Di bahagian atas, kelihatan jurutata bunyi, visual dan cahaya sibuk merencana perjalanan pementasan teater Jam Dinding Yang Berdetak yang akan bermula pada bila-bila masa sahaja.

Sebaik lampu dipasang, beberapa orang pelakon mula memenuhi ruang panggung dan beraksi dengan penuh yakin.

Ketika itu, suasana riuh rendah bertukar menjadi sepi. Para penonton dengan penuh minat hanya tertumpu kepada watak-watak di atas pentas.

Teater yang berlangsung selama dua malam itu adalah projek penilaian tahun akhir tiga orang pelajar Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya.

Teater yang diadaptasi daripada skrip pentas Jam Dinding Yang Berdetak hasil nukilan Nano Santiarno memaparkan kisah sebuah keluarga yang dihimpit kemiskinan akibat kemelesetan ekonomi.

Setiap karakter yang ditonjolkan dalam teater berkenaan mempunyai konflik dalaman masing-masing namun cuba mengaburinya menerusi sebuah harapan agar dapat memperbaiki taraf hidup mereka.

Sarat dengan emosi, teater itu telah direalisasikan oleh para pelakon dan kru produksi dengan caranya yang tersendiri.

Pelajar tahun akhir Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan, Norfazira Malik, 23, yang memegang watak utama sebagai Rafidah mengakui berdepan dengan cabaran besar sepanjang penglibatannya dalam teater itu.

“Secara jujurnya, saya tidak pernah membawa watak sebegini terutama melibatkan hubungan intim suami isteri. Agak sukar untuk menjayakannya.

“Namun, bagi memastikan teater berjalan dengan lancar saya perlu mengetepikan perasaan malu dengan memperbanyakkan latihan,” katanya ketika ditemui di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya baru-baru ini.

Anak kelapan daripada 10 beradik itu memberitahu, pada awalnya dia gagal membawa watak tersebut dengan baik sehingga menimbulkan rasa khuatir dalam dirinya.

Bagaimanapun, latihan yang dijalani selama empat kali seminggu selama tiga bulan berjaya meningkatkan keyakinan diri selain mengajarnya untuk menjiwai watak lebih berkesan.

Karakter

Menurut anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu, komitmen pengarah teater yang tidak berbelah bahagi merupakan salah satu faktor dia dapat melakukan persembahan yang terbaik.

“Ketika diberikan skrip, dia mengajukan pelbagai persoalan yang membuatkan kami tertanya-tanya tujuannya.

“Rupa-rupanya semua soalan yang diajukan bertujuan untuk membantu kami mencari karakter dalam diri,” katanya lagi.

Sementara itu, rakan sekuliahnya, Mohammad Nur Ilmi Nur Azman, 23, yang membawakan watak Adzam iaitu suami Rafidah menyifatkan cabaran yang dihadapi sepanjang menjayakan watak tersebut memberi pengalaman berharga kepadanya.

Dia mengakui watak yang dibawa bertentangan dengan peribadinya yang sebenar.

Kekok

“Mencabar kerana saya tidak pernah bercinta dan tidak tahu untuk mengekspresikan perasaan tersebut.

“Agak kekok untuk melakukan sesuatu yang kita tidak biasa tetapi saya belajar banyak perkara baharu,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, dia membuat penyelidikan, analisis watak dan berbincang dengan ahli kumpulan untuk menambah baik kekurangan dirinya.

Malah, Mohammad Nur Ilmi berkata, hubungan akrab dengan Fazira memudahkanya membawa watak tersebut.

“Apabila wujudnya keserasian maka mudahlah untuk kami menambah baik sebarang kekurangan. Kami saling bertukar pandangan.

“Tetapi terlalu serasi juga memberi masalah kerana kami tidak serius untuk menjayakan babak tertentu kerana asyik ketawa,” katanya sambil tertawa kecil.

Cerita Mohammad Nur Ilmi, dia melihat projek akhir berkenaan sebagai wadah untuk menggilap potensi dan menyediakan mereka dengan kehendak industri.

Katanya, pengalaman yang diperoleh akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencapai cita-cita sebagai seorang pensyarah drama kelak.

Berbeza pula dengan Punisha Eaganathan, 23, menyifatkan teater Jam Dinding Yang Berdetak melatih dirinya untuk lebih berkemahiran.

“Sebelum ini saya aktif menguruskan pelbagai program di universiti tetapi apabila diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengurus teater ia sedikit berbeza.

Cerita anak kedua daripada empat beradik itu, dia dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan penyelesaian masalah.

“Saya lebih yakin untuk berkomunikasi dengan pelbagai pihak bagi memastikan kelancaran teater ini.

“Teater mengajar teknik komunikasi yang berkesan untuk memberi arahan kepada rakan-rakan pasukan lain,” katanya.

Punisha memberitahu, walaupun dia keturunan India, namun itu bukan penghalang untuknya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua, malah seluruh pasukan memberi kerjasama.

“Biasalah dalam sesebuah pasukan pasti akan ada masalah tetapi kami akan berbincang antara satu sama lain untuk menyelesaikannya.

“Sebagai contoh, kami sama-sama turun padang untuk mendapatkan penajaan bagi menjayakan teater ini,” ujarnya.

Justeru kata Punisha, kemahiran berkenaan memberi gambaran yang sebenar apabila dia bekerjaya kelak.

“Pujian dan maklum balas yang diberikan juri, para pensyarah serta penonton memperlihatkan pencapaian sebenar teater berkenaan,” katanya.