Kalimah ayat-ayat suci yang tertera di atas kanvas pelbagai warna itu ditulis dengan kemas dan terang.

Melihat karya seni islamik itu ia sedikit sebanyak mampu membangkitkan rasa keinsafan dalam menjadi mukmin yang sejati.

Menurut pemilik Canvas Couple, Abdul Aziz Mohd. Yusof, 33, keistimewaan lukisan kaligrafi yang dikeluarkan perniagaannya terletak pada cara ia dihasilkan.

“Berbeza dengan lukisan kaligrafi yang telah lama wujud, ia dilukis tangan dengan menggunakan pen, pensel atau berus bersama dakwat hitam di atas kertas kosong tanpa warna.

“Namun, kaligrafi yang dikeluarkan kami adalah jenis cetakan. Ia dicetak dan dipotong sebelum dipasang pada bingkai kayu,” katanya sambil menunjukkan contoh-contoh kaligrafi yang terdapat pada kios pusat beli-belah Melawati, Ampang, Selangor itu.

Tambah Abdul Aziz, apa yang dimaksudkan dengan kaligrafi cetakan ialah dia menggunakan templet yang sudah siap dilukis dengan menggunakan komputer.

Kemudian, tulisan kaligrafi dalam komputer itu akan disuai padan dengan latar belakang yang terdiri daripada pelbagai corak dan warna.

Setelah proses itu selesai, lukisan tersebut akan dicetak di atas kanvas menggunakan mesin cetakan sebelum ia digunting mengikut saiz untuk dipasang pada bingkai kayu.

Mengapa dia memilih medium cetakan? Anak kedua daripada tiga beradik itu memaklumkan, semuanya adalah hasil cadangan pelanggan-pelanggannya.

Jelasnya, ramai dalam kalangan mereka yang gemar seni kaligrafi kerana tulisannya yang halus, menarik dan cantik tetapi harganya terlalu mahal.

“Sebuah kaligrafi yang dihasilkan dengan lukisan tangan menerusi teknik catan, lazimnya dijual pada harga RM800 hingga ribuan ringgit bergantung pada saiz.

“Jadi, bagi memenuhi permintaan pelanggan di samping ingin menaikkan jualan, saya mendapat idea untuk menghasilkan kaligrafi cetakan, sekali gus mampu dimiliki oleh peminat karya ini,” terang Abdul Aziz yang mendapat pendidikan seni halus di Institut Seni Lukis Malaysia. Menurutnya, semua lukisan yang terpamer mempunyai nilai estetika serta mesej yang ingin disampaikan.

Perkataan kaligrafi diambil daripada bahasa Yunani Greek yang bermaksud tulisan cantik. Kaligrafi diperkenalkan sejak zaman Mesir Purba, Yunani Purba dan China Purba.

Pada masa itu, tulisan diukir atas batu atau kepingan buluh menggunakan alat yang tajam sebelum alat tulis seperti buluh, bulu ayam dan berus digunakan untuk menulis di atas kulit kayu atau kulit haiwan yang dikeringkan (belulang).

Sejak wujudnya kertas, pelbagai jenis pen digunakan untuk menulis kaligrafi.

Tulisan yang ditulis menggunakan pena buluh dan dakwat menghasilkan tulisan yang paling kemas dan cantik.Malah hasilnya juga lebih halus berbanding menggunakan pen.

Di Malaysia, kaligrafi Islam berkembang seiring dengan perkembangan tulisan jawi yang menjadi medium penulisan utama suatu ketika dahulu.

Kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama seni khat dipercayai dibawa pendakwah serta pedagang Islam dari Asia Barat ke negara ini.

Manfaat

Namun, hakikatnya tulisan jawi semakin terpinggir dan turut berdepan dengan kemungkinan pupus.

Oleh demikian, selain ingin membantu orang ramai memiliki kaligrafi pada harga mampu milik, Abdul Aziz turut ingin meneruskan kelangsungan tulisan kaligrafi berkenaan.

Antara tulisan kaligrafi yang dijual ialah ayat 1,000 dinar, al-Fatihah, ayat kursi, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Tambah anak kelahiran Sabah itu, walaupun baru empat tahun mengusahakan perniagaan kaligrafi bercetak Canvas Couple bersama isteri, Nurhayati Mohd. Faroook, 32, dia yakin usaha itu memberi banyak manfaat kepadanya serta orang ramai.

Mengimbas detik permulaan perniagaan Canvas Couple, pemegang Ijazah Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara itu memberitahu, semuanya bermula dengan minat mendalam terhadap dunia seni halus.

Nurhayati mendirikan rumah tangga bersama Abdul Aziz pada 2013 merupakan seorang yang mahir dalam tulisan kaligrafi manakala suaminya pula mahir dalam lukisan mural.

“Pada mulanya saya memuat naik lukisan kaligrafi yang saya hasilkan di laman sosial Facebook sekadar suka-suka, namun tidak sangka pula ada orang yang berminat untuk mendapatkannya.

“Jadi, saya fikir hasil seni ini mempunyai peminat yang tersendiri. Maka, saya dan suami mula menghasilkan kaligrafi dan berniaga kecil-kecilan tetapi agak sukar untuk kekal fokus kerana suami terikat dengan kerja tetap sebagai teknikal sokongan bersama sebuah syarikat dari Singapura,” katanya.

Setelah berbincang, pasangan suami isteri itu nekad untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan Canvas Couple.

Berbekalkan RM1,000 sebagai kos modal dan menumpang studio milik bapa, Mohd. Yusof Ismail, mereka memberikan 100 peratus tumpuan kepada penghasilan kaligrafi cetakan.

Mereka mula menghasilkan kaligrafi jenis cetakan dan menjadikan kaki lima, bazar Ramadan dan tapak pasar malam untuk menjual karya seni berkenaan.

Siapa sangka, usaha dan pengorbanan dibalas dengan penjualan yang mencecah RM12,000 dalam tempoh dua minggu sahaja.

“Pencapaian itu membuatkan kami bersemangat untuk lebih serius dalam perniagaan ini. Kami mula membuka kios-kios jualan di sekitar ibu negara.

“Malah, kami mempelbagaikan lagi hasil cetakan dengan menghasilkan lebih daripada 200 corak pilihan yang boleh dibeli mengikut cita rasa masing-masing,” ujarnya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

Antara corak yang mendapat permintaan ramai ialah warna-warna abstrak kerana ia hampir sama dengan warna catan sebenar. Warna-warna abstrak juga sesuai dipadankan dengan pelbagai tema.

Kini, setelah empat tahun dalam bidang tersebut, mereka telah menjual lebih daripada 2,000 lukisan cetakan kaligrafi dan mempunyai 12 orang pekerja.

“Pada masa akan datang, kami mengimpikan sebuah galeri dan studio sendiri,” katanya.