1. Boleh ceritakan mengenai latar belakang saudara?
Saya dilahirkan di Ayer Molek, Melaka dan merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.
Sebelum ini, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka dan kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sarawak dalam jurusan Sains Sosial.
Menyedari bahawa isu kemanusiaan adalah perkara penting yang perlu dilihat dalam pergerakan politik dunia, saya memilih untuk menjalani latihan industri di Syria Care pada September 2017.
Kini, saya menjawat jawatan sebagai Eksekutif Dana & Projek di Syria Care dan berpeluang untuk menyumbang bakti kepada mereka yang memerlukan terutamanya rakyat Syria.

2. Apakah bentuk kerja sukarela yang saudara lakukan sepanjang Misi Kemanusiaan Syria Care?
Antara kerja-kerja sukarela yang saya lakukan ketika misi tersebut adalah mengagihkan bantuan keperluan dapur kepada pelarian Syria dan mereka yang telah berpindah ke Turki untuk menyelamatkan diri.  
Selain itu, saya juga menziarahi dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada anak-anak yatim Syria, pelajar sekolah guru-guru serta mangsa pergolakan yang cedera dan sedang mendapatkan rawatan di Turki. 
Saya juga menziarahi beberapa Dapur Rakyat tajaan Syria Care yang menyediakan makanan iftar dan sahur bagi memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar.
Saya turut berkesempatan berbuka puasa bersama-sama dengan pelarian Syria sebanyak dua kali iaitu ketika berada di wilayah Azaz, Syria dan di Killis, Turki.
 
3. Apakah pengalaman yang tidak sesekali dilupakan sepanjang menjalankan misi berkenaan?
Setiap detik yang saya lalui sepanjang menyertai misi kemanusiaan di Syria begitu bermakna sekali dan tidak sesekali dapat dilupakan.
Paling saya ingati adalah apabila didekati oleh seorang pemuda autism bersama beberapa rakannya dan dia mencium pipi sambil mengucapkan terima kasih.
Saya berasa amat terharu kerana dia begitu menghargai keberadaan saya di sana untuk menyalurkan bantuan.
Tindakan spontannya itu menunjukkan bahawa dia amat bersyukur akan bantuan yang diberikan.

4. Apakah kepuasan yang saudara peroleh menerusi kerja-kerja sukarela?
Kepuasan yang saya perolehi daripada kerja-kerja sukarela ini adalah apabila dapat melihat senyuman kegembiraan daripada wajah mereka yang dibantu. 
Hidup ini tidak akan bermakna apabila kita gembira sedangkan masih ramai lagi yang sengsara dan menjadi tanggungjawab seorang muslim untuk bersedekah serta melakukan amal kebaikan.
Menerusi kerja–kerja sukarela ini juga ia memberikan satu pengalaman yang baru serta mengajar saya untuk mensyukuri atas segala nikmat yang dikurniakan.

5. Apakah cabaran-cabaran yang ditempuhi sepanjang menjalankan misi tersebut?
Antara cabaran yang dihadapi adalah berpuasa selama 16 jam kerana misi tersebut dijalankan pada bulan puasa.
Tempoh berpuasa yang sangat panjang ditambah dengan keadaan cuaca yang sangat panas dan berdebu begitu mencabar sekali. 
Selain itu, segala pergerakan untuk menghantar bantuan tidak boleh dijalankan secara terbuka menjadi cabaran dalam misi itu.
Saya juga terpaksa berhimpit dalam sebuah kereta kecil dengan lapan orang dewasa adalah antara cabaran yang tidak akan dilupakan. 
Keadaan ini disebabkan hanya beberapa buah kenderaan sahaja dibenarkan masuk untuk melepasi pintu sempadan antara Turki dan Syria.