KUCING jantan bertompok itu disisir rapi bulunya sebelum dimandikan. Haiwan itu tenang sekali seolah-olah sudah biasa dengan keadaan tersebut.

Air yang separa hangat dijirus perlahan dari tengkuk hingga ke bahagian ekor. Syampu jenama Petswell Premium dilumur sedikit demi sedikit ke seluruh tubuh si comel.

Kemudian, dibilas lembut menggunakan air sehingga si comel benar-benar bersih daripada kotoran.

Itulah sebahagian momen yang dapat dilihat dalam kelas dandanan kucing yang berlangsung di MaMa Meow, Taman Kajang Sentral, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Kelas dandanan kucing yang dijalankan MJMA Cat’s Motel & Spa setiap hujung minggu itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pencinta kucing.

Seorang peserta, Jefferr Sam, 25, berkata, dia berminat untuk turut serta dalam kelas dandanan kucing yang dijalankan MJMA Cat’s Motel & Spa setelah melihat maklum balas positif daripada rakan-rakan lain.

“Saya sebenarnya mempunyai 24 ekor kucing dan menjalankan perniagaan dandanan kucing di Sabah. Justeru, saya perlu menambah pengetahuan mengenai penjagaan kucing bagi memenuhi kehendak pelanggan.

“Saya melihat peserta-peserta sebelum ini dapat menguruskan kucing mereka dengan baik. Timbul minat untuk saya menyertai bagi menambah pengetahuan yang lebih mendalam mengenai dandanan kucing,” katanya yang ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Jefferr, pelbagai perkara baharu dipelajari sepanjang menyertai kelas dandanan kucing yang dikendalikan MJMA Cat’s Motel & Spa.

“Kami diajar cara menyikat bulu kucing dengan betul iaitu menyikat melawan arus dari bawah ke atas supaya bulunya lebih cantik.

“Selain itu, memotong kuku kucing juga perlu mengikut caranya. Sekiranya terlebih potong akan menyebabkan pendarahan sehingga boleh dijangkiti kuman,” katanya yang berasal dari Sabah.

Berbaloi

Jefferr berkata, yuran yang dikenakan berbaloi dengan pengetahuan yang diperoleh sepanjang tiga jam kelas berlangsung.

“Dia akan menyalurkan semua maklumat yang kita perlukan.

“Tidak hanya terhad di kelas semata-mata tetapi kita boleh menghubunginya untuk mendapatkan pelbagai maklumat lain selepas kelas berakhir,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang merupakan Artis Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azril Ali, 30, berkata, perkhidmatan dandanan kucing yang disediakan MJMA Cat’s Motel & Spa agak eksklusif berbanding tempat lain.

“Saya akan menghantar kucing peliharaan ke sini mengikut keperluan setiap bulan. Perkhidmatan dandanan kucing yang disediakan agak berbeza berbanding tempat lain.

“Walaupun banyak kucing lain dihantar tetapi setiap seekor akan mendapat layanan yang cukup sempurna seperti bayi,” kata anak kelahiran Terengganu itu.

Menurut Azril, dia akan menghabiskan sekurang-kurangnya RM300 sebulan untuk seekor kucing peliharaannya.

Kepuasan

“Saya tidak anggap sebagai satu pembaziran, sebaliknya satu kepuasan apabila haiwan kesayangan dapat hidup dengan sempurna,” katanya lagi.

Bagi Yusri Shamshi Yusoff, 36, dia mula mempelajari teknik mendandan haiwan kesayangannya setelah menghantar ke MJMA Cat’s Motel & Spa.

“Rakan mencadangkan saya untuk menghantar kucing kesayangan di sini bagi mendapatkan perkhidmatan dandanan.

“Perkhidmatan yang diberikan amat baik dan saya mempelajari teknik mendandan kucing dengan betul,” kata anak kelahiran Keramat itu.

Pengasas MJMA Cats Motel & Spa, Mohd. Jeffrey Mohamad Ali, 32, berkata, permintaan daripada rakan-rakan membuatkan hatinya terdetik untuk mengadakan kelas dandanan kucing.

“Sebelum ini saya aktif dalam pertandingan kucing yang dianjurkan pelbagai pihak. Saya berkenalan dengan ramai pencinta kucing.

“Kebanyakannya berminat untuk belajar cara mendandan kucing sama ada untuk menyertai pertandingan atau menimba pengetahuan.

“Justeru, saya mengambil peluang untuk membuka kelas dandanan kucing sejak tiga tahun lalu,” katanya.

MJMA Cat’s Motel & Spa yang beroperasi sejak April 2014 di Setapak menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti penginapan kucing dan dandanan.

Menariknya, menurut Mohd. Jeffrey, dia tidak mengikuti sebarang kelas secara profesional, sebaliknya lebih banyak menimba pengalaman menerusi internet dan mengaplikasikannya terhadap kucing peliharaan sendiri sebelum menawarkan perkhidmatan kepada rakan-rakan.

Jenis dandanan yang ditawarkannya termasuklah dandanan asas seperti mencuci telinga, memotong kuku dan mandi.

Selain itu terdapat dandanan untuk pertunjukan, rawatan sabun berubat, bulu kusut, memutihkan dan melumurkan minyak.

Keperluan dandanan kucing adalah bagi mengelakkan kucing dijangkiti penyakit kulit dan kutu.

Tip memandikan kucing adalah dengan menggunakan syampu yang bersesuaian mengikut jenis kucing.

Kucing yang berbulu panjang perlu dimandikan seminggu sekali, manakala yang berbulu pendek dua minggu sekali.

Cabaran

Menurutnya, cabaran semasa dandanan adalah mengendalikan kucing yang agresif.

“Kita perlu mengetahui karakter kucing terlebih dahulu dan memerlukan teknik memegang kucing dengan betul bagi mengelakkan risiko dicakar dan digigit,” jelasnya.

Mohd. Jeffrey menambah, setiap sesi kelas yang berlangsung pada hujung minggu menerima sekurang-kurangnya lima orang peserta dengan bayaran RM370 seorang, manakala di Sabah dan Sarawak sebanyak RM400.

“Mereka terdiri daripada orang awam dan usahawan yang membuka perniagaan haiwan.

“Sejak 2014, saya telah menerima kira-kira 400 orang peserta untuk mendalami ilmu dandanan kucing dengan lebih mendalam,” kata anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu.

Menurut Mohd. Jeffrey, peserta didedahkan dengan asas-asas dandanan kucing, tip penjagaan dan produk makanan serta mandian selain ilmu menjana pendapatan ketika mengikuti kelasnya.

“Mereka yang mengikuti kelas dandanan kucing akan mempelajari pelbagai perkara berkaitan penjagaan haiwan kesayangan selain diberikan sijil.

“Mereka tahu cara memandikan kucing tetapi kurang pengetahuan mengenai penggunaan produk yang bersesuaian. Mereka akan mempelajari semua itu,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran kekangan masa, namun Mohd. Jeffrey berkata, ia bukan penghalang untuknya meneruskan minat terhadap perniagaan yang diusahakan.

“Cabaran yang paling besar adalah pengurusan masa dan kekangan sumber manusia. Saya mengendalikan perniagaan ini seorang diri dan semuanya bergantung pada saya.

“Bagaimanapun, disebabkan minat yang terlalu mendalam terhadap kucing, ia tidak akan mematahkan semangat saya,” ceritanya.