Lagu latar yang digabungkan dengan pencahayaan alam semula jadi mengiringi koreografi yang begitu luar biasa itu membuatkan penonton kelu seribu bahasa dek kagum dengan persembahan tersebut.

Itulah pengalaman yang dirasai penonton saat menyaksikan persembahan hebat Dancing in Place 2018 anjuran World Dance Alliance yang diadakan di Rimbun Dahan, Kuang, Selangor baru-baru ini.

Salah seorang penari, Tan I-Lyn, 26, berkata, konsep persembahan tarian berlatar alam semula jadi amat unik.

“Keadaan persekitaran Dahan Rimbun yang dipenuhi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan menyajikan suasana yang begitu mendamaikan. Saya seolah-olah berada dalam dunia yang berbeza.

“Perasaan saya sukar untuk digambarkan dan ia membuatkan saya lebih menghayati setiap gerak langkah yang ditari,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pertama kali diadakan di Malaysia, 10 tarian pendek dipertontonkan dalam taman yang kaya dengan pelbagai khazanah alam itu menjadikan babak tarian kontemporari tersebut sangat menakjubkan.

I-Lyn berkata, dia bersama empat orang lagi rakannya begitu teruja untuk mempersembahkan tarian balet yang bertajuk Reflets sur I’Eau yang bermaksud refleksi di atas air.

“Balet merupakan salah satu cara untuk mengungkapkan emosi atau perasaan, sekali gus mengekspresikan segala yang terpendam dalam hati. Setiap gerakan mempunyai makna dan kisah yang tersirat.

“Dalam persembahan ini, kami cuba meletakkan diri beraksi di atas air dengan mempamerkan gerak tari yang begitu lembut serta indah. Penonton akan hanyut dibuai emosi dengan gerak tari yang mendayu-dayu,” katanya.

Bagi I-Lyn, tarian balet yang dipelajarinya sejak berusia empat tahun itu banyak mengajar nilai-nilai kehidupan seperti kesabaran dan kerja keras.

“Tarian balet banyak memberi pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Ia mencabar kemampuan diri seorang penari untuk mempelajari setiap teknik dengan cepat.

“Di situ terbentuk nilai sabar dan usaha keras dalam menghasilkan gerakan yang terbaik. Kadang-kadang berdepan dengan rasa mahu berputus asa, namun apabila penonton memberikan tepukan yang gemuruh, ia terus hilang,” ujarnya.

 

Kreativiti

Sementara itu, bagi penari kelahiran Kuala Lumpur, Siti Amellia Mohamed Ferod, 24, setiap persembahan yang mengangkat kreativiti berbeza menjadikan ia sangat istimewa.

“Setiap persembahan menampilkan kreativiti yang berbeza-beza dengan mengetengahkan pelbagai tema kehidupan seperti persahabatan, percintaan dan kekeluargaan.

“Kreativiti yang ditunjukkan membuktikan bahawa seni tarian itu tidak terhad terhadap penguasaan sesuatu gerak tari sahaja,” katanya.

Menurut Siti Amellia, kreativiti yang ditonjolkan dalam persembahan adalah hasil kerja keras para penari untuk memberikan yang terbaik.

“Latihan akan membentuk kerjasama setiap penari untuk merealisasikan idea yang telah diolah supaya dapat diterjemahkan dengan sempurna.

“Ia tidak mudah sekiranya masing-masing mementingkan diri dan tidak mahu bertoleransi antara satu sama lain,” ujarnya.

Siti Amellia berkata, menjadi lumrah para penari untuk berkorban masa dan tenaga semata-mata mahu menghasilkan gerak tari yang memukau mata penonton.

Bagi Amellia, tiada suatu hal yang mustahil untuk dilakukan sekiranya mempunyai minat tidak berbelah-bahagi.

“Apabila adanya minat dalam diri, kita tidak akan sesekali mengalah dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran,” jelasnya.

Kesemua persembahan terbabit mengetengahkan idea luar biasa pereka tari terkemuka dari Asia Tenggara yang terdiri daripada Chai Vivan (Malaysia), Otniel Tasman (Indonesia), Colleen Coy (Amerika Syarikat), Eng Kai Er (Singapura), Nitipat Pholchai (Thailand), Fadilla Oziana (Indonesia), Citra Pratiwi (Indonesia), Sonoko Prow (Thailand), Fauzi Amirudin (Malaysia) dan Sarah Maria Samaniego (Filipina).

 

Eksperimen

Fara Ling Shu Sean, 17, pula memberitahu, tarian kontemporari membolehkannya bereksperimen dengan setiap langkah seterusnya mengembangkan lagi bakat yang dimiliki.

“Jika tidak mencuba untuk melakukan sesuatu, nescaya kita tidak tahu hasilnya. Justeru, saya suka mencuba sesuatu yang baharu kerana ia membuatkan kita tertanya-tanya akan jawapan akhir hasil daripada percubaan tersebut.

“Tarian kontemporari membolehkan saya bereksperimen dengan pelbagai jenis tarian dan ia tidak terhad kepada tarian tradisional Cina semata-mata,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam tarian, Fara Ling berkata, ibu bapanya memberikan sokongan penuh dengan menghantarnya ke kelas tarian sejak berusia lima tahun.

“Sejak kecil lagi saya sudah dilatih untuk mengasah kemahiran tarian. Saya belajar pelbagai teknik tarian dan cara-cara menjadi penari yang berbakat,” katanya.

Menurut Fara Ling, tarian tidak mengganggu proses pembelajaran walaupun sesetengah pihak menganggap akademik patut diberikan keutamaan.

“Saya mengambil kelas persendirian di rumah dan mempunyai waktu yang fleksibel untuk terlibat dalam tarian. Saya tidak melihat ia sebagai masalah, sebaliknya mencabar diri untuk membahagikan masa dengan bijak.

“Akademik dan tarian perlu diseimbangkan kerana kedua-duanya penting bagi saya. Saya bukan sahaja belajar untuk bereksperimen dengan tarian tetapi pelbagai hal kehidupan,” tambahnya.

Sepuluh tarian pendek dipertontonkan dalam taman yang kaya dengan pelbagai khazanah alam, sekali gus menjadikan babak tarian kontemporari itu sangat menakjubkan.