SELEPAS meredah laluan denai sejauh hampir satu kilometer dan mengharungi dua laluan sungai, Nurul Natasha Azmi, 14, akhirnya tiba di kawasan air terjun.

Apabila kesemua peserta tiba di kawasan air terjun yang dikenali sebagai Leap of faith itu, mereka kemudiannya dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil bagi menjalani aktiviti seterusnya.

Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang menaiki anak tangga di tepi tebing batu untuk ke pelantar besi dan membuat terjunan.

“Ketika melihat rakan-rakan yang lain terjun, ia seolah-olah mudah untuk dilakukan.

“Apabila saya sendiri berada di atas pelantar dan memandang ke bawah, perasaan takut dan gemuruh mula menyelubungi diri.

“Ketika itu, pelbagai perkara mula melintas di fikiran. Disebabkan terlalu takut, saya mula terbayangkan ibu, bapa, adik-adik dan rakan-rakan sekolah,” katanya.

Jelas pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Kuantan, Pahang itu, walaupun setelah tiga kali memberanikan diri untuk berdiri di hujung pelantar, dia masih gagal mengatasi perasaan takutnya itu.

Sehinggalah pada percubaan keempatnya, Nurul Natasha melakukan terjunan dari pelantar yang berketinggian kira-kira enam meter terus ke air terjun.

“Saya tidak sangka akhirnya dapat mengatasi rasa takut tersebut. Saya seakan-akan tidak percaya dapat melakukannya.

“Satu pengajaran yang saya peroleh daripada aktiviti ini ialah kita tidak seharusnya membiarkan diri diselubungi rasa takut untuk melakukan sesuatu kerana perasaan tersebut hanya akan merugikan diri sendiri,” katanya.

Dia merupakan antara 60 peserta yang mengikuti program Nature Camp 2017 anjuran syarikat pengurusan sisa pepejal, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) bertempat di Tanah Aina Farrah Soraya, Raub, Pahang pada 27 hingga 29 November lalu.

Program yang bertemakan The future of us is u itu merupakan aktiviti cuti sekolah yang dijalankan bagi mendekatkan golongan remaja dengan alam sekitar.

Menurut penyelaras program, Sara Dalina Khairil Anuar, terdapat pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program itu berlangsung selama tiga hari dua malam.

Kitar semula

Katanya, selain aktiviti terjunan di air terjun Leap of faith, para peserta juga berpeluang menyertai program meredah hutan, jalan malam dan sukan rakyat.

“Malah, peserta juga diajar tentang kaedah menggunakan bahan kitar semula untuk dijadikan sesuatu barangan yang boleh dipakai menerusi program upcycling.

“Antaranya, mereka diajar cara mereka cipta tempat meletak telefon bimbit menggunakan gegelung kertas terbuang selain mencipta bekas pensel menggunakan botol minuman plastik,” katanya.

Jelas beliau lagi, ada antara peserta yang begitu teruja melakukan aktiviti tersebut khususnya meredah hutan untuk mempelajari dan mengenali beberapa flora dan fauna di sekitar kawasan berkenaan memandangkan ia merupakan kali pertama mereka menyertai aktiviti di kawasan hutan.

Akuinya, disebabkan ramai antara para peserta tidak pernah melakukan aktiviti di dalam hutan, ia telah memberi cabaran kepadanya untuk memastikan kesemua aktiviti berjalan dengan lancar dan selamat.

Acara tahunan

“Saya dengan dibantu beberapa rakan fasilitator yang lain termasuk kakitangan Alam Flora perlu melaksanakan tugas dengan lebih berhati-hati bagi menjamin keselamatan kesemua peserta.

“Nasib baik selepas tiga hari berlangsung, kesemua peserta dapat pulang dengan selamat tanpa ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan memberitahu, program cuti sekolah tersebut merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh pihaknya.

Katanya, program yang sudah masuk tahun ketujuh penganjurannya itu dikhaskan kepada golongan pelajar sekolah yang terdiri daripada anak-anak kakitangan Alam Flora selain anak-anak rakan strategik syarikat itu dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

“Sesuai dengan tema program kami pada tahun ini, pemilihan Tanah Aina Farrah Soraya ini sangat bertepatan kerana lokasinya yang terletak di kawasan hutan dan jauh daripada hiruk-pikuk kota.

“Saya percaya, selama tiga hari mereka berkampung di kawasan berkenaan, ada sesuatu yang boleh mereka pelajari untuk dibawa pulang selepas tamatnya program.

“Sekurang-kurangnya, mereka akan menjadi individu yang cintakan alam sekitar dan menghargainya sepanjang hidup mereka kelak,” katanya.

Tabur bakti

Jelas beliau lagi, aktiviti upcycling yang dilakukan oleh para peserta itu sangat penting bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan amalan membudayakan kebersihan khususnya menerusi kaedah 3R iaitu reduce, reuse dan recycle.

Tambahnya, beliau percaya sekiranya para peserta mengamalkan kaedah 3R dalam kehidupan seharian, ia dapat mengurangkan jumlah pencemaran alam sekitar pada masa akan datang.

“Sebelum para peserta ke Tanah Aina Farrah Soraya, mereka juga telah menabur bakti dengan bersama-sama kakitangan Alam Flora melakukan aktiviti gotong-royong mengindahkan persekitaran Sekolah Kebangsaan Felda Kampung Sertik, Karak, Pahang.

“Ia merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat Alam Flora untuk mendekatkan syarikat dengan anggota masyarakat dan turut melibatkan para pelajar sekolah,” katanya.

Seorang lagi peserta, Azrien Natasha Sakri, 15, dari SMK Astana, Kuantan, bersyukur kerana terpilih untuk menyertai program berkenaan.

Katanya, pengalaman pertama menyertai aktiviti di dalam hutan itu telah meninggalkan kenangan yang manis buat dirinya.

Malah jelasnya, program tersebut telah berjaya meningkatkan semangatnya untuk terlibat dalam menjaga alam sekitar daripada menjadi mangsa kerakusan manusia.

RAUB 29 NOVEMBER 2017 - Aktiviti para peserta dalam Jungle Trekking pada Alam Flora Nature Camp 2017 di Tanah Aina Farrah Soraya, di sini hari ini.

GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
PEMBERITA : RIZAM (RENCANA KOSMO)

RAUB 29 NOVEMBER 2017 - Aktiviti para peserta pada Alam Flora Nature Camp 2017 di Tanah Aina Farrah Soraya, di sini hari ini.

GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
PEMBERITA : RIZAM (RENCANA KOSMO)

RAUB 29 NOVEMBER 2017 - Aktiviti para peserta menanam pokok pada Alam Flora Nature Camp 2017 di Tanah Aina Farrah Soraya, di sini hari ini.

GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
PEMBERITA : RIZAM (RENCANA KOSMO)

RAUB 29 NOVEMBER 2017 - Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain (kanan) memberi tazkirah kepada para peserta pada Alam Flora Nature Camp 2017 di Tanah Aina Farrah Soraya, di sini hari ini.

GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
PEMBERITA : RIZAM (RENCANA KOSMO)

RAUB 29 NOVEMBER 2017 - Para peserta bergambar bersama pada Alam Flora Nature Camp 2017 di Tanah Aina Farrah Soraya, di sini hari ini.

GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
PEMBERITA : RIZAM (RENCANA KOSMO)

RAUB 29 NOVEMBER 2017 - Aktiviti para peserta cipta barangan terbuang menggunakan kaedah “upcycling” pada Alam Flora Nature Camp 2017 di Tanah Aina Farrah Soraya, di sini hari ini.

GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
PEMBERITA : RIZAM (RENCANA KOSMO)