Antara aktiviti yang kerap dilakukan ialah bersukan dan beriadah bersama rakan-rakan.

Mengambil peluang sempena cuti hujung minggu, sekumpulan remaja dari Lembah Klang berkumpul bagi mempelajari sukan floorball yang diadakan di Pusat Operasi IM4U Sentral di Puchong, Selangor.

Floorball merupakan sejenis sukan yang mirip hoki ais tetapi dimainkan di dalam gelanggang yang mempunyai kelengkapan serta peralatan khas khususnya bagi tujuan pertandingan.

Bagaimanapun, bagi tujuan rekreasi dan latihan ringan, sukan itu juga boleh dimainkan di mana-mana gelanggang sama ada berlantai parkir, simen atau beralas getah, asalkan ia rata dan selamat.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri Selangor, Izzah Hazirah Ramdzan Sa’aid Ramdzan, 18, mengakui bermain floorball sememangnya memenatkan kerana ia memerlukan seseorang pemain bergerak dengan sangat pantas.

“Ini merupakan hari pertama saya mencuba sukan floorball. Sebelum ini, saya hanya melihat orang bermain melalui video di laman sosial dan YouTube.

Persefahaman

“Walaupun saya merupakan seorang atlet dan pernah mewakili Selangor dalam acara olahraga, renang serta merentas desa, ternyata sukan ini memenatkan.

“Bagaimanapun, ia sangat menyeronokkan. Selain itu, floorball memerlukan persefahaman dan kerjasama daripada setiap pemain dalam pasukan. Secara tidak langsung, ia menjadikan kita semakin rapat walaupun baru berkenalan,” katanya.

Selain Izzah Hazirah Ramdzan, sukan floorball turut menarik minat seorang lagi remaja, Ahmad Mikail Hassin Ahmad Fuad, 11, yang juga pertama kali mencuba sukan itu.

Murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Shin Cheng Harcroft di Bandar Kinrara, Puchong itu berkata, dia ingin mempelajari sukan tersebut kerana ia mudah untuk dimainkan meskipun dia bertubuh kecil berbanding pemain lain.

“Walaupun saya paling muda ketika berada dalam gelanggang, pemain lain tetap melayan saya dengan baik.

“Malah, bermain floorball tidak terlalu sukar berbanding sukan hoki dan ia jauh lebih selamat,” katanya yang bercita-cita menjadi pemain floorball kebangsaan suatu hari nanti.

Perkara itu diakui jurulatih floorball, Ivana Sonia Beriak, 24, dengan memberitahu, sukan tersebut semakin diminati oleh golongan remaja dan belia kerana ia mudah untuk dimainkan.

“Ia seperti hoki, sukan ini menggunakan kayu pemukul tetapi ia lebih ringan kerana diperbuat daripada plastik atau bahan komposit.

“Bola yang digunakan juga diperbuat daripada plastik, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya ia terkena pada bahagian badan atau muka,” katanya.

Pemain skuad floorball kebangsaan dan Selangor itu berkata, dia turut menubuhkan sebuah pasukan floorball sendiri untuk melatih golongan remaja serta belia selain menyertai kejohanan yang diadakan pada peringkat negeri Selangor.

Jelas Ivana Sonia lagi, walaupun kebanyakan pemain bermain untuk beriadah, dia akan mengenal pasti individu yang berpotensi bagi diserapkan dalam pasukan floorball Selangor.

Sukan alternatif

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Floorball Negeri Selangor, Azmill Ahmad Hadzim berkata, kebanyakan remaja dan belia menjadikan floorball sebagai sukan alternatif serta rekreasi sama ada untuk mempelbagaikan kemahiran sukan atau mencari peluang baharu bagi menonjolkan diri dalam sukan.

Katanya, floorball mula diperkenalkan di negara ini sekitar tahun 1999 di Universiti Malaya oleh sekumpulan pelajar asing sebagai sukan berbentuk rekreasi.

“Ia kemudiannya semakin berkembang dan sehingga kini, ia telah dimainkan serta dipertandingkan di beberapa negeri termasuk di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Putrajaya, Johor, Sabah dan Perak.

“Malah, Malaysia turut mempunyai pasukan floorball sendiri dan telah menyertai beberapa kejohanan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, sukan itu mungkin masih asing dalam kalangan remaja dan belia di kawasan luar bandar disebabkan kurangnya pendedahan.

Justeru, bagi meningkatkan minat lebih ramai anggota masyarakat terhadap sukan itu, persatuan tersebut telah menggerakkan usaha memperkenalkan floorball kepada murid-murid sekolah di sekitar Selangor.

Ini termasuk memberikan khidmat kejurulatihan bagi sekolah yang berminat untuk menubuhkan pasukan sendiri.