik keluarga untuk menghasilkan mi yang kemudiannya diubah suai mengikut resipi saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Kenny yang turut bertindak sebagai pengurus perusahaan tersebut berkata, pihaknya telah mempunyai beberapa perancangan bagi mengembangkan perniagaan tersebut ke tahap lebih tinggi.

Antaranya ialah meningkatkan pengeluaran daripada enam tan ketika ini kepada 10 tan sebulan pada masa akan datang.

Malah, syarikatnya turut merancang untuk mengeksport mi segera tersebut ke beberapa negara jiran termasuk memasuki pasaran negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Kami juga merancang untuk melaksanakan sistem francais untuk memberi peluang lebih ramai anggota masyarakat khususnya golongan belia untuk terlibat dalam perniagaan sama ada menerusi kios ataupun kenderaan saji.

“Malah, syarikat juga sedang berusaha untuk merealisasikan impian membuka sebuah kafe yang menghidangkan mi segera keluaran kami untuk dinikmati oleh orang ramai,” katanya.

Ketika ini jelas beliau, syarikatnya telah mengeluarkan mi segera yang mempunyai tujuh perisa iaitu lobak merak, bayam, telur, buah naga, pandan, kunyit dan dakwat sotong dengan tiga perencah yang berbeza iaitu rasa mi kolok, kari dan udang.

Setiap set yang mengandungi lima bungkusan mi segera tersebut dijual pada harga RM12 bagi pasaran runcit dan RM18 bagi jualan secara online di Lazada, 11street dan Shopee termasuk kos penghantaran.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Wilayah Tiga Tawau, Syafriani Syarifuddin berkata, pihaknya menerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tawau telah terlibat membantu syarikat berkenaan dalam usaha meningkatkan pengeluaran bulanan seperti yang diharapkan.

“Kita telah memberi pinjaman dana dalam bentuk peralatan yang diperlukan dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM50,000.

“Malah, kita juga turut melibatkan syarikat tersebut dalam pelbagai karnival yang dianjurkan di negeri ini.

“Terkini, pihak kami sedang berusaha untuk membantu syarikat HY Enterprise mendapatkan status halal selain sijil GMP dan HACCP daripada pihak yang berkaitan agar produk yang dihasilkan dalam memasuki pasaran yang lebih besar,” katanya.