Dia kelihatan begitu berhati-hati bagi memastikan cantuman arca yang dibina itu melekat antara satu sama lain.

Cantuman arca berbentuk bunga itu dihasilkan sejak sebulan lalu. Ia telah ditempah oleh seorang pelanggan untuk dijadikan sebagai hiasan pada majlis pembukaan kedainya.

Pembuatan arca itu dikenali dengan nama pastillage. Pastillage merupakan salah satu cabang seni gula dan kraf yang dihasilkan untuk menghiasi kek atau arca-arca. Fungsinya sama seperti fondant dan aising tetapi ia lebih keras serta teguh.

Menurut pelajar tahun akhir Food Institute of Malaysia (FIM), Adlin Hani Hizani, 20, nama pastillage mungkin kurang dikenali berbanding aising dan fondant kerana ia kurang ditempah serta dikomersialkan.

“Pastillage hanya dihasilkan jika mendapat permintaan kerana pembuatannya agak rumit dan mengambil masa yang lama.

“Teksturnya yang kasar dan agak berpasir juga membuatkan pastillage kurang diminati untuk dijadikan sebagai hiasan pada kek,” ujarnya yang mengambil jurusan Pastri dan Bakeri di FIM.

Sebaliknya, gadis kelahiran Selangor itu sangat meminati cabang seni gula berkenaan kerana ia mampu mencabar kreativiti dan kesabarannya.

Lagipun, dia memang meminati bidang pastri, jadi ia tidak menjadi masalah untuk Adlin Hani mempelajari pembuatan pastillage. Minat itu turut didorong oleh ibunya, Zanifah Md. Nor yang memiliki kedai kek D’Flower.

Sejak kecil, Adlin Hani telah didedahkan dengan dunia pembuatan pastri dan bakeri. Kek pertama yang dihasilkannya ialah kek span pada usia lima tahun.

Bagaimanapun, di tempat belajarnya itu tidak menyediakan jurusan tersebut.

Apabila ditanya bagaimana dia boleh meminati pastillage, anak ketiga daripada empat adik-beradik itu memberitahu, ia bermula daripada gurunya, Cef Ahmad Jamel Kasem yang menceritakan tentang keunikan seni gula tersebut.

Kata Adlin Hani, apabila mendengar dan melihat sendiri cara pembuatan serta teknik yang dilakukan, dia tertarik untuk mencuba seni berkenaan.

Pastillage pertama yang dihasilkannya ialah arca berbentuk angsa merah jambu. Dia mendapat pujian daripada gurunya kerana berjaya menghasilkan pastillage itu dengan baik.

Lakaran

Jelasnya, bagi menghasilkan pastillage yang baik, seseorang itu turut memerlukan pengetahuan fizik kerana untuk menggabungkan satu bentuk dengan bentuk lain, ia memerlukan keseimbangan.

“Oleh yang demikian, sebelum membuat pastillage, saya akan membuat lakaran di atas kertas terlebih dahulu. Selepas melihat keseimbangan corak yang dihasilkan masuk akal, baru saya berani menyediakan bahan-bahan untuk menghasilkannya,” terangnya.

Selepas melukis lakaran, Adlin Hani akan menyediakan resipi pastillage yang terdiri daripada campuran bahan-bahan seperti aising, gelatin, gula, air dan krim tartar.

Bahan-bahan itu akan digaul sehingga menjadi bentuk doh, kemudian diuli seperti tanah liat sebelum dipotong menjadi bentuk-bentuk yang diperlukan.

“Selesai menyediakan bahan, saya perlu segera membuat bentuk-bentuk yang diperlukan kerana bahan-bahan yang diuli tadi cepat mengeras. Antara bentuk yang dibuat adalah seperti bunga, ranting dan daun bergantung pada rekaan arca yang ingin dicipta.

Proses mengering

“Jika tersilap membuat percaturan dalam menghasilkan bentuk-bentuk yang diperlukan, saya perlu membuatnya sekali lagi. Semakin susah sesuatu reka bentuk, semakin lama masa yang akan diambil,” ujarnya

Tambah Adlin Hani, selepas membuat bentuk-bentuk berkenaan, dia perlu tempuhi satu lagi saat mencabar iaitu proses mencantum.

Cantuman bahan-bahan itu akan dibuat menggunakan pelekat gam super. Adlin Hani perlu sentiasa memegang bentuk yang ingin dicantum sehingga ia benar-benar melekat.

Dia tidak boleh bergerak ke mana-mana selagi cantuman itu tidak kering. Di situlah kesabaran Adlin Hani diuji. Pernah juga berlaku cantuman jatuh dan pecah kerana tidak betul-betul melekat.

Jika perkara itu berlaku, Adlin Hani perlu mengulangi teknik-teknik membuat pastillage sekali lagi.

“Bukan mudah untuk menyediakan arca menggunakan teknik seni gula ini. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi daripada bahan mula diproses sehingga menjadi hasil akhir, terutamanya semasa proses mencantum,” jelasnya.

Namun terang Adlin Hani, kesilapan itu mengajarnya untuk lebih berhati-hati dan meneliti setiap aspek serta sudut arca yang dihasilkan.

Kini, setelah berjaya menghasilkan lebih daripada 30 pastillage, Adlin Hani semakin mahir dalam teknik tersebut.

Proses terakhir yang perlu dilakukan adalah mengeringkan arca yang sudah siap dicantum berkenaan. Ia harus dikeringkan dalam suhu bilik yang tidak terlalu sejuk atau panas.

Adlin Hani pernah mencuba untuk mengeringkan arca tersebut di bawah pancaran matahari, namun ia gagal. Arca tersebut mencair.

Dalam pada itu, ada juga pelanggan Adlin Hani yang ingin pastillage mereka diwarnakan. Oleh itu, Adlin Hani perlu mewarnakannya dengan menggunakan salah satu daripada tiga teknik mewarna yang ada.

Teknik pertama adalah dengan mencampurkan bahan pewarna ke dalam bahan-bahan pastillage tadi, teknik kedua pula mewarna selepas pastillage siap iaitu dengan cara semburan selepas ia kering, manakala teknik ketiga mewarna dengan berus.

“Setelah selesai mewarna, pastillage tadi tidak boleh terkena air kerana khuatir warna akan pudar atau terhakis.

“Pastillage yang sudah siap sepenuhnya boleh dipamerkan sebagai hiasan selama berbulan-bulan lamanya, manakala jika ingin jadikan makanan, saya syorkan tidak lebih empat minggu,” ujarnya.

Lazimnya arca daripada pastillage ditempah untuk dijadikan perhiasan bagi sesebuah majlis seperti perkahwinan, pertunangan, hari lahir atau acara-acara korporat.

Jenis seni gula itu sebenarnya sudah lama wujud, cuma dahulunya ia lebih banyak dihasilkan dalam bentuk kotak gula. Hanya kebelakangan ini seni gula tersebut dilakukan dalam bentuk arca-arca yang lebih moden.

Jika tersilap menghasilkan bentuk-bentuk yang diperlukan, Adlin Hani perlu membuatnya sekali lagi. Semakin susah sesuatu reka bentuk, semakin lama masa yang akan diambil.