Ia bagi menggalakkan pelajar sekolah memiliki pemikiran kreatif, kritis dan inovatif bagi menghadapi cabaran kerjaya dan memenuhi keperluan industri berkaitan pada masa depan kelak.

Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, pelbagai strategi pengukuhan dilaksanakan untuk memperkasakan STEM. Ini termasuklah usaha yang dilakukan sekumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

UM telah mengadakan sebuah program bersama murid-murid Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan Satu Sultan Alam Shah (SKSSAS), Petaling Jaya, Selangor di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Aktiviti yang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada program Let’s Go To Mummies’ Lab, sebuah projek kemasyarakatan yang menerima dana geran penyelidikan daripada Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) dengan kerjasama Pusat STEM UM.

Minat

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Dr. Wan Safwani Wan Kamarulzaman, program itu bertujuan untuk menambah minat murid sekolah dalam bidang sains dan matematik melalui aktiviti yang menarik.

“Berbeza dengan aktiviti di dalam program Let’s Go To Mummies’ Lab sebelum ini, kali ini para peserta telah diminta untuk membina struktur binaan tertinggi dengan hanya menggunakan pencungkil gigi dan manisan kacang jeli.

“Mereka telah dipecahkan kepada 10 kumpulan yang terdiri daripada empat orang peserta. Setiap kumpulan harus menyiapkan satu rekaan yang tinggi dan stabil dengan menggunakan 50 batang pencungkil gigi dan 25 biji kacang jeli. Masa yang diberikan adalah 30 minit,” katanya yang juga merupakan penyelaras program berkenaan dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dengan jumlah bahan dan masa yang terhad, murid-murid berkenaan perlu menggabungkan pengetahuan asas matematik dan sains untuk menghasilkan sebuah struktur binaan yang kukuh.

Biar pun tanpa pengetahuan yang khusus dalam penentuan daya dan sifat bahan yang digunakan, kesemua peserta mampu menggunakan pengetahuan asas mereka untuk mereka bentuk struktur yang dikehendaki.

“Saya yakin, pembentukan hasil secara kolektif sebegini, terutamanya dalam menghasilkan sesuatu yang praktikal dan dapat disentuh, bakal mencetus minat mereka dalam subjek Matematik dan Sains.

“Percambahan minat ini diharapkan menjadi pendorong kepada mereka untuk lebih bersungguh-sungguh dalam mengulang kaji pelajaran matematik dan sains terutamanya apabila membuat persediaan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti,” ujarnya sambil memaklumkan pihak universiti berkenaan sentiasa memainkan peranan ke arah pembudayaan STEM.

Penilaian

Seramai 38 orang murid telah mengambil bahagian di dalam program Let’s Go To Mummies’ Lab itu yang turut menerima kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SKSSAS.

Mereka telah dibantu oleh tiga orang fasilitator iaitu Mohd. Faiz Azmi, Nursyahirah Ahmad Shukri dan Musfirah Abd. Aziz.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Asasi Sains UM, Dr. Faridah Sonsudin berkata, struktur yang dibina oleh setiap kumpulan telah dinilai pada akhir program berdasarkan kriteria ketinggian dan kekukuhan.

“Penerapan kepentingan matematik dan sains melalui aktiviti tersebut diharapkan turut membina kemahiran penyelesaian masalah para peserta.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, saya mengharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi manfaat kepada murid-murid yang lain pula,” katanya yang turut membantu dalam penyeliaan program tersebut.