Tanpa disangka, gambar-gambar yang diambil pada kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu membawa tuah kepadanya apabila mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pelanggan.

Sejak itu, pemuda yang berasal dari Tumpat, Kelantan tersebut mendapat tawaran pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk menggunakan perkhidmatannya mengambil gambar.

Terbaharu, Mohamad Amirul mendapat penghargaan daripada Persatuan Media Sukan Antarabangsa Asia (AIPS Asia) semasa mengikuti Kursus Latihan Wartawan Sukan Muda Asia (YSR) 2018 di Arab Saudi.

“Penghargaan yang diterima atas sumbangan dan penyertaan saya dalam bidang jurugambar sukan sejak tahun 2013.

“Sebagai wakil Malaysia, saya diberi tanggungjawab untuk berkongsi pengalaman bersama wartawan dan jurugambar muda seluruh Asia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga penerima penghargaan yang datang dari negara berbeza. Dua penerima lain ialah Lu Kuan Yu dari Taiwan dan Mohammad Hanifullah dari Pakistan.

Mohamad Amirul kini bekerja di Sport flex yang merupakan sebuah agensi media di Kuala Lumpur sebagai Pegawai Komunikasi Korporat.

“Bidang jurugambar sukan ini bukanlah pilihan kerjaya saya, namun ia adalah kerja sambilan yang memberi cabaran baharu kepada saya.

“Tetapi tidak sangka, minat ini mampu membawa saya menjelajah ke luar negara,” jelasnya.

Bakat

Mohamad Amirul yang juga dikenali sebagai Adam Ghazali dalam kalangan pengamal media mula menjinakkan diri dengan fotografi sukan setelah menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Korporat, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam sejak 2014.

Ia bermula daripada kejohanan SUKIPT yang disertai secara sukarelawan lalu membawa dirinya melangkah jauh ke dunia jurugambar sukan.

“Bakat saya mula dihidu oleh Penyelaras Media Bahagian Sukan KPT, Nur Ekmal Buhary yang membuka peluang menyertai pelbagai acara sukan anjuran KPT sebagai jurugambar.

“Akhir tahun 2014, KPT bawa saya ke Kejohanan Sukan Universiti Asia di Palembang, Indonesia.

“Dari situ minat saya semakin mendalam terhadap dunia foto sukan ini,” ujarnya.

Ia juga membuka peluang kepadanya apabila dipanggil oleh Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) bagi menyertai Kursus Latihan YSR di Hong Kong pada tahun 2017.

Menurutnya, kursus tersebut merupakan peluang terbaik untuk menyerlahkan bakat serta kemampuan di hadapan para perwakilan dari seluruh pelosok dunia.

“Hanya tiga agensi media dipilih oleh SAM untuk menghadiri kursus tersebut iaitu Kosmo!, Sprot flex dan Asiana.my.

“Pengalaman paling bernilai pada program latihan ini adalah berjumpa dengan jurugambar profesional seluruh Asia selain berpeluang mengambil gambar perlawanan sukan bertaraf dunia,” ujarnya yang pernah menjadi jurugambar pada Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini.

Mohamad Amirul menambah, program itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Media Sukan Hong Kong (HKSPA) pada 1 hingga 11 April 2018 dan dihadiri 43 peserta yang mewakili beberapa buah negara Asia.

“Kemahiran ini merupakan salah satu bonus pada saya untuk menambahkan pendapatan,” tutur anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Sejak tamat latihan, beliau banyak dipanggil oleh negara luar serta agensi dalam dan luar bagi membuat liputan acara sukan berprestij seperti Sukan Universiti Asia, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Dalam Dewan Asia, Kejohanan Bola dan Futsal AFC serta Sukan Asia.