Di samping perbelanjaan peribadi, ada juga anak-anak muda yang tidak lupa membantu keluarga menguruskan perbelanjaan rumah. Hidangan raya pasti indah di meja makan, perhiasan rumah tidak kurang hebatnya.

Wang yang keluar bak air mengalir sejak minggu pertama berpuasa dan berlarutan sehinggalah sekarang tentu menyesakkan minda. Tidak hairanlah jika ada anak muda yang gerun untuk memeriksa baki wang di dalam akaun.

Apa hendak dibuat selepas pokai sedemikian rupa? Jangan risau, masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan. Yang penting, kita haruslah bijak dalam menguruskan hal-hal kewangan. Mari kita lihat tip menguruskan bajet yang mudah untuk diaplikasikan:

1. Kenal pasti keadaan kewangan semasa anda. Kumpulkan resit-resit pembelian sempena hari raya dan juga bil-bil serta perbelanjaan harian yang lain. Wujudkan rekod perbelanjaan dan simpanan supaya anda lebih jelas dengan kedudukan semasa. Dengan adanya rekod, lebih mudah untuk anda merancang apa yang perlu dilakukan seterusnya.

2. Uruskan hutang terlebih dahulu. Walaupun keadaan kewangan anda tidak memberangsangkan, jangan pandang remeh pada hutang. Dalam Islam, kita dituntut untuk melangsaikan hutang dengan sebaik mungkin. Jika anda berurusan dengan individu, tidak kiralah memberi atau menerima hutang, pastikan ia juga direkod secara bertulis supaya mudah untuk dilangsaikan dan dipantau.

3. Kawal perbelanjaan harian mengikut kemampuan anda. Kenal pasti di antara keperluan dan kemahuan. Pada saat-saat genting ini, ketepikan dahulu impian anda untuk bercuti atau untuk mendapatkan barang-barang yang tidak menjadi keperluan. Simpan impian itu untuk direalisasikan pada masa hadapan.

4. Jika anda terlibat dengan aktiviti-aktiviti sosial yang memerlukan kos, tiada salahnya menangguhkan kegiatan tersebut buat seketika. Anda boleh menyambungnya semula apabila keadaan kewangan anda sudah stabil. Walaupun kelazimannya dikatakan raya adalah untuk sebulan, elakkan daripada berterus-terusan beraya dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.

5. Jangan sesekali menangguh pembayaran kad kredit serta insurans anda. Jika pembayaran kad kredit ditangguhkan untuk jangka masa panjang, kadar faedah terkumpul akan lebih membebankan anda. Pembayaran insurans juga wajib diteruskan, manalah tahu jika ada kecemasan, malang tidak berbau.

6. Cari peluang untuk menambahkan pendapatan. Jika anda mempunyai kenderaan sendiri, mungkin sudah tiba masanya anda berkecimpung untuk memberi servis kereta sewa Grab. Sambil mencari duit poket, boleh juga bersosial!

7. Untuk yang mempunyai kemahiran memasak, apa kata anda sediakan servis makanan tengah hari untuk kawan-kawan di kuliah atau tempat kerja. Di samping dapat memperbaiki kedudukan kewangan, anda juga boleh membantu rakan-rakan mendapatkan makanan dengan kos yang lebih murah berbanding premis di sekitar anda.

8. Pertimbangkan untuk memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan atau daftar menjadi ejen dropship kepada perniagaan sedia ada. Anda tidak perlu menyimpan stok, cuma jalankan urusan pemasaran dan barangan akan terus dihantar kepada pelanggan. Jalankan sedikit penyelidikan untuk mengenal pasti platform-platform dropship tanpa kos yang boleh anda sertai.

Tip yang diberikan hanyalah sebahagian kecil aktiviti yang dapat anda praktikkan untuk menstabilkan keadaan ekonomi sendiri. Apa yang lebih penting adalah disiplin diri untuk memperbaiki keadaan semasa di samping merancang untuk masa depan yang lebih baik.

Anak muda perlu bersedia untuk menghalang segala kebocoran wang anda. Penat-penat cari duit, usah biarkan ia habis dalam sekelip mata. Selamat cari duit dan simpan duit. Semoga perkongsian tip ini bermanfaat untuk kita semua.

Oleh Dr. Sharifah Nadiah Syed Mukhiar

Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi

Universiti Sains Malaysia