Antara pelajar yang menyertainya adalah Muhammad Yusuf Zakwan Mohd. Yuri, 17, Muhammad Ammar Hafiz Mohd. Asri, 17, dan Aqmal Harith Mohd Nizam, 16.

Menurut Muhammad Ammar Hafiz yang bertanggungjawab dalam bidang perkomputeran, pasukannya tidak kisah berkorban masa dan tenaga semata-mata untuk meraih kejayaan pada pertandingan berprestij itu.

“Dalam tempoh tiga bulan sebelum pertandingan, masing-masing menunjukkan komitmen yang luar biasa semata-mata untuk menyiapkan projek ini.

“Kami sanggup berkorban waktu tidur. Kadang-kadang waktu mengulang kaji pelajaran juga terpaksa digunakan untuknya dan datang semula ke tapak projek di sekolah ini selepas dua tiga jam berehat,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Selain membikin aplikasi itu dalam bentuk prototaip, mereka turut menghasilkan poster kajian iaitu keterangan secara bergambar mengenai aplikasi itu.

Usaha pelajar-pelajar itu yang mewakili sekolah jenis agama di Malaysia berbaloi apabila berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia menerusi pertandingan yang berlangsung di Busan, Korea Selatan itu.

SMA MAIWP telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Pembentangan Terbaik Poster Kajian dalam pertandingan itu. Poster kajian itu dinilai menerusi pembentangan dan penyampaian kepada para juri dan hadirin.

Projek yang diberi nama The Bencana Alert App itu merupakan sebuah aplikasi yang memberi amaran kepada masyarakat tentang bahaya dan bencana yang bakal berlaku seperti banjir atau kebakaran.

“Pengguna akan mendapat amaran kecemasan atau tanda peringatan pada telefon mengenai bencana yang berlaku di sesuatu tempat.

“Kini kami dalam proses penambahbaikkan aplikasi ini dan berharap projek ini akan membantu memudahkan orang ramai pada masa hadapan,” ujar pelajar tingkatan lima itu.

Kemahiran komunikasi

Pertandingan yang bermula pada 23 Jun hingga 1 Julai 2019 itu juga disertai oleh 17 buah negara. Antaranya adalah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Rusia, Taiwan, China, Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

Selain SMA MAIWP, turut mewakili negara dalam pertandingan itu ialah Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur.

KSASF 2019 merupakan sebuah pertandingan sains dan teknologi masa hadapan dan setiap peserta akan membentang projek mereka masing-masing kepada setiap panel juri dan pengunjung yang hadir.

Dalam pada itu, peserta lain, Muhammad Yusof Zakwan selaku pembentang mengakui bahawa penglibatannya dalam pertandingan KSASF 2019 turut mengasah kemahiran komunikasinya.

“Saya lebih yakin untuk melontarkan idea, pandangan dan kritikan.

“Malah, saya juga dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan baik berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, guru pembimbing, Rohaiza Ramli berkata, idea penghasilan projek The Bencana Alert App timbul apabila berlakunya banjir kilat di hadapan SMA MAIWP selepas tiga hari pihaknya mendapat jemputan pertandingan itu.

“Tanpa berfikir panjang, saya mengajak murid-murid yang telah dipilih itu untuk membangunkan sebuah projek berhubung masalah bencana.

“Bagi kami, projek ini boleh dikemukakan di peringkat antarabangsa kerana bencana seperti banjir berlaku di seluruh dunia, bukan Malaysia sahaja,” ujarnya.

Tambah Rohaiza, aplikasi yang dibangunkan itu dekat dengan masyarakat dan mampu membantu mereka untuk tidak menjadi mangsa bencana alam.

Menurut Rohaiza lagi, tujuan penyertaan itu adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kajian-kajian terkini.

“Kami dapati para pelajar menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang hasil kajian yang dipamerkan dengan mengaitkan ilmu yang telah dipelajari di sekolah,” katanya.