Persahabatan, percintaan, kebahagiaan, kejayaan dan pengorbanan sekumpulan anak muda diangkat menjadi tema penceritaan langkah yang ditari.

Keberanian penari-penari muda itu bereksprementasi dengan gabungan tarian hip hop, jaz, kontemporari lirikal dan tradisional benar-benar memukau mata penonton.

Begitulah keunikan yang ditampilkan oleh persembahan tarian fusian yang dinamakan Co-Alescence iaitu sebuah gabungan pelbagai genre tarian anjuran 2twenty2 Studio.

Persembahan yang berlangsung selama tiga hari di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat seni tari seluruh negara.

Ia menampilkan penari yang pernah memenangi pelbagai kejuaraan di Kuala Lumpur seperti Budak Joget, 2Twenty2 Squad, Walawei Crew, Kami Tari Family dan rakan-rakan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Pak Ngah Production (Swatari).

Keterujaan



Kreativiti dalam tarian mampu menghasilkan persembahan luar biasa yang dikagumi penonton.

Salah seorang penari Co-Alescence, Nur Syafiqah Najwa Jefri, 21, berkata, Co-Alescence begitu unik kerana ia amat dekat dengan jiwa anak muda sepertinya yang menggemari kebebasan.

"Co-Alescence berkonsepkan kebebasan yang menggabungkan pelbagai genre tarian mengikut kreativiti dan gaya yang tersendiri.

"Ia sememangnya amat dekat dengan anak muda yang suka kebebasan dan tidak terikat dengan sesuatu," katanya ketika ditemui di persembahan tersebut.

Nur Syafiqah berkata, dia begitu teruja untuk turut serta dalam persembahan tersebut bagi menguasai pelbagai teknik tarian dengan lebih mendalam.

"Saya begitu teruja untuk mendalami pelbagai genre tarian kerana ia mencabar kemampuan diri seorang penari mempelajari setiap teknik dengan cepat.

"Tidak semua orang mampu menguasai pelbagai genre tarian dalam satu tempoh masa yang singkat namun kami telah membuktikan bahawa perbezaan latar belakang bukanlah penghalang untuk bersatu di atas pentas yang sama.

"Ia memberikan kepuasan yang luar biasa apabila kami dapat mempersembahkan yang terbaik kepada para penonton dan mereka turut sama terhibur," ujarnya.

Nur Syafiqah yang mempunyai kemahiran tarian tradisional mula berkecimpung dalam seni tari sejak berumur 13 tahun dan telah mengembangkan bakatnya dengan melanjutkan pengajian di Aswara.

Lebih membanggakan, dia merupakan salah seorang wakil Malaysia ke Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat Julai lalu dan membawa pulang lima pingat emas dan satu pingat perak.

Menurutnya, dia ingin terus mengembangkan bakatnya dalam bidang tarian dengan menyertai pelbagai pertandingan tarian di peringkat dunia.

"Apabila minat itu menebal dalam jiwa, kita akan berusaha melakukannya dengan bersungguh-sungguh tanpa mengeluh," katanya lagi.

Minat



Elemen tradisional yang digabungkan dengan kontemporari memperlihatkan keunikan Co-Alescense.

Sementara itu, penganjur Co-Alescence, Ahmad Zaidyansyah Ruddyansyah berkata, tujuan utama persembahan Co-Alescence dijalankan adalah untuk mengembangkan lagi bakat penari-penari muda selain memupuk minat golongan muda terhadap seni tarian menerusi persembahan yang bersesuaian dengan cita rasa mereka.

"Malah, kita juga mahu menonjolkan kelainan kepada penonton dengan menggabungkan semua tarian dalam sebuah persembahan sahaja," jelasnya.

Menurut Ahmad Zaidyansyah, persembahan Co-Alescence menyatukan kira-kira 20 orang penari muda daripada pelbagai kumpulan tarian sekali gus membuktikan bahawa perbezaan dapat menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

"Ramai yang menganggap bahawa tarian sukar dipelajari dan penari tidak mampu untuk menguasai lebih daripada satu tarian dalam sesuatu masa.

"Bagaimanapun, kami telah membuktikan perbezaan mampu menyatukan para penari yang terdiri daripada pelbagai kumpulan dalam sebuah persembahan," jelasnya.

Malah katanya, dia turut merancang untuk meneruskan lagi penganjuran persembahan tarian seperti itu pada masa hadapan dengan konsep yang lebih menarik.

"Kita akan memikirkan konsep yang lebih menarik untuk dipersembahkan dengan mengambil kira elemen-elemen yang ingin diterapkan dan kumpulan sasaran," katanya.

Kreativiti



Ekspresi emosi terserlah di raut wajah para penari ketika membuat persembahan.

Pereka Tari Co-Alescense, Muhammad Fazrin Zainudin berkata, variasi genre tarian memberi cabaran kepadanya untuk mengolah konsep yang ingin dipersembahkan kepada penonton sebaik mungkin.

"Tugas seorang pereka tari bukanlah mudah apabila ia memerlukan saya untuk berfikir di luar kotak sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Justeru, saya akan berkongsi idea dengan rakan-rakan sepasukan sebelum menentukan konsep yang ingin dibawa dalam persembahan ini.

"Saya berasa bersemangat dan puas apabila penonton terhibur dengan konsep yang diketengahkan," katanya yang mula menceburi bidang tarian sejak berumur 16 tahun lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Fazrin berkata, dia tidak lari daripada berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan konsep yang bermutu agar penonton berpuas hati dengan persembahan mereka.

"Pereka tari sama dengan pengkarya seni lain namun cabaran tersebut yang menentukan kekuatan seseorang pereka tari itu," jelasnya yang turut menjadi pereka tari video klip Stacy dan Elizabeth Tan sempena Anugerah Juara lagu 2016.

Seorang lagi penari Co-Alescense, Tengku Muhammad Faris Tengku Mohd. Ismail, 21, berkata, kerjasama penari memainkan peranan penting dalam sesebuah persembahan agar setiap pergerakan dapat diolah dengan menarik.

Kerjasama



DPAC dipilih sebagai tempat persembahan Co-Alescence yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Latihan akan membentuk kerjasama setiap penari untuk merealisasikan idea yang telah diolah supaya dapat diterjemahkan dengan sempurna.

"Ia tidak mudah sekiranya masing-masing mementingkan diri dan tidak mahu bertoleransi antara satu sama lain," ujar penuntut tahun satu Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu.

Dia berpengalaman sebagai penari Kru Walawei selama lapan tahun dan sering menjadi penari kepada artis-artis tanah air termasuklah Ayda Jebat, De Fam, Joe Flizzow, Altimet dan Ac Mizal.

Bakat seni tari luar biasa yang dimiliki membolehkannya membuat persembahan sempena Anugerah Meletop Era 2017 dan Anugerah Planet Muzik 2017 yang berlangsung baru-baru ini.

"Apabila adanya minat dalam diri, kita tidak akan sesekali mengalah dan sentiasa berusaha sedaya-upaya memberikan yang terbaik meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Bagi Faris, seni tari perlu diangkat seiring dengan bidang-bidang lain kerana ia mempunyai nilainya yang tersendiri.